Friday, October 16, 2009

SEKADAR RENUNGAN...



Renungan untuk diri sendiri dan juga anda. Ambil lah sedikit masa anda untuk membaca dan menghayatinya.

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi.. jeng!jeng!jeng!.. bunyi…. aauuummmmm!!! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja.

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.
Aaaaa!!!!… Ya Allah….. lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh… cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni… habislah jadi mangsa buaya.

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih… Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba…. terdengar satu bunyi…. uuuuuuuuuuuuu… Bunyi lebah bawa madu.

Hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu berkata, “Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni.” kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.

Sebenarnya
Si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti. Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.

Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu. Madu… madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah. Astaghfirullah…

1 minit untuk mengingati Allah, sebutlah dengan sepenuh hati dan lidah yang fasih akan:

  • SUBHANA’LLAH
  • ALHAMDULI’LLAH
  • LA I LAHA ILLA’LLAH
  • ALLAHU AKBAR
  • ASTAGHFIRU’LLAH
  • LA ILAH ILLA’LLAH, MUHAMMADUN RASULU’LLAH
  • ALLAHUMMA SALLY WA SALLEM WABAREK ALA SAYYEDINA MUHAMMAD
  • WA AALIHE WA SAHBIH AJMA’EEN
READ MORE -

Sunday, October 11, 2009

MENCARI JALAN KEMBALI ( MASIH ADA YANG SAYANG )


JAUH SUDAH PERJALANANMU
MENURUT LANGKAH KAKI, MENGIKUT KATA HATI
JALAN HIDUP YANG DIRASAKAN MURNI
MEMBAWA DIRI KE ALAM MIMPI
MASIH ADAKAH SINAR MENANTI DI HUJUNG ALAM INI
ATAU PERLU KAU CARI JALAN UNTUK KEMBALI?

DI MANA JALAN PULANG YANG DICARI
JALAN KANAN ATAU PUN KIRI
ATAU LURUS TAK BERBELOK LAGI?

ENGKAU MEMANDANG SEKELILING
MERENUNG KE LANGIT SEPI
MENGAPA BUMI TEMPAT BERDIRI TERASA ASING
SEDANGKAN DI SINI IBU PERTIWI.

HIDUP INI MEMANG CELARU
JIKA TIADA IMAN DI KALBU
MENYULUH JALA YANG GELAP BERLIKU.

JALAN KEMBALI PERLU DICARI
WALAU MENEMPUH ONAK DAN DURI
TERSESAT SEKALI BUKAN BERERTI TEWAS ABADI
MENYALAHKAN TAKDIR MENUNGGU MATI

BIAR LANGKAH BERTATIH, BUKAN MERATAP SEDIH
SEMADIKAN DETIK HITAM KELMARIN DALAM SEJARAH
SEMOGA ESOK TERBIT PELANGI NAN INDAH.

SETINGGI GUNUNG SELUAS LAUTAN
KAMI MENYERU PENUH HARAPAN
KEMBALILAH KE PANGKAL JALAN
USAH BIMBANG BERHATI WALANG
KERANA DI SINI
MASIH ADA YANG SAYANG..
READ MORE -

PERMAINAN DUNIA


Orang kata aku gila.

Gilakah aku jika aku
Tidak pernah
Berbicara tentang dunia yang kotor
Melempar kata- kata kesat
Mempasifkan harta metropolitan.

Tidak pernah
Aku melangkah dengan langkah songsang
Mendongak ke langit hitam
Yang disangka biru
Hinggakan lupa
Tanah bumi dipijak
Yang disangka air.

Tidak pernah aku
Menyanggah satu hakikat
Bermain dengan ombak
Bergelumang dengan pasir
Mendaki lurah curam
Menduga lautan dalam
Tapi sebenarnya cetek.

Merenung senja berlabuh di kaki langit
Aku insaf dunia hanya permainan
Permainan milik orang gila
Orang yang gila mengejar
Mengejar bayang- bayang diri sendiri.

Diri yang tidak mahu kenal
Mengenali hakikat dilahirkan
Lahir sebagai insane atau orang gila
Orang gila yang memiliki dunia.

Dan ini akan berterusan
Selagi tiada siapa yang memberitahunya
Dunia hanyalah pinjaman
Yang dikejar hanyalah beban semata.
READ MORE -

LAGU BUAT IBU

Seorang wanita
Bermahkotakan IBU..
Menggenggam jari- jari kecil
Ikatan ini tidak akan terurai
Kerna tautan ini
Tautan darah dan akidah
Dan rahmat dari Allah.

Kini IBU..
Pegangla tanganku ini
Biarku bawa
Ibu menjelajah
Hasil titik peluhmu
Biar kubawa
Ke alamku
Hasil ukiranmu
Selama ini.

Dodoianmu IBU..
Membina benteng pemisah
Antara yang hak dan batil
Membakar semangat perjuangan
Mangait kasih
Pada junjungan tercinta
Tersujud lemah mengabdi diri pada yang Esa.

Jika belum pernah
Kau dengar
Ucapan terima kasihku
Ketahuilah doaku ini
Moga tuhan menyayangimu
Sepertimana kau mengasihiku
Dari dulu hingga kini
Dan untuk selama- lamanya.
READ MORE -

10 Peringatan Bumi




Untuk peringatan pada diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka. Sedarlah bahawa bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.

Berkata Anas Bin Malik r. a;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

READ MORE -

Tips Kecantikan


1.Masalah jerawat
Atasi jerawat dan jeragat dengan keringkan kulit buah rambai, dan dikisar halus. Campur dengan sedikit air mawar atau air masak. Sapukan kewajah, amalkan dua kali seminggu.

2. Atasi rambut gugur
Bersihkan daun bunga raya yang hijau, ramaskan dalam segayung air. Sapu rambut dengan air tadi dan biarkan selama lima minit, kemudian barulah dibilas.

3. Pulihkan kulit terbakar
Parutkan jagung muda dan tomato, kemudian ambil patinya. Gaulkan dengan satu camca madu.
Selepas itu sapukan ramuan itu tadi pada seluruh kulit yang terbakar. Biarkan selaman beberapa minit, kemudian bilaslah dengan air bersih. lakukan setiap hari dan lihatlah hasilnya.

4. Kulit cerah dan licin
Ambil sebiji limau nipis dan dibelah dua Semasa mandi, gosokkan pada muka dan seluruh badan Insyaallah, kulit akan cerah, licin dan harum.

5. Merawat kulit berkedut www.familiazam.com
Parutkan sebatang lobak merah yang telah dibersihkan,lalu dicampurkan bersama sesudu tepung jagung dan sebiji kuning telur.
Sebatikan bancuhan itu lalu dioleskan kepada kulit sekali sehari. Amalkan sehingga berkesan
READ MORE -

Friday, October 9, 2009


Permaisuri Hatiku

Artist: Hijjaz
Song Category: Nasyid




Di antara kekasih pilihan di hati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan pekerti yang tinggi
Indahnya perhiasan duniawi

Di antara diriku jua dirimu
Hanya mengharap cinta yang satu
Ku binakan mahligai impian mu
Oh sayang ikhlaskanlah hati mu

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal
Engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Ilahi

Benarlah! cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian di dunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga

Kau permaisuri di hatiku
Di dunia ini kau penghibur
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku cuba akan terus menyayangi
Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tanganmu oh kasih
Meniti hari

Semoga kita dapat bersama
Sampai kepadanya
Di syurga sana

Tuhan kekalkanlah
Permaisuri hatiku
Untuk menemani
Dalam menggapai cintamu
READ MORE -

Ujian.....

Artist: Mustika
Song Category: Nasyid

Ujian Yang Melanda
Mengundang Resah Jiwa
Mengajar Diri Kita Sebagai Hamba
Mengadu KepadaNya Segala-Gala

Kesusahan Yang Tiba
Menimpa Diri Kita
Adalah Sementara Tanda KasihNya
Mendidik Jiwa Kita Menguji Kesabaran

Semua Hanya Dugaan Daripada Tuhan
Yang Menyayangi Kita
Menghapuskan Dosa Dan Mendapat Pahala
Yang Berganda Dan Berharga

Menghapuskan Dosa
Jika Kita Sabar Dan Berdoa

Ujian Yang Melanda
Mengundang Resah Jiwa
Mengajar Diri Kita Sebagai Hamba
Mengadu KepadaNya Tuhan Yang Esa

Semua Hanya Dugaan Daripada Tuhan
Yang Menyayangi Kita
Menghapuskan Dosa Dan Mendapat Pahala
Yang Berganda Dan Berharga

Menghapuskan Dosa
Jika Kita Sabar Dan Berdoa
READ MORE -

Asal Usul Nama Wau :-)


Saya pasti saudara/i pernah melihat malah berpengelaman bermain layang-layang pada satu masa dahulu. Tetapi tahukah saudara/i bagaimana nama WAU (dalam Bahasa Malaysia) dan KITE (dalam Bahasa Inggeris) digunakan bagi layang-layang itu?

Konon ceritanya, pada satu masa dahulu (mengikut orang Kedah - Zaman Tok Nador Makan Bubuk) dahulu datanglah seorang Mat Salleh ke sebuah kampung dipendalaman Kedah.

Disitu dilihatnya sekumpulan kanak-kanak sedang melayangkan sehelai “kertas putih” yang berbingkai buluh dengan hanya diikat benang.”Kertas Putih” itu naik begitu tinggi hingga menakjubkan Mat Salleh tersebut. Dia terus terfikir, hebatnya kanak-kanak ini, hanya dengan ikatkan benang dan tanpa berinjin kertas itu boleh dilayang mencecah awan. Tentu satu hari nanti kanak-kanak ini akan menjadi orang yang berjaya.

Kerana ketakjuban itu, Mat Salleh itu berulang kali berkata sendirian, WAU.WAU …so terrible.

Kanak-kanak tersebut yang juga tidak tahu nama “Kertas Putih” yang dilayangkan mereka itu lantas terfikir,”Oh…orang putih panggil benda ini WAU.” Lantas bermula dari hari itu, benda itu disebut orang Malaysia sebagai WAU.

Mat Salleh yang terpegun sejak tadi berhasrat untuk mendapatkan satu “Kertas Putih” untuk dibawa balik ke England. Disana nanti akan ditunjukkan kepada kerabatnya tentang kehebatan benda mainan yang dibuat oleh orang Melayu yang pernah dijajah oleh mereka dahulu.

Tidak pernah terfikir dikotak fikirnya bahawa ada benda yang boleh melayang bagitu sahaja hanya dengan mengikat benang dan tanpa bermotor.

Sedang asyik melayan fikirannya, Mat Salleh itu terkejut dengan pekikan kanak-kanak apabila WAU yang mereka layangkan tersangkut didahan pokok.

Lantas salah seorang dari mereka berteriak, “Cepat KAIT,cepat KAIT”.

“Oh…I am sure the name of this flying paper ia KITE” fikir Mat Salleh itu.

Dan dipendekkan cerita sejak dari itu semua Mat Salleh memanggil WAU itu KITE.

Sekian, demikianlah ampunya cerita……

READ MORE -

Motivasi Diri - Kesan Berangkai ( Chain Reaction ) Antara Hati, Emosi, Minda Separa Sedar, Idea Dan Tindakan


Hari ini hari Jumaat, hari yang amat sesuai untuk kita banyak-banyak mengkoreksi diri. Cari mana salah silap kita, perbetulkan sikap, perilaku dan akhlak kita.

Kunci kejayaan seseorang bergantung pada hatinya, sama ada kejayaan sebagai seorang Muslim dalam beribadah, sebagai seorang pekerja, sebagai seorang anak atau sebagai ibu bapa. Kita paksa diri mendapatkan hati yang bersih dan hidup, supaya hati itu dapat memandu emosi dan tindakan kita ke arah kecemerlangan. Bila dah dapat, kekalkannya.

Sebagai orang Melayu beragama Islam, kita tidak boleh memandang rendah peranan hati dalam usaha memburu kejayaan. Hati kita berkuasa memandu kita ke jalan kehinaan. Dalam masa yang sama juga boleh memandu kita ke jalan kejayaan, simply dengan mempengaruhi emosi kita.

Emosi pula mempengaruhi minda separa sedar kita. Minda separa sedar mempengaruhi idea kita, idea mempengaruhi tindakan kita.

Kesan berangkai antara hati, emosi, minda separa sedar, idea dan tindakan kita berkait rapat antara satu sama lain, berlaku dalam masa sebenar (real time) tanpa sedikitpun penangguhan masa. Ia berlaku berdasarkan hukum kesan dan akibat. Baik hati, maka tindakan kita akan baik juga, menemukan kita dengan kejayaan.

Jika kita nak berjaya, nak bahagia, kekalkan kebaikan, kekalkan sikap-sikap baik. Elak dari berperangai buruk, jauhi dari perkara-perkara yang membuat kita dekat dengan sikap-sikap buruk. Kita tak nampak yang kita ni ada potensi untuk berjaya, mencapai kejayaan sebab kita hampirkan diri dengan berbagai sikap-sikap buruk.

READ MORE -

Wednesday, October 7, 2009

mari berseloka :- )

Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun “make up”.

Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian moden memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.

Berseluar ketat bajupun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung.

Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak “Make Up” biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
Hanya saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali untuk akhawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan isteri.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat seluruh badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh tauladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh sekarang mulai.
READ MORE -

Tangisan Rasulullah....?

Tangisan Rasulullah menggegarkan Arasy


Jika harta yang hilang dari diri seseorang, maka tiada apa pun yang
hilang,
Jika kesihatan yang hilang dari diri seseorang, maka ada sesuatu yang
hilang,
Tetapi jika akhlak yang hilang dari diri seseorang, maka segala-galanya
telah hi lang dari diri seseorang.


"Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah s.a.w. sedang asyik
bertawaf di Ka'bah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf, sambil
berzikir: "Ya Karim! Ya Karim!"

Rasulullah s.a.w. menirunya membaca "Ya Karim! Ya Karim!" Orang itu
lalu berhenti di salah satu sudut Ka'bah, dan berzikir lagi: "Ya Karim! Ya
Karim!" Rasulullah s.a.w. yang berada di belakangnya mengikut zikirnya
"Ya Karim! Ya Karim!" Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke
belakang dan terlihat olehnya seorang laki-laki yang gagah, lagi tampan
yang belum pernah dikenalinya. Orang itu lalu berkata:

"Wahai orang tampan! Apakah engkau memang sengaja memperolok-olokkanku,
kerana aku ini adalah orang Arab badwi? Kalaulah bukan kerana
ketampananmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan aku laporkan kepada kekasihku,
Muhammad Rasulullah."

Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w. tersenyum, lalu
bertanya: "Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?"
"Belum," jawab orang itu. "Jadi bagaimana kau beriman kepadanya?"

"Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum
pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah
bertemu dengannya," kata orang Arab badwi itu pula.

Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab! Ketahuilah
aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat!" Melihat Nabi
di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya.

"Tuan ini Nabi Muhammad?!" "Ya" jawab Nabi s.a.w. Dia segera tunduk
untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w.
menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya:

"Wahal orang Arab! janganlah berbuat serupa itu. Perbuatan serupa itu
biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada tuannya, Ketahuilah, Allah
mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takabbur yang meminta
dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi
orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."

Ketika itulah, Malaikat Jibril a.s. turun membawa berita dari langit
dia berkata: "Ya Muhammad! Tuhan As-Salam mengucapkan salam kepadamu dan
bersabda: "Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona
dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di
hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil
mahupun yang besar!" Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian
pergi. Maka orang Arab itu pula berkata:

"Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat
perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan dengannya!"
kata orang Arab badwi itu. "Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan
Tuhan?" Rasulullah bertanya kepadanya. 'Jika Tuhan akan memperhitungkan
dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran
maghfirahnya,' jawab orang itu. 'Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan
hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa keluasan pengampunan-Nya.
Jika Dia memperhitungkan kekikiran hamba, maka hamba akan
memperhitungkan pula betapa kedermawanannya!'

Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w. pun
menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu, air mata
beliau meleleh membasahi Janggutnya. Lantaran itu Malaikat Jibril turun
lagi seraya berkata:

"Ya Muhammad! Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu, dan bersabda:
Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangismu, penjaga
Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga la bergoncang.
Katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya,
juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampuni
semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti!" Betapa
sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita tersebut. la
lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya. "
READ MORE -

Santapan Minda

Pesan Rasulullah SAW

Menandingi kuasa Allah S.W.T

Diriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda:

Ada seseorang berkata “Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni dosa si Polan”

Kemudian Allah S.W.T berfirman” “Siapakah yang bersumpah atas namaku bahawa Aku tidak mengampuni dosa si Polan? Sesungguhnya Aku telah mengampuni dosa si Polan dan Aku telah menghapuskan amal kebaikan kamu (orang yang telah bersumpah tadi)

(riwayat muslim)

Kesimpulan:

1. Rahmat dan keampunan Allah S.W.T terhadap hambanya adalah terlalu luas.
2. Ancaman bagi sesiapa yang memandang remeh terhadap salah seorang dari kalangan umat Islam
3. Kita tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap sesuatu yang berada dalam bidang kuasa Allah S.W.T kerana tindakan sedemikian merupakan adab kurang sopan terhadap Allah S.W.T
READ MORE -

Petua di Dapur


1. Rangupkan cucur

Bagi penggemar cucur udang, ikan bilis, jagung mahupun pisang, mungkin tidak mahu melepaskan peluang menikmati hidangan ini panas panas. Tambah tambah lagi dengan kerangupannya. Untuk merangupkan cucur supaya lebih enak dimakan, masukkan dua sudu besar
minyak panas ke dalam bancuhan tepung cucur anda. Kacau bancuhan tersebut hingga sebati dan goreng.


2.Bawang goreng tahan lebih lama

Untuk mendapatkan bawang goreng yang tahan lebih lama, mula-mula ren¬damkan bawang yang telah dimayang di dalam air garam selama 10 minit. Bilas dengan air bersih. Gorengkan bawang tersebut di atas api sederhana sehingga garing. Selepas itu simpan-kannya di dalam bekas kedap udara. Insya-Allah bawang goreng akan tahan lebih lama dan tidak mudah lemau.

Limau nipis segarkan taugey
3.Umum mengetahui bahawa sayur taugey tidak tahan lama untuk disimpan. Namun jika anda hendak menyimpan lebihan taugey yang tidak habis digunakan, bolehlah mengikut petua ini. Caranya masukkan taugey tersebut kedalam bekas berisi air kemudian perahkan limau nipis ke dalam bekas taugey tersebut. Gaulkan dengan sebati dan sayur taugey anda akan tahan lebih lama dari biasa.
READ MORE -

Apabila Jenayah Mengambil Tempat Makruf

Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, rompakan, ragutan dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya.
Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.

Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala kekejamannya. Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di mahkamah. Parti politik yang ‘kehausan kuasa’ juga mungkin mengambil kesempatan membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.
Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah menarik balik rahmat keamananNya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan rakyat. Antara punca hal ini terjadi adalah kerana hilangnya penghayatan Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah mungkar (kejahatan).
Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya)
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah ayat 71).
Perkataan mungkar sering disempitkan tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina, minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang ‘sama spesis’ dengan itu sahaja. Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang ‘dirasakan’ menunaikan tanggungjawab agama.
Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa yang tiada kaitan dengan agama. Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama.
Ini mungkin antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita. Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam.
Jika ada pihak pejabat agama yang pergi membuat ‘operasi mengintip khalwat’, dirasakan amalan soleh, walaupun itu bercanggah dengan ajaran Islam. Sementara kerja pihak polis atau ‘rukun tertangga’ mencegah jenayah yang merosakkan masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial semata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya.
Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi islami, atau ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas seperti itu. Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita, inilah antaranya.
Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain. Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita. Akhirnya, kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini.

Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa. Kita tidak tegur atau bantah perbuatan ‘rempit’, akhirnya kita atau orang yang kita sayangi menjadi mangsa.
Ibn ‘Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya):
“Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya” berkata: (maksudnya) “Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya”.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam)
Baginda Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam tanganNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepadaNya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Untuk itu seseorang yang melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya. Sabda Nabi s.a.w juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemunkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).
Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj ayat 41: (maksudnya):
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Jika sesebuah kerajaan gagal menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasulNya kehendaki. Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam.
Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama. Demi menunaikan maksud tolong menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu. Ini termasuk kenaikan gaji polis dan penambahan anggota mereka.

Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis. Maka, kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan agenda mana-mana pihak.
Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan kerenah ‘orang-orang politik’ itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan masyarakat sedang dalam keadaan getir. Buruklah sikap parti-parti politik jika sibuk dengan keselematan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.

Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas. Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan.
Islam apabila menetapkan ‘hudud’ ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam ertikata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya.

Ya, kaedah hukuman dan cara perlaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab ‘menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar’ yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.

Disiarkan pada May 24, 2009 dalam kategori Isu Semasadalam Minda Tajdid | oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
READ MORE -

Isu Kartika?

Temubual Akhbar Sinar Dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan : Apakah pandangan Dr tentang isu Kartika, mengapakah masyarakat Islam sendiri berbeza pendapat tentang isu ini, tidakkah jelas meminum arak merupakan dosa besar dalam Islam?

Jawapan: Pertamanya kita hendaklah jelas bahawa tiada siapa pun di kalangan mereka yang benar-benar muslim boleh mempertikaikan tentang ‘haramnya’ meminum arak bagi seorang muslim. Ini perkara yang disepakati. Kita tidak boleh berbeza dalam hal ini. Namun apabila tiba kepada persoalan menghukum ‘peminum arak’, di sini mungkin akan ada sedikit pandangan dan perbincangan yang mungkin akan timbul perbezaan pendapat. Perbezaan itu mempunyai banyak faktor, antaranya faktor hukum itu sendiri di mana di kalangan sarjana Islam itu berbeza pendapat tentang statusnya. Kedua faktor persekitaran atau realiti semasa yang kita hadapi sekarang.

Soalan: Apakah yang Dr maksudkan dengan sarjana Islam berbeza pendapat tentang perlaksanaan hukum ke atas peminum arak?

Jawapan: Mereka berbeza pendapat, apakah hukuman sebat yang pernah disebutkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w dan juga sejarah pelaksanaannya di zaman al-Khulafa al-Rasyidin dimasukkan dalam kategori hudud atau sekadar ta’zir (discretionary punishment). Walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.
Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali. Ini seperti yang disebut dalam riwayat al-Imam Muslim. Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment).
Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatahlagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintah berdasarkan kepada keperluan maka itu dinamakan takzir. Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan.
Jika ia dianggap bukan hudud, sebaliknya sekadar takzir, maka kadar hukuman takzir boleh diputuskan oleh pemerintah. Jika diputuskan enam rotan pun, itu ijtihad atau pandangan pemerintah atau hakim yang boleh dinilai di segi prinsip umum takzir.
Maka pandangan beberapa tokoh agama bahawa Kartika patut disebatkan empat puluh atau lapan puluh rotan, jika tidak hukuman tersebut tiada maknanya, pada saya itu pandangan mereka agak terhad tentang persoalan ini.
Soalan: Adakah hukuman sebat kepada peminum arak itu memberikan kesan pengajaran yang baik kepada masyarakat?

Jawapan: Ini bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan. Jika menurut kaedah yang betul, maka kesannya pasti positif. Jika tidak, sebaliknya akan berlaku. Ramai orang apabila sebut hukuman sebat bagi kesalahan arak atau zina dalam Islam, ia bayangkan hukuman sebat yang biasa dilaksanakan dalam penjara-penjara kita.
Sama sekali tidak benar! Sebat atau rotan bagi hukuman ini bagaikan hukuman rotan di zaman persekolahan dahulu sahaja. Atau mungkin boleh saya katakan bagaikan bapa yang merotan anaknya dengan penuh kasih-sayang, sekadar untuk mengajar bukan untuk mencederakan. Jangan terpengaruh dengan filem ‘Semerah Padi’. Itu tidak betul.
Dalam hadis riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai, seseorang berkata: “Allah telah menghinanya”. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu”.
Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi. Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan.
Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.
Soalan: Jadi, apakah Dr setuju atau tidak hukuman Islam seperti hudud dilaksanakan dalam negara kita?
Jawapan: Hudud adalah hukum yang ada dalam dalam al-Quran dan al-Sunnah, tiada siapa berhak mempertikaikannya. Namun sebelum dilaksanakan, ada banyak persoalan yang perlu ditangani. Bukan soal setuju atau tidak, soalannya sejauh manakah jika hukuman ini dilaksanakan ia mencapai maksud dan tujuan hukuman tersebut.
Tujuan hukuman untuk melaksanakan keadilan dan memberikan pengajaran sesuai dengan ajaran Islam. Hukuman mestilah memberikan natijah yang baik kepada Islam dan mampu menaikkan imej Islam serta memberikan nilai yang positif kepada masyarakat termasuk diri yang dihukum. Jika ia memberikan kesan yang negatif, maka maksud hukuman itu akan tersasar.
Saya pernah sebutkan dalam satu artikel saya bahawa ramai yang bercakap tentang hudud, namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini. Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama. Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya.
Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya? Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia.
Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi). Al-Imam Tirmizi ketika meriwayat hadis ini menyebut: “Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.
Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati. Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam.
Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.
Di samping, saya selalu sebut, hukuman yang hendak disandarkan kepada Islam itu, bukan sahaja mesti adil, tetapi juga kelihatan adil.
Soalan: Apa maksud Dr mesti kelihatan adil? Apakah dalam kes Kartika kelihatan adil atau tidak?
Jawapan: Semasa isu Kartika ini tercetus, saya masih berada di UK. Banyak email dari Malaysia saya terima menyatakan rasa tidak puas hati kepada pihak berkuasa agama. Bukan tidak puas hati dengan hukuman itu, tetapi dengan keadaan yang berlaku.
Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan? Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan ‘disembah hormat’ oleh rakyat.
Ada pula berkata: “Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan dia yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?”. Berbagai lagi sungutan yang lain.
Ya, sebahagian rungutan itu benar. Bagaimana mungkin kes-kes penginiayaan terhadap wanita; kes talak, kezaliman rumahtangga dan berbagai lagi yang bertangguh-tangguh di mahkamah kita lama gagal diproses, tiba-tiba untuk menghukum seorang wanita kelihatannya begitu pantas. Sedang kita tahu di sana ada berbagai pihak luar cuba mengambil kesempatan seperti CNN untuk menyatakan adanya diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat Islam. Ini member ruang kepada mereka.
Ya, kita tahu, itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau serakam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang.
Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.
Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina. Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.
Saya setuju, bahkan menyokong segala hasrat untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, tetapi hendaklah secara menyeluruh dan memberikan impak yang positif kepada Islam. Suasana semasa dan mentaliti masyarakat hari ini hendaklah diambil kira. Isu Kartika baik sebagai satu usaha. Apatahlagi Kartika sendiri bersetuju dan rela. Namun, suasana semasa kurang berpihak kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bukan kesalahan pihak mahkamah, tetapi nilai agama dan pemikiran masyarakat yang bermasalah.
Soalan: Apakah patut cadangan sesetengah pihak agar Kartika memohon diringankan hukuman?

Jawapan: Ya, jika ada baginya keuzuran dalam hal tersebut. Hudud sekalipun, jika ada ruang, seseorang boleh memohon keuzuran untuk dirinya, dia oleh pohon. Inikan pulak takzir. Bukan semestinya seseorang yang berdosa itu dihukum baru dia diampunkan Allah. Tidak demikian, yang penting seseorang itu insaf. Kartika telah menunjukkan keinsafan ini.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Maiz bin Malik yang datang memaklumkan kepada Nabi s.a.w bahawa dia berzina, Nabi s.a.w berulang menolak pengakuan itu dan cuba memberikan berbagai alasan untuknya agar kesnya tidak disabitkan. Dalam ertikata lain, taubat diterima Allah sekalipun tidak melalui proses hukuman.
Pelaksanaan hukum tanggungjawab penguasa, namun bukan semestinya seseorang yang berdosa wajib mengistiharkan kesalahannya di hadapan penguasa agar dihukum. Pun begitu jika seseorang memilih hukuman agar menjadi kifarah dosa untuknya, itu juga haknya. Sebab itu Nabi s.a.w meneruskan hukuman bagi mereka yang terus meminta agar dia dihukum. Itu hak mereka. Kes Kartika, kesalahan telah disabitkan. Jika dia merasakan tiada ruang untuknya diberi pengecualian dan sebagai pengajaran untuk orang lain, itu hak dia. Mungkin juga baik bagi mengingatkan orang lain.
Cumanya, seperti yang saya sebutkan dulu, asalnya Islam tidak suka mencari keburukan peribadi orang untuk dihukum. Bukan itu tujuan mahkamah dalam Islam. Bukan untuk mengintip keburukan peribadi orang, kecuali jika dia sendiri melakukan maksiat itu di khalayak ramai, maka ketika itu dihukum.
Nabi s.a.w menyebut: “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya: Dibawa seorang lelaki kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”.( Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih).
Kesalahan atau dosa yang bersifat peribadi dalam Islam ini hendaklah ditutup sedaya mungkin, melainkan jika individu itu sendiri yang melakukannya secara terbuka.

Soalan: Apakah nasihat Dr dalam isu ini?

Jawapan: Saya menasihati diri saya dan orang ramai, yang pro atau kontra dengan isu ini, fahamilah maksud dan hikmah prinsip hukum dalam Islam ini dengan cara yang betul. Menyokong atau menentang secara membuta tuli hanya merugikan dunia ilmu dan akan mencemarkan hakikat bagi sesuatu perkara.
READ MORE -

Dahulukan Puasa Enam Atau Layan Keluarga?


Soalan: Sempena hariraya, anak cucu saya pulang ke rumah. Selepas hariraya pertama ( 1 syawal) saya terus mula berpuasa enam. Isteri saya bersungut, katanya anak-anak balik dari jauh nak makan bersama-sama sedangkan saya berpuasa. Dia menyuruh saya berbuka sebab syawal masih banyak hari lagi, anak-anak pula cuti mereka pendek mereka hanya sempat beberapa hari sahaja bersama kami. Saya pula takut kehilangan fadhilat puasa enam syawal, apa yang patut saya lakukan. Jika saya berbuka nanti saya tidak dapat ‘raya puasa enam’. Minta huraian Dr Asri.

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:

Ada beberapa perkara yang perlu disentuh mengenai soalan di atas;
Pertama: Adapun sunat puasa enam hari pada Bulan Syawwal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hariraya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawwal samada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis:
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim).
Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘ثم أتبعه’ (kemudian dia susulinya), namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa mana-mana enam hari dengan niat sunnah tersebut dalam Bulan Syawwal. Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim.
Kedua: Seseorang yang berpuasa sunat dibolehkan berbuka apabila dia mahu. Bahkan, digalakkan berbuka jika itu dapat menguatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan atau menjaga perasaan orang lain. Ini seperti hadis Abi Sa’id al-Khudri, katanya:
صنعت لرسول الله صلى الله عليه و سلم طعاما فأتاني هو وأصحابه فلما وضع الطعام قال رجل من القوم : إني صائم فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : دعاكم أخوكم وتكلف لكم ثم قال له : أفطر وصم مكانه يوما إن شئت
(Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: دعاكم أخوكم وتكلف لكم ثم تقول إني صائم (saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!).
Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawwal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawwal masih banyak. Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.
Ketiga: tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Apatahlagi jika ia diiringi dengan ibadat khusus seperti solat tasbih sempena hariraya puasa enam yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).
Allah Lebih Mengetahui;
SUMBER : Dr Mohd Asri Zainul Abidin
25/9/09 -6 Syawwal 1430.
READ MORE -

Monday, September 14, 2009

Tahajud Sembuhkan Pelbagai Penyakit

Sembahyang tahajud yang hukum asalnya sunat muakkad (Sunnah yang utama) dan menjadi amalan orang-orang soleh dahulu sangat memberi manfaat selepas di kaji secara saintifik.

Sembahyang tahajud amalan sunat yang utama di sisi Allah SWT, ternyata bukan sahaja amal soleh yang menjadikan manusia terpuji di sisi Allah SWT, tetapi juga mempunyai rahsia sebagai salah satu terapi dalam dunia perubatan.

Hal ini dibuktikan dalam kajian Prof. Dr. Mohammad Sholeh (46), seorang Psiko-Neuroimunolog yang juga pensyarah/dekan lnstitut Agama Islam Negeri (IAIN) Surabaya, sembahyang sunat itu dapat menghindari seseorang daripada serangan kanser. Tidak percaya? "Cubalah anda rajin-rajin sembahyang tahajud. Jika anda melakukannya secara rutin, sempurna, khusyuk, dan ikhlas nescaya anda terbebas daripada serangan kanser," ungkap Sholeh.

Ayah dua anak itu bukan 'penjual ubat' di kaki lima. Dia mengemukakan pandangannya semasa menyampaikan disertasi atau tesis beliau di Fakuiti Perubatan (kedoktoran), Universitas Air-langga (UNAIR), Surabaya yang membolehkan beliau memperoleh pengiktirafan sebagai doktor perubatan. Walaupun latar belakang pendidikan beliau adalah sarjana fakulti Dakwah dan Psikologi Kaunseling, tetapi tidak menghalang beliau menceburkan diri dalam bidang perubatan.

Sudah ramai pesakit sama ada yang mengalami sakit ringan mahupun kronik yang dirawat melalui terapi sembahyang tahajud yang beliau buka.

"Terdapat di antaranya yang menderita sakit kronik sehingga cenderung mencari kaedah perubatan yang bukan sahaja berbentuk klinikal," ujar Sholeh.

Malah terdapat juga di kalangan doktor perubatan yang menggunakan terapi beliau. Antaranya seorang doktor yang dikenali sebagai SM Agustini, seorang doktor pakar Patologi, yang menderita penyakit gastrik dan mengalami sakit kepala yang berlarutan. Selepas mengikuti terapi sembahyang tahajud, penyakit yang dihidap dapat dirawat dengan berkesan.

Penemuan Sholeh sesungguhnya sesuatu yang baru dalam dunia perubatan. Sebab itu Sholeh berusaha membuka Klinik Terapi Tahajud di Masjid Al-Akhbar Surabaya. Lelaki yang peramah ini juga giat melakukan kempen dan latihan kepada orang ramai supaya mengamalkan sembahyang tahajud.

Tentu ada yang bertanya, apakah hubungan sembahyang tahajud dengan kesihatan. Menurut Sholeh, jika seseorang mengamalkan sembahyang tahajud dengan khusyuk, pelaksanaannya tepat dan dilakukan secara berterusan, maka akan wujud perubahan dalam diri mereka.

Menurut Sholeh lagi, dalam tubuh kita terdapat satu sistem yang dikenali dengan imun. Sistem imun ini berfungsi melindungi diri dari pelbagai patogen (parasit yang boleh mendatangkan penyakit), dan toksin (racun). Udara yang dihirup manusia yang kelihatannya bersih, sebenarnya terdapat banyak virus. Seandainya Allah tidak mencipta sistem yang dikenali sebagi imun dalam tubuh manusia, manusia sudah meninggal sejak kecil lagi.

Sistem imun kajian beliau terdapat 9 bentuk. Antaranya dikenali dalam ilmu perubatan sebagai hormon kortisol, eosinofil, neotrofil, sel-K, basofil, makrofag dan imunoglobulin (IgA, IgM, IgG, IgD, dan IgE).
"Darah kita kan merah. Kalau diambil dan diberi reagent (sejenis zat kimia yang biasa dipakai untuk menentukan golongan darah), warna boleh berubah dan bentuk akan berbeza. Perubahan dan perbezaan ini menunjukkan fungsi yang berbeza.

Terdapat sel yang dikenali sebagai Makrofag, diambil daripada kata makro (besar) dan fag (pemakan). Itu adalah sel yang berfungsi memakan sel lain yang tidak normal. Cara mengeluarkannya dari dalam tubuh bergantung kepada keadaan psikologi seseorang.

Maksudnya, menurut Sholeh, dalam keadaan jiwa yang tidak tenteram seperti menghadapi anak yang nakal, isteri yang curang atau kerja di pejabat yang bertimbun, keadaan ekonomi gawat seseorang akan mudah stress atau tertekan. Dalam keadaan seperti itu, jika gambar otak diambil, tekstur akan nampak kacau.

Namun sekiranya mengamalkan sembahyang tahajud dengan khusyuk dan ikhlas, hormon-hormon yang ada dalam tubuh akan bergerak normal dan tenang. Ini kerana ia meletakkan Allah di atas segala-galanya.

Jadi jika makrofag tidak seimbang dalam tubuh, maka akan datang bahaya. Malah hal ini menyebabkan tubuh seseorang berpotensi untuk menghidap kanser. Tetapi jika seseorang rajin sembahyang tahajud, daya tahan tubuh meningkat dan boleh terhindar daripada serangan pelbagai penyakit.

Selama ini, menurut Sholeh, tahajud dianggap hanya merupakan ibadah tambahan atau sembahyang sunat. Padahal jika dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas, secara perubatan sembahyang tersebut memberikan satu kekuatan yang berguna untuk ketahanan tubuh (imonologi) khususnya pada imonoglobin M,G,A dan limposit serta dapat mengefektifkan kemampuan individu untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Tegas Sholeh lagi, sembahyang yang muakkadah (Sunnah yang utama) ini yang menjadi amalan orang-orang soleh dahulu sangat memberi manfaat selepas dikaji secara sainufik.

Dalam kata lain, Sholeh menyatakan bahawa peningkatan keimanan mempunyai kesan langsung kepada keadaan tubuh seseorang. Ini kerana, jika iman seseorang meningkat, ia akan sentiasa berfikiran positif dan berprasangka baik. Maka seiring dengan itu persepsi seseorang itu terhadap hidup akan lebih baik.

"Malah semasa ditimpa musibah sekalipun orang yang kuat imannya akan berfikiran positif, menganggap segala yang berlaku ada hikmahnya," ujar Sholeh. Menurut Sholeh lagi, dalam neorologi (ilmu saraf), persepsi itu diubah menjadi impuls (rangsangan). Kalau seseorang itu tenang, maka corticotropic releasing factor (CRF) akan mempengaruhi andrenocorticotropic hormone (ACTH) dan kristol.

Teori perubatan menyatakan kalau kortisol naik, maka imunologi turun. Sebab itu, jika seseorang sembahyang tahajud dengan baik dan ikhlas, keadaan jiwanya akan tenang dan hormon lain akan menjadi normal. Sebab itu di Barat, anak-anak yang kurang cerdas biasanya disuntik dengan campuran ACTH supaya membantu anak tersebut menjadi cerdik.

"Tetapi jika kita mengamalkan sembahyang tahajud dengan cara yang sempurna, secara automatik ACTH naik dan hal tersebut boleh membantu kecerdasan umat Islam," jelas Sholeh lagi.

Teori Berasaskan Kajian

Sholeh membuktikan kajiannya tersebut melalui satu penelitian terhadap 41 orang pelajar di Sekolah Menengah Luqman Hakim, Pondok Persantren Hidayatullah, Surabaya. Daripada 41 orang pelajar tersebut, hanya 23 orang yang sanggup bertahan pelajar yang mampu bertahan menunaikan sembahyang tahajud selama 2 bulan.

Sembahyang yang bermula pukul 3 pagi, berakhir pada pukul 4.30 pagi dilakukan sebanyak 11 rakaat, masing-masing 2 rakaat 4 kali salam dan tiga rakaat witir. Seterusnya, hormon kortisol mereka diukur di tiga makmal di Surabaya iaitu di makmal Paramita, Prodia dan 'Kliraka. Hasilnya ditemukan bahawa keadaan tubuh badan seseorang yang_rajin sembahyang tahajud dengan ikhlas, jauh berbeza dengan orang yang tidak melakukan sembahyang tahajud.

Mereka yang rajin dan ikhlas sembahyang tahajud memiliki ketahanan tubuh dan kemampuan menghadapi masalah-masalah dengan stabil.

"Jadi sembahyang tahajud selain sebagai ibadah, juga mempunyai kaitan dengan kekuatan psikologi (rohani) yang dapat mempengaruhi kawalan kesedaran. Dengan cara memperbaiki persersi dan motivasi positif dan coping yang efektif, emosi yang positif dapat meghindarkan seseorang daripada strees,"

Menurut Sholeh, orang yang stress atau mengalami tekanan itu biasanya berpotensi mengalami penyakit kanser dan infeksi. Dengan sembahyang tahajud yang dilakukan secara rutin dan disertai perasaan ikhlas serta tidak terpaksa, seseorang akan memiliki responimun atau kesan yang baik, yang kemungkinan besar akan terhindar daripada penyakit infeksi dan kanser.

Dan, berdasarkan kaedah perubatan menunjukkan sembahyang tahajud menjadikan tubuh seseorang memiliki ketahanan yang baik. Allah SWT berfirman, "Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah": (Surah Al-Kautsar, ayat 2). Ini satu bukti bahawa akal dan fikiran manusia tidak mampu mengetahui semua rahsia atas rahmat, nikmat, anugerah yang di berikan oleh Allah SWT kepadanya. ?
"
READ MORE -

Thursday, July 30, 2009

Dakwah Islam Di Eropah

"Fenomena para da'i di dunia Islam saat ini merupakan fenomena yang menggembirakan dan layak mendapat dukungan serta apresiasi," demikian salah satu pernyataan Dr. Lena Larsen, Dekan Pengajian Islam di Universiti Oslo.

Menurut mantan Ketua Majlis Islami Norway ini, para dai tersebut di samping mempunyai bakat dakwah yang cukup baik, mereka juga mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi orang. Namun, tambah Larsen, untuk kesuksesan dakwah Islam terutama di Barat, sangat diperlukan sebuah organisasi dakwah Islamiyah skala antarabangsa yang mampu membentuk dan membina da'i-da'i moden yang handal yang mampu melaksanakan dakwahnya di era globalisasi ini.
Di sela-sela Muktamar Islam Antarabangsa yang diadakan Majlis A'la li as-Syu'un al-Islamiyah di Kaherah, wanita yang mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun ini bercerita banyak kepada Asyarq Awsath tentang lika-liku dakwah dan kisah beliau masuk Islam.

Apakah sebab Anda memeluk Islam?

Saya telah menjadi muslimah lebih daripada 25 tahun. Sebelum ini saya beragama Kristian, waktu itu saya berusia 17 tahun. Saya masuk Islam melalui seorang Muslimah yang saya lihat sedang solat Maghrib. Saya tidak tahu apa-apa tentang solat. "Kamu buat apa?" tanya saya padanya. "Saya solat menyembah Allah," jawabnya. "Apa itu solat? dan kamu beragama apa?" tanya saya kembali. "Saya Muslimah, dan solat adalah kewajipan bagi semua Muslim," jawabnya untuk yang kedua kali. Begitulah, saya meminta penjelasan tentang Islam, solat, dan banyak hal tentang ritual-ritual wajib dalam Islam. Semenjak hari itu, saya banyak baca buku tentang Islam dan belajar melalui beberapa ulama sampai akhirnya Allah memberikan hidayah Islam kepada saya. Alhamdulillah kemudian saya menikah dengan lelaki Muslim dari Jordan, beliau seorang jurutera komputer dan bekerja di Rabithah Islamiyah di Norway.

Apakah reaksi keluarga Anda ketika mengetahui keislaman Anda?

Keluarga tidak ada yang menentang keputusan saya untuk memeluk Islam. Hal ini kerana orang Eropah cenderung menghormati kebebasan termasuk kebebasan beragama. Sehingga tidak mungkin kita temui seorang pun yang mengatakan kepada anak dan isterinya, "ayuh ke gereja atau ayuh beribadah. Ketika saya putuskan untuk menjadi Muslimah, saya tetap tinggal bersama mereka, namun saya menolak beberpa hal prinsip seperti masalah makanan haram. Begitupun sebaliknya mereka keberatan jika saya memakai tudung, hanya saya tetap melakukannya dengan alasan kebebasan dan tidak ada seorang pun yang boleh melanggar kebebasan saya.

Bagaimana cara Anda melayani Agama Anda terutama dalam keadaan yang dihadapi Islam saat ini dari pelbagai berita-berita yang menyesatkan tentang Islam?

Saya telah menyerahkan hidup saya untuk berdakwah kepada Allah. Saya belajar Bahasa Arab agar mampu membaca buku-buku agama berbahasa Arab sehingga saya mendapat pengetahuan yang banyak tentang Islam. Dan Alhamdulilah, saya pernah menjawat jawatan Ketua Majlis Islami di Norway selama dua tahun lebih. Selama menjadi ketua, saya telah berusaha melakukan beberapa perkara untuk perkhidmatan Muslimin Norway. Yang membantu tugas berat saya ini adalah kerana saya asli Norway, saya amat memahami keadaan masyarakat dan budaya Norway. Dan juga mungkin kerana saya adalah satu-satunya wanita dalam sejarah dunia yang menjadi ketua dalam organisasi semacam ini. Kini saya menyibukkan diri kepada pendidikan agama bagi para muslimah di masjid-masjid. Saya juga menterjemah beberapa kitab Islam ke Bahasa Norway, sebagai kesibukan tambahan di sela-sela tugas saya sebagai profesor Pengajian Islam di Universiti Oslo. Yang pasti fokus saya adalah dakwah Islamiyah yang telah saya lakukan sejak awal saya masuk Islam. Wanita dan lelaki menurut saya dalam hal ini sama. Mereka sama dituntut untuk melaksanakan dakwah Islamiyah dengan baik.

Bagaimana pendapat Anda mengenai Fonemena da'i-da'i baru yang tersebar di seluruh dunia Islam. Meraka rata-rata bukanlah di bawah organisasi rasmi di negara mereka, mereka inilah yang disebut "da'i bebas". Fenomena ini telah menjadi polemik di dunia Islam, sebahagian mendukung dan mengapresiasi mereka, namun sebahagian yang lain menentang dengan alasan bahawa mereka bukanlah orang-orang yang terlatih dalam dakwah kepada Allah?

Ya, secara peribadi saya mendukung mereka, kerana ini merupakan fenomena yang bagus. Mereka layak mendapat dukungan. Mereka orang berbakat yang mempunyai kemampuan lebih dalam memahami apa yang diperlukan orang, kerana mereka mampu menyentuh konteks masyarakat secara khusus, terutama sasaran dakwah mereka para pemuda dan memberikan pengetahuan Islam yang benar. Namun mereka semestinya tidak masuk kepada masalah perbezaan (khilafiyah) untuk menjaga kesatuan umat Islam. Mereka lebih baik fokus kepada ajaran-ajaran yang baik dari Islam serta keindahannya. Ajaran mulia yang dibawa Islam dan pengaruhnya terhadap kehidupan individu dan sosial. Saat ini kita memang memerlukan da'i moden yang mampu memahami realiti dan mampu mencari penyelesaian daripada masalah hidup yang dihadapi umat Islam dengan metode cemerlang dan menarik.

Daripada pengalaman Anda, apakah yang menjadi masalah paling besar yang dihadapi umat Islam Norway, dan bagaimana Anda menyelesaikannya?

Sebelum itu, perlu saya tekankan di sini bahawa Norway adalah negara maju, dakwah di sana memerlukan da'i-da'i handal dan mempunyai wawasan luas. Sayangnya, kualiti da'i yang ada, khususnya ketika bulan Ramadhan, masih jauh daripada yang kita harapkan. Oleh itu, saya sarankan harus ada peranan organisasi dakwah di dunia Islam yang bertugas membentuk da'i-dai Islam moden yang mampu melaksanakan dakwah di era globalisasi. Dari sinilah, saya meminta para da'i yang disiapkan untuk dakwah di Barat, baik dari dunia Arab atau Islam secara umum, agar memiliki wawasan yang cukup tentang budaya bangsa lain, di samping pengetahuan mereka tentang fikih maqasid (tujuan hukum) dan kemampuan menghubungkannya dengan konteks kekinian serta mampu mengeksplorasi keajaiban-ajaiban ilmiah dalam Alquran dan Sunnah sebagai bukti kebenaran ajaran Islam. Yang terakhir cukup penting mengingat orang Barat lebih memuliakan akal dan ilmu pengetahuan di atas segalanya. Islam adalah agama akal dan ilmu.

Menurut Anda apakah faktor penyebab beberapa media di Eropah cenderung menentang Islam dan bahkan menghina Islam?

Sebagimana yang saya katakan, secara umum, Barat menyucikan kebebasan, ini satu sisi. Dari sisi yang lain, di Barat tidak mengenal norma-norma susila, bahkan dalam Kristian kita juga melihat mereka menghina Isa AlMasih. Jadi norma-norma susila dan etika bagi orang Barat adalah sesuatu yang remeh. Bagi saya, untuk menghadapi penghinaan, kita harus menggunakan dialog yang sihat. Jadi, dunia Islam dituntut untuk melakukan dialog dengan Barat. Kita juga dituntut untuk memberikan informasi yang benar tentang Islam dan menjelaskan hal-hal yang selama ini dianggap ancaman bagi mereka, seperti masalah terorisme dan lain-lain. Sayangnya, banyak orang menyakini bahawa Islam mengajak umatnya kepada radikalisme dan terorisme dan membenci orang-orang di luar Islam serta budaya mereka. Kerana itulah respons mereka terhadap Islam adalah kebencian dan ketakutan. Jadi, yang paling penting adalah agar umat Islam mampu memberikan penjelasan yang benar tentang syariat Islam dan terorisme dalam bingkai dialog yang sihat.
READ MORE -

Muhammad al-Ghazali (1917-1996M) : Pemikir Dakwah dan Pembela Islam.

Muhammad al-Ghazali al-Saqa dilahirkan di kampung Nakla al-‘Inat di daerah Ayta al-Barud di negeri Bahira, Mesir pada 22 Sepetember 1917. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang kuat agama. Bapa beliau memberi nama Muhammad al-Ghazali sempena mengambil nama Abu Hamid al-Ghazali (m. 505H) kerana bapanya cenderung ke arah kesufian. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 adik beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya. Sejak kecil lagi beliau sudah menunjukkan ciri-ciri keilmuan yang unggul dengan kemampuan menghafal al-Qur’an ketika berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kolej Agama Iskandariah, Mesir. Semasa memasuki sekolah peringkat rendah usianya baru menjangkau sebelas tahun iaitu pada tahun 1928. Beliau meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar pada tahun 1937 dan lulus dari Fakulti Usuluddin pada tahun 1941. Di Fakulti Usuluddin, beliau telah berguru dengan ulama-ulama besar al-Azhar, di antaranya ‘Abd ‘Azim al-Zarqani, Mahmud Shaltut, Muhammad Yusuf Musa (m. 1963M) dan Muhammad Ghallab. Pada tahun 1937, beliau telah berkecimpung dengan gerakan Ikhwan Muslimun pimpinan Hasan al-Banna, dengan menjadi ahli gerakan ini. Sejak dari itu, beliau telah bergiat cergas dalam dakwah dan banyak pemikiran, pengalaman dan didikan yang diambil dari Hasan al-Banna. Pada tahun 1943, beliau menerima ijazah Diploma Pendidikan pengkhususan Bahasa Arab dan Kesusasteraan dan ijazah Pengkhususan Dakwah daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Beliau merupakan anak didikan Hasan al-Banna dan ulama besar al-Azhar. Muhammmad al-Ghazali begitu terkesan dengan didikan dari Hasan al-Banna. Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna sebagai pendorong dan pembimbingnya dalam medan dakwah. Menurut Muhammad al-Ghazali, beliau pertama kali berjumpa dengan Hasan al-Banna ketika menjadi penuntut di Kolej Agama Iskandariah semasa berumur lebih kurang 20 tahun.

Antara kesan terhadap jiwanya itulah beliau telah mengarang kitab Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah li al-Muslimin yang menjelaskan Usul ‘Ishrin (Asas 20 Perkara) yang ditulis oleh Hasan al-Banna. Muhammad al-Ghazali menyifatkan Hasan al-Banna seorang pejuang yang ikhlas, mempunyai peribadi yang mulia dan pentafsir al-Qur’an yang baik. Beliau mempunyai kelebihan kerana dapat memahami uslub yang susah lalu disampaikan kepada orang ramai dengan uslub yang begitu menarik dan mudah difahami.

Menurut Yusuf al-Qaradawi bahawa Muhammad al-Ghazali dalam penjara Tur selalu meniupkan semangat perjuangan dengan mengatakan bahawa kematian Hasan al-Banna tidak bermakna pertentangan dengan musuh-musuh Allah dan umat Islam telah berakhir. Panji-panji Hasan al-Banna akan diteruskan oleh murid-muridnya dan dakwahnya tidak akan lenyap. Muhammad al-Ghazali juga terkesan dengan didikan ulama-ulama besar al-Azhar. Beliau mengakui terpengaruh dengan didikan ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani r.h., guru tafsir dalam Fakulti Usuluddin. Di Kolej Agama Iskandariah, beliau terpengaruh dari gurunya yang bernama Ibrahim al-Gharbawi dan ‘Abd al-‘Azim Bilal, guru pendidikan psikologi. Beliau juga terpengaruh dengan Mahmud Shaltut, guru dalam bidang Tafsir, dan kemudian menjadi Shaykh al-Azhar. Begitulah tokoh-tokoh ulama yang mempengaruhi jiwa Muhammad al-Ghazali sehingga beliau tidak mengenal erti penat dan lelah, sanggup dipapah di serata dunia semata-mata untuk menyebarkan dakwah serta meninggikan kalimah Allah yang mulia. Muhammad al-Ghazali merupakan seorang penulis sejak beliau menuntut di Universiti al-Azhar dalam usia yang masih muda. Menurutnya, masa yang paling baik baginya menulis ialah selepas solat subuh. Muhammad al-Ghazali menjadi penulis dalam akhbar al-Muslimun, al-Nazir, Liwa’ al-Islami, Mimbar al-Islam, Majalah al-Azhar, dan lain-lain akhbar di Mesir. Di Arab Saudi, beliau menulis di akhbar al-Da‘wah, al-Tadaman al-Islami, dan Majalah Rabitah. Sementara di Qatar dalam majalah Ummah dan di Kuwayt dalam majalah al-Waei al-Islami. Banyak pemikiran yang diutarakan dalam tulisan-tulisannya sehingga beliau dikenali sebagai Adib al-Da‘wah.

Pada tahun-tahun terakhir sebelum meninggal dunia, beliau menjadi kolumnis tetap bagi surat khabar mingguan Sha‘ab di Mesir atas tajuk “Hadha Dinuna” dan akhbar al-Muslimin atas tajuk “al-Haq Murr”.

Muhammad al-Ghazali pernah bertugas di Kementerian Wakaf Mesir sebagai penasihat kepada Universiti al-Azhar, Pengarah Umum Masjid dan Pengarah Dakwah. Pada 21 Julai 1981, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Kementerian Wakaf, Bahagian Dakwah. Beliau juga pernah menjadi imam dan khatib di Masjid al-Azhar, Masjid Atabah al-Khadra’ dan Masjid Amru bin al-‘As. Dalam bidang akademik, Muhammad al-Ghazali pernah bertugas sebagai Profesor di Universiti Qatar dan mengetuai Lembaga Akademik Fakulti Pengajian Islam, Universiti Amir Abd al-Qadir di Algeria. Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Umm al-Qura, Mekah. Beliau juga pernah mengajar di Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin di Universiti al-Azhar.

Semasa hayatnya, Muhammad al-Ghazali pernah menerima anugerah Ijazah al-Malik Faysal dalam bidang Khidmat Islam pada tahun 1989, Anugerah Penulis pada tahun 1991, Anugerah Penghargaan Negara Mesir pada tahun 1992 dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan. Anugerah Presiden bagi kesarjanaan yang cemerlang Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1995.

Beliau telah meninggal dunia di Riyadh pada 9 Mac, 1996 selepas diserang sakit jantung. Beliau telah dimakamkan di perkuburan al-Baqi‘, Madinah al-Munawarah berdekatan dengan makam anak Nabi Muhammad -Ibrahim dan Malik bin Anas iaitu lebih kurang 15 meter dari masjid al-Nabawi. Jenazahnya telah disembahyangkan oleh Huzayfi di Masjid al-Nabawi. Allah telah memuliakannya sehingga beliau dimakamkan berhampiran makam Nabi Muhammad s.a.w sehingga penggali kubur bertanya siapakah yang akan dikebumikan di tempat yang mulia ini yang begitu dekat dengan Masjid Rasulullah s.a.w lalu mereka memberitahu orangnya ialah Muhammad al-Ghazali.

Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai seorang pendakwah yang ulung, yang keseluruhan hidup dan waktunya berkhidmat untuk Islam, mempunyai ketegasan dan pendirian yang tetap. Sayyid Ahmad Abd al-Hadi al-Qasibi, ketua Tariqat Sufi menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai seorang yang mempunyai pemikiran bernas, perkataan yang lembut, kefahaman yang mendalam bagi maqasid agama dan pandangan yang ideal dalam kebangkitan umat. Beliau meninggal dunia dalam keadaan berjuang pada jalan Allah dan menjadi contoh teladan buat generasi selepasnya. Mahmud Hamdi Zaqzuq, Menteri Wakaf Mesir menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai contoh bagi setiap para pendakwah untuk mengikuti perjalanan dan metodologi dakwahnya. Kematiannya merupakan kehilangan yang besar dalam medan dakwah di Mesir dan dunia Islam keseluruhannya.

Muhammad ‘Imarah seorang pemikir Islam dari Mesir menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai tokoh ulama mujaddid dalam pemikiran Islam pada masa kini, terdapat dalam diri dan pemikirannya metodologi pengetahuan Islam yang menggabungkan nas dan akal di samping ilmu-ilmu semasa. ‘Umar Hashim, Rektor Universiti al-Azhar menyifatkan al-Ghazali sebagai seorang mujaddid yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam pemikiran dan ijtihadnya. Beliau meminta generasi muda kini mencontohi manhajnya dalam kehidupan mereka.

Buku-Buku dan Ciri-Ciri Penulisan Muhammad al-Ghazali

1. Al-Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah
(Islam dan Kedudukan Ekonomi), Dar al-Rayan li Turath, al-Qahirah, Cet. Kelapan, 1987.

2. Al-Islam wa al-Manhaj al-Istirakiyyah
(Islam dan Metodologi Sosialis), Dar al-Kitab al-Hadithah, al-Qahirah, t.t.

3. Islam wa Istibdad al-Siyasi
(Islam dan Politik Diktator), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1984.

4. Islam Muftara ‘alayh bayn Shuyu‘in wa al-Rasumaliyyin
(Salah Faham Terhadap Islam : Antara Tentangan Komunis dan Kapitalis), Dar al-Kitab al-Islamiyyah, al-Qahirah, t.t.

5. Min Huna Na‘lam
(Dari Sini Kita Memahami), Nahdah Misr, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1997.

6. Ta’amulat fi Din wa ‘l-Hayat
(Penghayatan Pada Agama dan Kehidupan), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1992.

7. Khuluq al-Muslim
(Peribadi Orang Islam), Dar al-Rayan, al-Qahirah, 1980

8. ‘Aqidah al-Muslim
(Akidah Muslim),Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, 1980.

9. Al-Ta‘asub wa al-Tasamuh
(Ekstremisme dan Toleransi), Dar al-Tawjiz wa al-Nashar al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1993.

10. Fi Mawkib al-Da‘wah
(Dalam Perjalanan Dakwah), Dar al-Kitab al-‘Arabi, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1957


Muhammad al-Ghazali begitu gigih dan berani dalam mengatakan kebenaran. Sejak dari tahun 1948, beliau telah mengarang buku dalam bidang pemikiran. Bukunya yang pertama iaitu al-Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah (Islam dan Kedudukan Ekonomi) yang membahaskan mengenai kedudukan ekonomi yang sebenar dari sudut pandangan Islam. Tulisan-tulisannya memberi semangat baru kepada kebangkitan umat Islam. Dalam menentang penyelewengan harta dan kezaliman masyarakat, beliau telah mengarang buku:-

1. Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah. (Islam dan Kedudukan Ekonomi)
2. al-Islam wa al-Manhaj Istirakiyyah (Islam dan Manhaj Sosialis)
3. Al-Islam al-Muftara ‘alayh bayn al-Shuyu‘in wa al-Rasumaliyyin (Salah Faham Terhadap Islam : Antara Tentangan Golongan Komunis dan Kapitalis)
4. Al-Islam fi Wajh al-Zahf al-Ahmar (Islam dalam Memerangi Bendera Merah)

Dalam bidang penyelewengan politik, yang mengharamkan syura dan mengamalkan diktator, beliau mengutarakan pandangan di dalam buku-buku yang ditulisnya seperti :-

1. Islam wa Istibdad al-Siyasi (Islam dan Politik Diktator)
2. Huquq al-Insan bayn Ta‘lim al-Islam wa ‘Ilan al-Umam al-Muttahidah (Hak-hak Kemanusiaan antara Ajaran Islam dan Resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu)

Dalam bidang ketamadunan, beliau mengarang buku bagi menjawab tuduhan-tuduhan golongan Barat terhadap Islam. Buku yang berjudul Min Huna Nabda’ bagi menjawab persoalan yang mengatakan istana untuk istana, Allah untuk Allah dalam buku karangan Khalid Muhammad Khalid yang berjudul Min Huna Na‘lam. Beliau juga menulis buku yang menerangkan sosialisme iaitu Haqiqat al-Qawmiyyah al-‘Arabiyyah (Hakikat Nasionalisme Arab) bagi menjawab pandangan Barat terhadap nasionalisme. Antara buku-bukunya yang membicarakan perkara pertembungan tamadun ini seperti Mustaqbal al-Islam Kharij al-Ardih wa Kayfa Nufakkir fih (Masa Depan Islam di luar Tanahairnya dan Bagaimana Kita Berfikir Untuknya).

Dalam membentuk masyarakat Islam dan pengislahannya, beliau telah mengarang Khuluq al-Muslim (Akhlak Peribadi Muslim). al-Ta‘asub wa al-Tasamuh (Ekstrmisme dan Toleransi), Fiqh al-Sirah (Kefahaman Sejarah Rasul), Hadha Dinuna (Inilah Agama Kita), Kayfa Nafham al-Islam (Bagaimana Memahami Islam), Nazarat fi al-Qur’an (Kajian-kajian Dalam al-Quran), Islam wa al-Taqat al-Mu‘attalah (Islam dan Tenaga Yang Sia-sia), Sir Ta’akhar al-‘Arab wa al-Muslimin (Rahsia Kemunduran Arab dan Muslimin). Jaddid Hayatak (Perbaharui Kehidupanmu), Laysa Mina ‘l-Islam (Bukan Daripada Islam), Ma‘a ‘l-Allah (Bersama Allah), dan lain-lain.

Muhammad al-Ghazali telah meninggalkan khazanah ilmu yang amat bernilai untuk generasi kini menerokainya. Beliau telah menghasilkan lebih dari 60 buah kitab dalam bidang kajian pemikiran Islam dan dakwah Islamiah. Seorang wartawan pernah bertanya kepada beliau mengenai sumbangannya dalam medan dakwah melalui buku-bukunya lalu beliau menjawab dengan penuh rendah diri bahawa tidak berpuashati apa yang telah beliau sumbangkan kepada dunia ilmu Islam. Beliau bercita-cita jikalau umur ini boleh kembali semula, beliau akan berkhidmat untuk Islam lebih dari apa yang ada sekarang.

Sumber Pemikiran Muhammad al-Ghazali dan Usul ‘Ashrin.

Muhammad al-Ghazali dalam mengutarakan pandangannya mengambil sumber asasi sebagai titik-tolak dalam karyanya. Sumber-sumber itu ialah:

a) Al-Qur’an : Al-Qur’an merupakan sumber utama dalam beliau menyampaikan dakwah. Al-Qur’an yang menjadi bacaan hariannya, pagi dan petang sehingga beliau mempunyai buku yang khusus mengenai al-Qur’an. Antaranya Nahw Tafsir al-Mawdu‘iyy

b) Al-Sunnah : Al-Sunnah merupakan sumber kedua selepas al-Qur’an. Beliau sentiasa mengambil hujah-hujah serta dalil-dalil daripada al-Sunnah dalam menerangkan makna al-Qur’an. Beliau juga sentiasa mempertahankan Sunnah daripada tangan-tangan yang ingin mencemar kedudukan Sunnah di sisi Islam.

c) Kisah-Kisah Sejarah : Sejarah ketamadunan manusia khusus sejarah tamadun Islam dan sejarah perjuangan Rasulullah sentiasa menjadi rujukannya. Muhammad al-Ghazali seorang peminat buku-buku sejarah khususnya sejarah Islam. Menurutnya, dari sejarah kita dapat mengetahui rahsia kemenangan umat Islam silam.


d) Ilmu-Ilmu Agama dan Sains Kemanusiaan : Pembudayaan ilmu yang meliputi segala bidang, sama ada pengetahuan agama, kemasyarakatan, politik, ekonomi dan antarabangsa. Muhammad al-Ghazali merupakan graduan daripada Fakulti Usuluddin, iaitu fakulti yang mengajar pelbagai ilmu seperti Tafsir, Hadith, Falsafah, Akidah, Mantiq, Psikologi, Usul Fiqh, Sejarah, dan Tasawwuf. Oleh itu terdapat dalam dirinya ilmu-ilmu tersebut sebagai bekalannya dalam medan dakwah. Tambahan pula, beliau adalah graduan yang khusus dalam pengajian dakwah.

e) Realiti dan Prioriti : Muhammad al-Ghazali sentiasa melihat realiti dan prioriti (keutamaan) dalam menyampaikan dakwah sama ada realiti umat Islam setempat (Mesir), Realiti Serantau (dunia Arab), Realiti Dunia Islam dan Realiti Antarabangsa (Dunia Luar Islam).

Beliau menggabungkan kelima-lima unsur tersebut dalam menyampaikan dakwah sehingga dapat membentuk pemikiran yang bernas dalam menyelesaikan permasalahan ummah kini dengan pendekatan yang begitu mudah. Kelima-lima unsur ini terpancar dari nilai-nilai asas syariah Islam. Beliau juga melihat Fiqh al-Awlawiyyat dalam menyelesaikan tugas dakwahnya.

Muhammad al-Ghazali merupakan pemikir Islam yang membawa pembaharuan dalam dunia Islam. Beliau merupakan anak didik Hassan al-Banna , Mursyid Ikhwan Muslimin dan banyak mewarisi pemikiran Hassan al-Banna yang inginkan pembaharuan dalam dunia Islam. Antara ulama yang tergolong dalam Madrasah Fikriyyah (Institusi Aliran Pemikiran) ialah Rashid Rida (m.1935M), dan Muhammad ‘Abduh. Muhammad al-Ghazali telah menulis al-Muqarar al-‘Ashir tambahan kepada perkara yang ditulis oleh gurunya Hassan al-Banna dalam Ta‘alim al-‘Ishrun al-Muqarar al-‘Ashir. Ia membahaskan mengenai aspek-aspek kemasyarakatan, politik dan hubungan antarabangsa.

Beliau mengatakan bahawa 10 perkara ini amat diperlukan oleh masyarakat Islam pada hari ini sebagai tambahan kepada Ta‘alim al- ‘Ishrun yang dikarang oleh Hassan al-Banna. Perkara-perkara itu adalah seperti berikut :

1. Wanita adalah gandingan lelaki. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan yang meliputi kedua-dua jantina, demikian juga gesaan ke arah melakukan kebaikan dan larangan dari melakukan perkara mungkar meliputi lelaki dan wanita. Wanita juga dalam batas kesopanan Islam - mempunyai hak untuk menyertai pembangunan masyarakat dan melindunginya.

2. Keluarga adalah asas survival akhlak dan sosial bagi ummah, ia merupakan pendukung tabie bagi generasi yang muncul. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan suasana yang baik antara mereka berdua. Lelaki adalah ketua keluarga, tanggungjawabnya jelas seperti yang disyariatkan oleh Allah ke atas setiap individunya.

3. Manusia mempunyai hak material dan moral selaras dengan kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya serta kedudukannya yang tinggi di muka bumi ini. Agama Islam telah menjelaskan hak- hak tersebut dan menggesa supaya hak-hak itu dihormati.

4. Pemerintah- sama ada raja atau ketua negara - adalah petugas bagi rakyat dengan memelihara kepentingan agama dan keduniaan mereka. Kewujudan pemerintah berdasarkan pemeliharaan yang ditentukan itu serta berdasarkan kerelaan sebahagian besar rakyat memilihnya atau mentadbirkan mereka secara kuku besi.

5. Asas pemerintahan adalah syura, setiap bangsa berhak memilih cara melaksanakannya. Namun cara yang paling mulia ialah cara yang membawa keredaan Allah serta mengelakkan dari riya’, mengumpul harta, penipuan serta cintakan keduniaan.

6. Hak milik perseorangan adalah terjamin seperti diakui oleh syariat Islam. Ummah adalah asas yang satu dan tidak diabaikan suatu anggota pun daripadanya. Persaudaraan umum merupakan hukum yang menaungi setiap individu dalam jamaah dan urusan kebendaan dan moral tunduk kepadanya.

7. Keluarga negara-negara Islam bertanggungjawab mengenai dakwah Islamiah dan mencegah pendustaan ke atasnya, serta melindungi penganutnya daripada sebarang penganiayaan di mana sahaja mereka berada. Negara-negara Islam juga mesti berusaha untuk menegakkan pemerintahan khalifah dalam bentuk yang sesuai dengan kedudukan agama.

8. Perbezaan agama bukan menjadi punca perbalahan dan permusuhan, sebaliknya peperangan meletus apabila berlaku pencerobohan atau berlaku fitnah atau sekumpulan manusia dianiaya.

9. Hubungan orang-orang Islam dengan keluarga antarabangsa adalah berdasarkan piagam persaudaraan kemanusiaan yang murni. Orang- orang Islam melakukan dakwah berasaskan hujah dan kerelaan semata-mata dan tidak memendam kejahatan terhadap manusia lain.

10. Orang-orang Islam bersama lain-lain bangsa - tidak kira agama dan pegangannya- memberi sumbangan ke arah peningkatan manusia, sama ada dari segi kebendaan dan moral, iaitu bertolak dari kemurniaan Islam serta nilai-nilai yang diwarisi daripada nabi Muhammad s.a.w.

Inilah sepuluh perkara yang telah dicadangkan oleh Muhammad al-Ghazali sebagai panduan ke arah pembaharuan Islam.


Muhammad al-Ghazali merupakan seorang pemikir Islam abad ini. Idea-ideanya bukan sahaja di dunia Arab sahaja tetapi juga untuk dunia Islam keseluruhannya. Antara tema-tema besar pemikirannya untuk membina tamadun Islam ialah :

i) Kembali Kepada Pemikiran al-Qur’an Yang Syumul

Muhammad al-Ghazali menekankan pentingnya umat Islam memiliki pemikiran al-Qur’an yang syumul. Al-Qur’an hendaklah dibaca dengan penuh penelitian supaya menghasilkan pemikiran yang terbaik dalam usaha memakmurkan bumi ini. Beliau mengkritik keras sikap umat Islam yang lalai memahami dan tidak mengambil pemikiran yang syumul dari al-Qur’an. Beliau menegaskan masih banyak umat Islam menghadapi al-Qur’an secara buta tuli. Sebenarnya, umat lain menyedari keadaan kaum muslimin terhadap al-Qur’an. Oleh itu, kita dapati beberapa siaran radio antarabangsa memperuntukan waktu untuk menyiarkan program harian untuk bacaan al-Qur’an. Mereka berbuat demikian kerana mereka yakin umat Islam hari ini hanya mampu mendengar tetapi tidak memahaminya.


Menurut Muhammad al-Ghazali isu-isu yang diutarakan dalam al-Qur’an adalah isu-isu ilmiah yang praktis. Al-Qur’an membentuk peribadi, jiwa, akhlak, umat dan tamadun. Muhammad al-Ghazali membawa bukti sejarah iaitu bangsa Arab yang dahulu hidup dalam keadaan jahiliah akhirnya apabila diturunkan al-Qur’an telah merubah segala-galanya. Mereka bertukar menjadi umat yang cintakan syura, bencikan autokrasi, mengamalkan keadilan dan menghapuskan diskriminasi kelas.

Muhammad al-Ghazali juga menerangkan intisari pemikiran al-Qur’an itu adalah seperti kata Rabi‘iy bin ‘Amir ketika berdepan dengan tentera Parsi,“Kami datang untuk menghapuskan perhambaan manusia sesama manusia kepada beribadat kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dari angkara agama-agama kepada keadilan Islam.” Ungkapan ini menunjukkan kesyumulan pemikiran al-Qur’an dalam membina tamadun manusia yang memelihara hak-hak manusia sejagat. Beliau juga menerangkan pendekatan yang perlu bagi mendapatkan pemikiran yang ilmiah iaitu menjauhkan sikap mengada-ada ketika berinteraksi dengan al-Qur’an. Menurutnya, Islam memiliki sifat fitrah yang mudah. Agama Islam adalah agama fitrah. Sedangkan kekufuran adalah penyelewengan daripada fitrah. Allah telah menyebutkan bahawa hakikat-hakikat agama terang dan nyata serta terserlah dengan memerhati dan merenungkan tanda-tanda Allah yang bertebaran pada segenap penjuru dan diri manusia.

Daripada pengkajian mengenai al-Qur’an ini juga akan menghasilkan ilmu psikologi yang baik sebagai alternatif kepada manusia. Beliau menegaskan bahawa seandainya kita mengikuti dengan penuh teliti disiplin ilmu-ilmu al-Qur’an dan kita cuba merenungi tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada pada diri kita, nescaya kita akan mempunyai ilmu psikologi yang mengenali kebesaran Allah.

Muhammad al-Ghazali berpendapat bahawa kebangkitan Islam bermula daripada penghayatan al-Qur’an yang syumul. Cetusan Islam yang digerakkan oleh al-Qur’an. Fahaman penghayatan al-Qur’an yang syumul ini telah menjadi penggerak kepada generasi awal Islam. Beliau berpendapat bahawa cetusan al-Qur’an sebagai pencetus tamadun telah hilang disebabkan kita sibuk dengan urusan yang lain.


Penyeruan al-Qur’an sebagai penggerak kepada tamadun ini banyak diutarakan oleh golongan madrasah al-Manar seperti Muhammad ‘Abduh, Rashid Rida dan Hasan al-Banna. Rashid Rida menyebutkan bahawa revolusi yang akan membebaskan akal insani, perhambaan dan kezaliman hanya boleh dilakukan melalui prinsip al-Qur’an.

ii) Membebaskan Wanita Daripada Belenggu Taqlid

Islam telah menggariskan kedudukan wanita bersesuaian dengan fitrah naluri mereka. Islam memerangi golongan yang menganggap wanita sebagai punca malapetaka. Islam mengatakan bahawa kejadian lelaki dan wanita adalah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dan segala amalan akan dikira sama di sisi Allah kelak. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya wanita itu adalah gandingan bagi kaum lelaki.” Menurutnya, kaum Muslimin pada masa lampau menzalimi wanita dan menyekat kebebasan mereka, banyak ibubapa yang menzalimi anak-anaknya dengan mengahwinkan tanpa izinnya, dan tidak memberikan haknya dalam harta pesaka, suami-suami menzalimi isteri mereka dengan mengharamkan mereka untuk pergi ke masjid malahan tidak membenarkan mereka menziarahi ibubapa mereka. Mereka menganggap wanita sebagai alat perhiasan sahaja yang berkhidmat untuk memuaskan nafsu lelaki semata-mata. Perkara-perkara ini yang diperangi oleh Muhammad al-Ghazali dalam kebanyakan bukunya. Muhammad al-Ghazali ingin membebaskan wanita Muslim daripada belenggu taqlid iaitu :

a) Taqlid yang diwarisi dari zaman kejatuhan Islam iaitu mengharamkan wanita mempelajari ilmu.
b) Taqlid yang diwarisi dari unsur-unsur luaran bersama dengan pemikiran dan budaya asing yang menyimpang daripada cahaya al-Qur’an dan al-sunnah.

Beliau berpendapat hak talak untuk lelaki bersamaan hak khuluk untuk wanita. Beliau menyatakan perkara ini berdalilkan ayat al-Qur’an dalam surah al-Baqarah 229. Muhammad al-Ghazali menyokong pendapat bahawa pampasan (diat) yang dibayar seorang lelaki atau wanita yang dibunuh adalah sama kadarnya. Beliau berhujahkan bahawa diat yang disebut dalam al-Qur’an adalah sama bagi lelaki dan perempuan dan untuk mengelakkan tuduhan kononnya Islam memandang hina terhadap wanita.

Sementara hadith yang menyebutkan diat perempuan setengah dari diat lelaki merupakan hadith yang tidak sahih dan isnadnya tidak thabit. Malahan tidak terdapat dalam Sahihayn. Perkara ini telah dikupas oleh banyak ulama sebelum Muhammad al-Ghazali seperti Muhammad Abu Zahrah, Mahmud Shaltut, ‘Azz al-Din al-Baliq dan ‘Abd al-Halim ‘Awais.

iii) Memperbetulkan Kefahaman Agama

Aspek terpenting yang yang selalu disuarakan oleh Muhammad al-Ghazali iaitu memperbetulkan salah faham terhadap agama Islam sama ada dari orang Islam mahupun orang bukan Islam. Beliau juga menjelaskan konsep keutamaan dalam konteks kehidupan manusia. Orang Islam perlu memahami Islam secara syumul supaya tidak berlaku perselisihan faham yang akan melemahkan umat Islam. Beliau menggesa umat Islam supaya memahami tasawwuf secara betul. Tasawwuf itu ialah suatu ilmu yang banyak memelihara dan memupuk unsur-unsur keislaman yang murni tetapi yang menyedihkan sekarang ilmu tasawwuf ini telah diresapi oleh anasir-anasir yang mungkar dan pemikiran-pemikiran asing yang bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara inilah yang menjadi sebab bagi kelumpuhan yang menimpa pemikiran umat Islam dalam berbagai-bagai bidang kehidupan. Beliau juga memperjelaskan perlunya orang-orang Muslim berinteraksi dengan tasawwuf dan fiqh secara betul supaya memberi kesan kepada jiwa dan peningkatan sahsiah. Beliau menyebutkan bahawa para fuqaha sibuk dengan muamalat dan ibadat-ibadat yang zahir, manakala ahli pendidik (ahli tasawwuf ) sibuk dengan akhlak dan tarbiyyah. Pada hal banyak dari kalangan mereka (ahli fiqh) ketandusan kerohanian dan semangat. Sementara itu, banyak pula yang ketandusan ilmu untuk dijadikan pegangan dan undang-undang. (iaitu dari kalangan ahli tasawwuf ) Natijahnya timbul kegoncangan dan kemelut dalam pemikiran Islam. Hal ini disebabkan kerana terpisahnya fiqh daripada tasawwuf atau terpisahnya tasawwuf daripada fiqh telah merosakkan umat sehingga terdapat orang-orang yang suka beribadat dan melakukan bid‘ah, tidak memiliki kesedaran dan ilmu pengetahuan. Manakala mereka yang sibuk dengan pelbagai rupa ibadat dan fiqh, tidak memiliki kerohanian dan kekhusyukan. Perkara ini menimbulkan kepincangan dalam masyarakat Islam yang perlu diperbetulkan.


iv) Konsep Ijtihad

Muhammad al-Ghazali menjelaskan konsep ijtihad yang diperlukan pada masa sekarang. Menurutnya, ijtihad amat penting terutama dalam bentuk kolektif. Walaupun begitu, beliau sentiasa menyebutkan bahawa ijtihad dalam bidang-bidang ibadat tidak perlu ditambah lagi. Cukup sekadar dengan apa yang umat Islam warisi selama ini. Ijtihad yang diperlukan sekarang ialah ijtihad dalam bidang hubungan antarabangsa, kemasyarakatan, pentadbiran dan lain-lain. Beliau berpendapat agar diperbanyakkan ijtihad dalam lingkungan wawasan Islam.

Muhammad al-Ghazali menegaskan perbezaan ijtihad antara para fuqaha tidak bererti memecahbelahkan umat. Ijtihad bukanlah sesuatu yang kudus dan menentangnya bukanlah dianggap satu dosa atau menentang syarak. Beliau membawa contoh imam-imam yang besar walaupun berbeza pendapat tetapi keharmonian terus wujud. Perbezaan pendapat dalam bidang fiqh tidak boleh dianggap memecahbelahkan agama. Beliau menegaskan bahawa tidak ada di kalangan orang Islam yang berfikiran waras menyatakan bahawa perbezaan pendapat di dalam fiqh itu sebagai perpecahan agama. Perbezaan pendapat dalam fiqh adalah perbezaan dalam memahami nas atau makna yang dimaksudkan iaitu perkara yang dimungkinkan oleh nas itu sendiri.

Beliau menentang keras golongan yang begitu ta‘asub dalam sesuatu mazhab dengan mengatakan mazhabnya yang paling betul. Beliau menyebut bahawa kini telah menular di kalangan sesetengah pelampau mazhab yang tidak mengenali mazhab lain. Mereka hanya melihat pendapat mazhabnya sahaja dan menidakkan mazhab lain, malah menganggapnya haram. Ini tidak benar. Penyakit ini telah menular di kalangan orang jahil dan pelampau yang merosakkan umat Islam.


Beliau menyebut bahawa kewajipan umat Islam menghidupkan warisan lama itu dan mempelajari menurut mazhab imam yang empat dan imam-imam yang setaraf dengan mereka dari para mujtahidin dan tokoh-tokoh yang datang kemudian dari mereka. Umat Islam hendaklah menghapuskan perasaan ta‘asub kepada mana-mana mazhab yang tertentu. Apa yang wajib dilakukan ialah memberi penilaian yang sewajarnya kepada mereka semua dan mengkaji pendapat-pendapat mereka agar umat Islam dapat mengambil manfaat sebanyak mungkin.

v) Kefahaman Sunnatullah

Muhammad al-Ghazali membahagikan hukum Ilahi (sunnatullah) kepada 5 bahagian. Menurutnya, perkara ini amat penting supaya tindakan yang diambil dalam pembinaan tamadun bersesuaian dengan prinsip al-Qur’an. Beliau membahagikan sunnah tersebut seperti berikut :

i) Sunnah al-Tadarruj (secara beransur-ansur)
ii) Sunnah al-Ajal ((tempoh masa yang tertentu)
iii) Sunnah Tadawul al-Hadari (peredaran tamadun)
iv) Sunnah al-Mudafa‘ah (pembelaan)
v) Sunnah al-Taskhir (penguasaan)
vi) Peraturan Allah yang lain pada diri, dimensi dan alam.

a) Sunnah al-Tadarruj

Maksud Sunnah al-tadarruj ialah beransur-ansur. Mengikut Muhammad al-Ghazali sunnah beransur-ansur adalah peraturan al-Qur’an yang mempunyai ciri-ciri yang wajib diketahui dalam menyampaikan dakwah dan membina tamadun umat.

Beliau menyarankan supaya dikemukakan Islam secara beransur-ansur dalam perlaksanaan. Ini disebabkan mad‘u itu berlainan antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Walaupun begitu, beliau meletakkan syarat bahawa tadarruj itu hendaklah dengan niat untuk sampai kepada Islam keseluruhannya dan dengan cara yang diakui oleh syariat. Menurutnya, dalam bidang akidah tidak ada tadarruj.

b) Sunnah al-Ajal

Sunnah al-Ajal ini membawa erti bahawa setiap sesuatu ada tempoh masa yang tertentu. Tidak mungkin sesuatu perkara itu dipercepatkan atau disingkatkan sebelum tiba masanya. Muhammad al-Ghazali menerangkan supaya pendakwah tidak tergopah-gapah untuk mendapat hasil tanpa membuat persiapan dan penyediaan, seolah-olah mereka berurusan dengan sunnah luar biasa.

c) Sunnah al-Tadawul al-Hadari

Sunnah al-Tadawul al-Hadari membawa makna perpindahan atau peredaran tamadun yang merupakan hukum alam. Beliau menerangkan sebab kejatuhan dan kejayaan sesuatu tamadun. Kebangkitan tamadun itu mempunyai hukum dan peraturan. Sekiranya umat Islam memenuhi syarat-syaratnya, pasti umat Islam berjaya. Kejatuhan tamadun kebanyakkannya berpunca dari kerosakan dari dalam di samping anasir-anasir luar.

d) Sunnah al-Mudafa‘ah

Sunnah al-Mudafa‘ah ialah pertembungan di antara kekuasaan orang zalim yang saling bertarung dan di celah-celah itu muncul pula orang yang lemah mengambil kesempatan untuk membina tamadun. Pertembungan antara dua pihak yang bermusuhan dapat memberi peluang dan ruang untuk kaum muslimin melakukan gerakan yang berhikmah dalam membina semula tamadun. Perkara ini dinamakan sunnah Mudafa‘ah.


e) Sunnah Taskhir

Sunnah Taskhir ialah menundukkan dan menguasai alam. Manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini mestilah menundukkan setiap perkara untuk kepentingan mereka dan sekaligus menguasainya. Ia juga bererti bahawa segala kejadian alam ini adalah untuk manfaat manusia seluruhnya supaya mereka menggunakan dengan sebaik-baiknya. Muhammad al-Ghazali membawa hujah dari al-Qur’an yang menyebutkan bahawa keimanan dan ketaqwaan amat penting dalam berurusan dengan sunnah al- Taskhir ini. Iman dan ketaqwaan sebagai pintu ke arah kemakmuran, manakala kemungkaran jalan ke arah kerosakan terhadap undang-undang taskhir. Beliau membawa bukti dengan firman Allah yang bermaksud :

“ Sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertaqwa, pastilah kami melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.
(al-‘Araf 96)

Ayat ini mengaitkan keimanan dan ketaqwaan dengan penyingkapan sunnah Taskhir dan penambahan rezeki.

Muhammad al-Ghazali telah mengemukakan sunnatullah yang termaktub dalam al-Qur’an untuk manusia memahami, merenung dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka. Kefahaman tentang hukum-hukum dan sunnah alam memberi satu jalinan dan kerangka untuk umat Islam bergerak dalam menghadapi pelbagai tentangan dari barat dan timur. Sunnatullah itu tetap akan berlaku kepada manusia sepanjang zaman. Oleh itu, penyingkapan rahsia sunnatullah ini membolehkan dunia ini maju, beroleh kemajuan dan kejayaan. Kecuaian umat Islam terhadap sunnatullah tersebut menyebabkan kemunduran, kejatuhan dan ditundukkan. Oleh demikian, perkara yang disebut oleh Muhammad al-Ghazali amat penting diberi perhatian oleh umat Islam kini dalam membina tamadun Islam yang cemerlang. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan sekali-kali kamu tidak mendapat perubahan pada sunnah Allah itu.” ( al-Fatir 43)



v) Peranan Akal dan Penyeruan Kepada Kemajuan Umat

Muhammad al-Ghazali mengkritik golongan yang menyeru ke arah jumud, mengurung akal dan memenjarakannya serta membataskan kepada fahaman-fahaman silam. Perkara ini menjadi benteng penghalang untuk umat Islam berinteraksi dengan al-Qur’an secara betul. Beliau menyebutkan bahawa Islam membebaskan akal dan tidak pernah menyekatnya, malah Islam mengaktifkan akal dan tidak membekukan fungsinya. Al-Qur’an menggesa kita supaya membaca ‘kitab alam’ dan memikirkan rahsia-rahsia dan hukum-hukumnya.

Antara sebab kemunduran umat ialah ceteknya kefahaman mengenai Islam, banyaknya perkara-perkara khurafat, kegagalan berinteraksi dengan alam secara betul, dan kerosakan sistem politik yang tidak berteraskan keadilan sosial. Oleh itu, Muhammad al-Ghazali sentiasa menyeru umat Islam supaya gigih dalam segala bidang untuk kemajuan ummah keseluruhannya. Kemajuan ini akan tercapai apabila kita berinteraksi dengan ajaran agama Islam secara betul. Beliau memberi contoh kapal-kapal di lautan yang dimiliki oleh orang bukan Islam sedangkan ayat al-Qur’an menyebutkan Allahlah yang menundukkan lautan untuk kamu mengambil manfaatnya.

Beliau menyebut syarat untuk umat Islam maju ialah kembali memperbaiki urusan dengan al-Qur’an. Beliau juga menjelaskan antara faktor-faktor kemunduran umat ialah :

a. Kerosakan jiwa beragama kerana mengikut ajaran-ajaran tasawwuf dan tersebarnya pendapat-pendapat mereka yang berupa anti kehidupan.

b. Kemerosotan nilai kemanusiaan bagi individu-individu sepanjang pemerintahan politik diktator yang begitu lama.

c. Kemalapan tenaga akliah atau mental hingga banyak perkara waham dan khurafat menguasai kehidupan orang awam.

d. Pengkhianatan terang-terangan terhadap kebanyakan nas dan prinsip-prinsip Islam.

Dalam buku Kayfa Nata‘amal Ma‘a al-Qur’an, beliau menjelaskan sebab kemunduran umat Islam. Antaranya :

i) Berpunca dari tabiat orang Arab yang cenderung kepada teknik bercakap atau keindahan kata-kata.

ii) Terlalu banyak riwayat melebihi apa yang diperlukan. Umat Islam sibuk dengan ‘akal riyawat’ daripada ‘akal pembahas atau akal penyelidik’. Masalah yang menyekat pencetusan pemikiran ilmiah ialah riwayat-riwayat yang amat lemah.

iii) Kerosakan pemerintah menjadi punca berlakunya kekacauan dalam masyakarat dan menjadi penyebab utama kejatuhan tamadun Islam.

Muhammad al-Ghazali telah mengemukakan satu gagasan untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam. Oleh itu, beliau menggesa umat Islam mempunyai pemikiran yang terbuka dan sederhana (al-fikr al-wasatiy). Adalah menjadi cita-citanya agar umat Islam mempunyai kesedaran yang tinggi bagi membentuk peradaban generasi mukmin yang baru dan berhak untuk diberi gelaran jil al-Nasr.
READ MORE -