Showing posts with label koleksi artikel. Show all posts
Showing posts with label koleksi artikel. Show all posts

Wednesday, October 7, 2009

Apabila Jenayah Mengambil Tempat Makruf

Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, rompakan, ragutan dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya.
Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.

Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala kekejamannya. Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di mahkamah. Parti politik yang ‘kehausan kuasa’ juga mungkin mengambil kesempatan membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.
Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah menarik balik rahmat keamananNya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan rakyat. Antara punca hal ini terjadi adalah kerana hilangnya penghayatan Al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah mungkar (kejahatan).
Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya)
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah ayat 71).
Perkataan mungkar sering disempitkan tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina, minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang ‘sama spesis’ dengan itu sahaja. Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang ‘dirasakan’ menunaikan tanggungjawab agama.
Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa yang tiada kaitan dengan agama. Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama.
Ini mungkin antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita. Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam.
Jika ada pihak pejabat agama yang pergi membuat ‘operasi mengintip khalwat’, dirasakan amalan soleh, walaupun itu bercanggah dengan ajaran Islam. Sementara kerja pihak polis atau ‘rukun tertangga’ mencegah jenayah yang merosakkan masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial semata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya.
Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi islami, atau ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas seperti itu. Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita, inilah antaranya.
Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain. Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita. Akhirnya, kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini.

Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa. Kita tidak tegur atau bantah perbuatan ‘rempit’, akhirnya kita atau orang yang kita sayangi menjadi mangsa.
Ibn ‘Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya):
“Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya” berkata: (maksudnya) “Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya”.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam)
Baginda Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam tanganNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepadaNya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Untuk itu seseorang yang melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya. Sabda Nabi s.a.w juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemunkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).
Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj ayat 41: (maksudnya):
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Jika sesebuah kerajaan gagal menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasulNya kehendaki. Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam.
Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama. Demi menunaikan maksud tolong menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu. Ini termasuk kenaikan gaji polis dan penambahan anggota mereka.

Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis. Maka, kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan agenda mana-mana pihak.
Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan kerenah ‘orang-orang politik’ itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan masyarakat sedang dalam keadaan getir. Buruklah sikap parti-parti politik jika sibuk dengan keselematan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.

Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas. Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan.
Islam apabila menetapkan ‘hudud’ ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam ertikata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya.

Ya, kaedah hukuman dan cara perlaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab ‘menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar’ yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.

Disiarkan pada May 24, 2009 dalam kategori Isu Semasadalam Minda Tajdid | oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
READ MORE -

Monday, September 14, 2009

Tahajud Sembuhkan Pelbagai Penyakit

Sembahyang tahajud yang hukum asalnya sunat muakkad (Sunnah yang utama) dan menjadi amalan orang-orang soleh dahulu sangat memberi manfaat selepas di kaji secara saintifik.

Sembahyang tahajud amalan sunat yang utama di sisi Allah SWT, ternyata bukan sahaja amal soleh yang menjadikan manusia terpuji di sisi Allah SWT, tetapi juga mempunyai rahsia sebagai salah satu terapi dalam dunia perubatan.

Hal ini dibuktikan dalam kajian Prof. Dr. Mohammad Sholeh (46), seorang Psiko-Neuroimunolog yang juga pensyarah/dekan lnstitut Agama Islam Negeri (IAIN) Surabaya, sembahyang sunat itu dapat menghindari seseorang daripada serangan kanser. Tidak percaya? "Cubalah anda rajin-rajin sembahyang tahajud. Jika anda melakukannya secara rutin, sempurna, khusyuk, dan ikhlas nescaya anda terbebas daripada serangan kanser," ungkap Sholeh.

Ayah dua anak itu bukan 'penjual ubat' di kaki lima. Dia mengemukakan pandangannya semasa menyampaikan disertasi atau tesis beliau di Fakuiti Perubatan (kedoktoran), Universitas Air-langga (UNAIR), Surabaya yang membolehkan beliau memperoleh pengiktirafan sebagai doktor perubatan. Walaupun latar belakang pendidikan beliau adalah sarjana fakulti Dakwah dan Psikologi Kaunseling, tetapi tidak menghalang beliau menceburkan diri dalam bidang perubatan.

Sudah ramai pesakit sama ada yang mengalami sakit ringan mahupun kronik yang dirawat melalui terapi sembahyang tahajud yang beliau buka.

"Terdapat di antaranya yang menderita sakit kronik sehingga cenderung mencari kaedah perubatan yang bukan sahaja berbentuk klinikal," ujar Sholeh.

Malah terdapat juga di kalangan doktor perubatan yang menggunakan terapi beliau. Antaranya seorang doktor yang dikenali sebagai SM Agustini, seorang doktor pakar Patologi, yang menderita penyakit gastrik dan mengalami sakit kepala yang berlarutan. Selepas mengikuti terapi sembahyang tahajud, penyakit yang dihidap dapat dirawat dengan berkesan.

Penemuan Sholeh sesungguhnya sesuatu yang baru dalam dunia perubatan. Sebab itu Sholeh berusaha membuka Klinik Terapi Tahajud di Masjid Al-Akhbar Surabaya. Lelaki yang peramah ini juga giat melakukan kempen dan latihan kepada orang ramai supaya mengamalkan sembahyang tahajud.

Tentu ada yang bertanya, apakah hubungan sembahyang tahajud dengan kesihatan. Menurut Sholeh, jika seseorang mengamalkan sembahyang tahajud dengan khusyuk, pelaksanaannya tepat dan dilakukan secara berterusan, maka akan wujud perubahan dalam diri mereka.

Menurut Sholeh lagi, dalam tubuh kita terdapat satu sistem yang dikenali dengan imun. Sistem imun ini berfungsi melindungi diri dari pelbagai patogen (parasit yang boleh mendatangkan penyakit), dan toksin (racun). Udara yang dihirup manusia yang kelihatannya bersih, sebenarnya terdapat banyak virus. Seandainya Allah tidak mencipta sistem yang dikenali sebagi imun dalam tubuh manusia, manusia sudah meninggal sejak kecil lagi.

Sistem imun kajian beliau terdapat 9 bentuk. Antaranya dikenali dalam ilmu perubatan sebagai hormon kortisol, eosinofil, neotrofil, sel-K, basofil, makrofag dan imunoglobulin (IgA, IgM, IgG, IgD, dan IgE).
"Darah kita kan merah. Kalau diambil dan diberi reagent (sejenis zat kimia yang biasa dipakai untuk menentukan golongan darah), warna boleh berubah dan bentuk akan berbeza. Perubahan dan perbezaan ini menunjukkan fungsi yang berbeza.

Terdapat sel yang dikenali sebagai Makrofag, diambil daripada kata makro (besar) dan fag (pemakan). Itu adalah sel yang berfungsi memakan sel lain yang tidak normal. Cara mengeluarkannya dari dalam tubuh bergantung kepada keadaan psikologi seseorang.

Maksudnya, menurut Sholeh, dalam keadaan jiwa yang tidak tenteram seperti menghadapi anak yang nakal, isteri yang curang atau kerja di pejabat yang bertimbun, keadaan ekonomi gawat seseorang akan mudah stress atau tertekan. Dalam keadaan seperti itu, jika gambar otak diambil, tekstur akan nampak kacau.

Namun sekiranya mengamalkan sembahyang tahajud dengan khusyuk dan ikhlas, hormon-hormon yang ada dalam tubuh akan bergerak normal dan tenang. Ini kerana ia meletakkan Allah di atas segala-galanya.

Jadi jika makrofag tidak seimbang dalam tubuh, maka akan datang bahaya. Malah hal ini menyebabkan tubuh seseorang berpotensi untuk menghidap kanser. Tetapi jika seseorang rajin sembahyang tahajud, daya tahan tubuh meningkat dan boleh terhindar daripada serangan pelbagai penyakit.

Selama ini, menurut Sholeh, tahajud dianggap hanya merupakan ibadah tambahan atau sembahyang sunat. Padahal jika dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas, secara perubatan sembahyang tersebut memberikan satu kekuatan yang berguna untuk ketahanan tubuh (imonologi) khususnya pada imonoglobin M,G,A dan limposit serta dapat mengefektifkan kemampuan individu untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Tegas Sholeh lagi, sembahyang yang muakkadah (Sunnah yang utama) ini yang menjadi amalan orang-orang soleh dahulu sangat memberi manfaat selepas dikaji secara sainufik.

Dalam kata lain, Sholeh menyatakan bahawa peningkatan keimanan mempunyai kesan langsung kepada keadaan tubuh seseorang. Ini kerana, jika iman seseorang meningkat, ia akan sentiasa berfikiran positif dan berprasangka baik. Maka seiring dengan itu persepsi seseorang itu terhadap hidup akan lebih baik.

"Malah semasa ditimpa musibah sekalipun orang yang kuat imannya akan berfikiran positif, menganggap segala yang berlaku ada hikmahnya," ujar Sholeh. Menurut Sholeh lagi, dalam neorologi (ilmu saraf), persepsi itu diubah menjadi impuls (rangsangan). Kalau seseorang itu tenang, maka corticotropic releasing factor (CRF) akan mempengaruhi andrenocorticotropic hormone (ACTH) dan kristol.

Teori perubatan menyatakan kalau kortisol naik, maka imunologi turun. Sebab itu, jika seseorang sembahyang tahajud dengan baik dan ikhlas, keadaan jiwanya akan tenang dan hormon lain akan menjadi normal. Sebab itu di Barat, anak-anak yang kurang cerdas biasanya disuntik dengan campuran ACTH supaya membantu anak tersebut menjadi cerdik.

"Tetapi jika kita mengamalkan sembahyang tahajud dengan cara yang sempurna, secara automatik ACTH naik dan hal tersebut boleh membantu kecerdasan umat Islam," jelas Sholeh lagi.

Teori Berasaskan Kajian

Sholeh membuktikan kajiannya tersebut melalui satu penelitian terhadap 41 orang pelajar di Sekolah Menengah Luqman Hakim, Pondok Persantren Hidayatullah, Surabaya. Daripada 41 orang pelajar tersebut, hanya 23 orang yang sanggup bertahan pelajar yang mampu bertahan menunaikan sembahyang tahajud selama 2 bulan.

Sembahyang yang bermula pukul 3 pagi, berakhir pada pukul 4.30 pagi dilakukan sebanyak 11 rakaat, masing-masing 2 rakaat 4 kali salam dan tiga rakaat witir. Seterusnya, hormon kortisol mereka diukur di tiga makmal di Surabaya iaitu di makmal Paramita, Prodia dan 'Kliraka. Hasilnya ditemukan bahawa keadaan tubuh badan seseorang yang_rajin sembahyang tahajud dengan ikhlas, jauh berbeza dengan orang yang tidak melakukan sembahyang tahajud.

Mereka yang rajin dan ikhlas sembahyang tahajud memiliki ketahanan tubuh dan kemampuan menghadapi masalah-masalah dengan stabil.

"Jadi sembahyang tahajud selain sebagai ibadah, juga mempunyai kaitan dengan kekuatan psikologi (rohani) yang dapat mempengaruhi kawalan kesedaran. Dengan cara memperbaiki persersi dan motivasi positif dan coping yang efektif, emosi yang positif dapat meghindarkan seseorang daripada strees,"

Menurut Sholeh, orang yang stress atau mengalami tekanan itu biasanya berpotensi mengalami penyakit kanser dan infeksi. Dengan sembahyang tahajud yang dilakukan secara rutin dan disertai perasaan ikhlas serta tidak terpaksa, seseorang akan memiliki responimun atau kesan yang baik, yang kemungkinan besar akan terhindar daripada penyakit infeksi dan kanser.

Dan, berdasarkan kaedah perubatan menunjukkan sembahyang tahajud menjadikan tubuh seseorang memiliki ketahanan yang baik. Allah SWT berfirman, "Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah": (Surah Al-Kautsar, ayat 2). Ini satu bukti bahawa akal dan fikiran manusia tidak mampu mengetahui semua rahsia atas rahmat, nikmat, anugerah yang di berikan oleh Allah SWT kepadanya. ?
"
READ MORE -

Thursday, July 30, 2009

Dakwah Islam Di Eropah

"Fenomena para da'i di dunia Islam saat ini merupakan fenomena yang menggembirakan dan layak mendapat dukungan serta apresiasi," demikian salah satu pernyataan Dr. Lena Larsen, Dekan Pengajian Islam di Universiti Oslo.

Menurut mantan Ketua Majlis Islami Norway ini, para dai tersebut di samping mempunyai bakat dakwah yang cukup baik, mereka juga mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi orang. Namun, tambah Larsen, untuk kesuksesan dakwah Islam terutama di Barat, sangat diperlukan sebuah organisasi dakwah Islamiyah skala antarabangsa yang mampu membentuk dan membina da'i-da'i moden yang handal yang mampu melaksanakan dakwahnya di era globalisasi ini.
Di sela-sela Muktamar Islam Antarabangsa yang diadakan Majlis A'la li as-Syu'un al-Islamiyah di Kaherah, wanita yang mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun ini bercerita banyak kepada Asyarq Awsath tentang lika-liku dakwah dan kisah beliau masuk Islam.

Apakah sebab Anda memeluk Islam?

Saya telah menjadi muslimah lebih daripada 25 tahun. Sebelum ini saya beragama Kristian, waktu itu saya berusia 17 tahun. Saya masuk Islam melalui seorang Muslimah yang saya lihat sedang solat Maghrib. Saya tidak tahu apa-apa tentang solat. "Kamu buat apa?" tanya saya padanya. "Saya solat menyembah Allah," jawabnya. "Apa itu solat? dan kamu beragama apa?" tanya saya kembali. "Saya Muslimah, dan solat adalah kewajipan bagi semua Muslim," jawabnya untuk yang kedua kali. Begitulah, saya meminta penjelasan tentang Islam, solat, dan banyak hal tentang ritual-ritual wajib dalam Islam. Semenjak hari itu, saya banyak baca buku tentang Islam dan belajar melalui beberapa ulama sampai akhirnya Allah memberikan hidayah Islam kepada saya. Alhamdulillah kemudian saya menikah dengan lelaki Muslim dari Jordan, beliau seorang jurutera komputer dan bekerja di Rabithah Islamiyah di Norway.

Apakah reaksi keluarga Anda ketika mengetahui keislaman Anda?

Keluarga tidak ada yang menentang keputusan saya untuk memeluk Islam. Hal ini kerana orang Eropah cenderung menghormati kebebasan termasuk kebebasan beragama. Sehingga tidak mungkin kita temui seorang pun yang mengatakan kepada anak dan isterinya, "ayuh ke gereja atau ayuh beribadah. Ketika saya putuskan untuk menjadi Muslimah, saya tetap tinggal bersama mereka, namun saya menolak beberpa hal prinsip seperti masalah makanan haram. Begitupun sebaliknya mereka keberatan jika saya memakai tudung, hanya saya tetap melakukannya dengan alasan kebebasan dan tidak ada seorang pun yang boleh melanggar kebebasan saya.

Bagaimana cara Anda melayani Agama Anda terutama dalam keadaan yang dihadapi Islam saat ini dari pelbagai berita-berita yang menyesatkan tentang Islam?

Saya telah menyerahkan hidup saya untuk berdakwah kepada Allah. Saya belajar Bahasa Arab agar mampu membaca buku-buku agama berbahasa Arab sehingga saya mendapat pengetahuan yang banyak tentang Islam. Dan Alhamdulilah, saya pernah menjawat jawatan Ketua Majlis Islami di Norway selama dua tahun lebih. Selama menjadi ketua, saya telah berusaha melakukan beberapa perkara untuk perkhidmatan Muslimin Norway. Yang membantu tugas berat saya ini adalah kerana saya asli Norway, saya amat memahami keadaan masyarakat dan budaya Norway. Dan juga mungkin kerana saya adalah satu-satunya wanita dalam sejarah dunia yang menjadi ketua dalam organisasi semacam ini. Kini saya menyibukkan diri kepada pendidikan agama bagi para muslimah di masjid-masjid. Saya juga menterjemah beberapa kitab Islam ke Bahasa Norway, sebagai kesibukan tambahan di sela-sela tugas saya sebagai profesor Pengajian Islam di Universiti Oslo. Yang pasti fokus saya adalah dakwah Islamiyah yang telah saya lakukan sejak awal saya masuk Islam. Wanita dan lelaki menurut saya dalam hal ini sama. Mereka sama dituntut untuk melaksanakan dakwah Islamiyah dengan baik.

Bagaimana pendapat Anda mengenai Fonemena da'i-da'i baru yang tersebar di seluruh dunia Islam. Meraka rata-rata bukanlah di bawah organisasi rasmi di negara mereka, mereka inilah yang disebut "da'i bebas". Fenomena ini telah menjadi polemik di dunia Islam, sebahagian mendukung dan mengapresiasi mereka, namun sebahagian yang lain menentang dengan alasan bahawa mereka bukanlah orang-orang yang terlatih dalam dakwah kepada Allah?

Ya, secara peribadi saya mendukung mereka, kerana ini merupakan fenomena yang bagus. Mereka layak mendapat dukungan. Mereka orang berbakat yang mempunyai kemampuan lebih dalam memahami apa yang diperlukan orang, kerana mereka mampu menyentuh konteks masyarakat secara khusus, terutama sasaran dakwah mereka para pemuda dan memberikan pengetahuan Islam yang benar. Namun mereka semestinya tidak masuk kepada masalah perbezaan (khilafiyah) untuk menjaga kesatuan umat Islam. Mereka lebih baik fokus kepada ajaran-ajaran yang baik dari Islam serta keindahannya. Ajaran mulia yang dibawa Islam dan pengaruhnya terhadap kehidupan individu dan sosial. Saat ini kita memang memerlukan da'i moden yang mampu memahami realiti dan mampu mencari penyelesaian daripada masalah hidup yang dihadapi umat Islam dengan metode cemerlang dan menarik.

Daripada pengalaman Anda, apakah yang menjadi masalah paling besar yang dihadapi umat Islam Norway, dan bagaimana Anda menyelesaikannya?

Sebelum itu, perlu saya tekankan di sini bahawa Norway adalah negara maju, dakwah di sana memerlukan da'i-da'i handal dan mempunyai wawasan luas. Sayangnya, kualiti da'i yang ada, khususnya ketika bulan Ramadhan, masih jauh daripada yang kita harapkan. Oleh itu, saya sarankan harus ada peranan organisasi dakwah di dunia Islam yang bertugas membentuk da'i-dai Islam moden yang mampu melaksanakan dakwah di era globalisasi. Dari sinilah, saya meminta para da'i yang disiapkan untuk dakwah di Barat, baik dari dunia Arab atau Islam secara umum, agar memiliki wawasan yang cukup tentang budaya bangsa lain, di samping pengetahuan mereka tentang fikih maqasid (tujuan hukum) dan kemampuan menghubungkannya dengan konteks kekinian serta mampu mengeksplorasi keajaiban-ajaiban ilmiah dalam Alquran dan Sunnah sebagai bukti kebenaran ajaran Islam. Yang terakhir cukup penting mengingat orang Barat lebih memuliakan akal dan ilmu pengetahuan di atas segalanya. Islam adalah agama akal dan ilmu.

Menurut Anda apakah faktor penyebab beberapa media di Eropah cenderung menentang Islam dan bahkan menghina Islam?

Sebagimana yang saya katakan, secara umum, Barat menyucikan kebebasan, ini satu sisi. Dari sisi yang lain, di Barat tidak mengenal norma-norma susila, bahkan dalam Kristian kita juga melihat mereka menghina Isa AlMasih. Jadi norma-norma susila dan etika bagi orang Barat adalah sesuatu yang remeh. Bagi saya, untuk menghadapi penghinaan, kita harus menggunakan dialog yang sihat. Jadi, dunia Islam dituntut untuk melakukan dialog dengan Barat. Kita juga dituntut untuk memberikan informasi yang benar tentang Islam dan menjelaskan hal-hal yang selama ini dianggap ancaman bagi mereka, seperti masalah terorisme dan lain-lain. Sayangnya, banyak orang menyakini bahawa Islam mengajak umatnya kepada radikalisme dan terorisme dan membenci orang-orang di luar Islam serta budaya mereka. Kerana itulah respons mereka terhadap Islam adalah kebencian dan ketakutan. Jadi, yang paling penting adalah agar umat Islam mampu memberikan penjelasan yang benar tentang syariat Islam dan terorisme dalam bingkai dialog yang sihat.
READ MORE -

Falsafah kebebasan wanita

Sesungguhnya, topik tentang wanita dan hal-hal yang berkaitan dengannya merupakan topik yang hangat diperbincangkan dari semasa ke semasa. Wanita selalu tampil dalam pelbagai media dan sarana-sarana informasi untuk menggambarkan sosok tubuh yang begitu menarik sehingga tidak segan silu mereka muncul dengan dandanan yang ´kurang beretika´.
Mutakhir ini, ketika orang ramai membincangkan hal-hal yang ´mewah´, tidak dapat terlepas daripada menonjolkan gambar-gambar wanita cantik. Bahkan ada produk-produk ubat-ubatan dan elektronik yang tidak ada kaitannya dengan wanita juga tidak terlepas daripada peragaan yang mempertontonkan ‘perhiasan’ wanita.
Seorang penulis beragama Kristian bernama Zummer mengatakan bahawa orang-orang Kristian tidak perlu putus asa, sebab di dalam hati kaum Muslimin telah berkembang kecenderungan yang condong ke arah ilmu bangsa-bangsa Eropah dan kebebasan wanitanya.
Daripada pernyataan ini, secara tidak langsung dapat disimpulkan bahawa keinginan mereka dalam menghancurkan Islam dilakukan dengan cara yang bukan dengan senjata tetapi cara yang licik dan ´kurang disedari´, iaitu dengan menjauhkan wanita daripada agamanya, iaitu Islam.
Jelasnya, hal itu benar-benar menjadi kenyataan. Gerakan pembebasan wanita daripada belenggu penindasan dan gerakan kesamarataan gender yang dipelopori kaum feminis menjadi semakin hangat dari hari ke hari. Dan yang lebih buruk lagi, para pejuang ´kemerdekaan wanita´ itu menganggap bahawa Islamlah yang menjadi penghalang terhadap kebebasan dan ´kejayaan´ wanita dalam segala hal.
Banyak ayat al-Quran yang mereka jadikan ´kambing hitam´ untuk tujuan itu, Contohnya, dalam surah al- Ahzab: 33, perintah bahawa wanita lebih baik di rumah…; An-Nisaa: 34, lelaki itu lebih utama daripada perempuan…; dan banyak lagi yang lain. Padahal apa yang mereka fahami tidaklah demikian adanya. Poligami dibantah. Pembahagian harta pusaka yang lebih banyak untuk lelaki menjadi alasan betapa Islam tidak adil dalam memperlakukan manusia. Kewajiban mentaati suami dalam rumah tangga menurut mereka adalah perintah yang melanggar hak asasi manusia. Mereka menuntut persamaan hak antara lelaki dengan perempuan kerana mereka menganggap itulah keadilan yang sebenar-benarnya.
Jika kebebasan wanita di dunia Barat menjadi impian wanita di dunia (mungkin termasuk di tanah air kita), pertanyaannya: apakah di dunia Barat para wanitanya benar-benar bahagia dengan kebebasan itu, sedangkan tujuan hidup manusia sesungguhnya adalah bahagia dunia dan akhirat? Bukti apa yang dapat kita ajukan untuk membenarkan hal itu atau kayu ukur apa yang kita gunakan untuk menilai bahawa mereka benar-benar bahagia dalam kebebasan itu?
Pertama, ketika wanita di dunia Barat terkongkong oleh Gereja yang menindas semua hak mereka, mereka berusaha untuk melawan dan memperjuangkan kesamarataan gender. Mereka akhirnya menuai hasil. Wanita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam segala bidang kehidupan. Bahkan dalam bidang ketenteraan sekalipun. Wanita turut diberi peranan dalam peperangan. Ketika meletus Perang Vietnam, lebih kurang 100,000 orang tentera wanita turut mengambil bahagian dalam perang tersebut. Hasilnya, daripada sekalian tentera wanita itu, 60,000 orang mengaku dirinya diperkosa oleh rakan tentera lelaki di berek-berek tentera di mana tidak ada pemisahan tempat tidur antara tentera lelaki dengan tentera wanita. Itu baru yang mengaku, belum lagi termasuk kes-kes lain yang terjadi dan lenyap daripada liputan media.
Jadi, di mana letaknya kebahagiaan itu? Ataukah kebebasan mereka untuk bekerja di pejabat sama halnya lelaki, membuat mereka bahagia? Mereka mengaku memperjuangkan kebebasan tetapi yang terjadi adalah mereka mengorbankan diri mereka sendiri. Penelitian dan kajian membuktikan bahawa wanita yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah lebih mudah ´terkena penyakit´ daripada mereka yang menjadikan rumah sebagai fokus kegiatannya. Kebebasan yang berhujungkan eksploitasi.
Islam tidak mengenal emansipasi atau kebebasan atau kesamarataan gender, kerana pada dasarnya Islam tidak pernah ´menghalalkan´ penindasan terhadap wanita. Semua aturan yang ´mengatur´ wanita dalam Islam hanyalah untuk menyelamatkan wanita itu daripada noda dan perkara-perkara buruk agar mereka tetap bersih. Aturan itu terutamanya ditujukan untuk melindungi wanita daripada musuh-musuh Islam yang ingin menghancurkan Islam melalui wanita itu sendiri.Islam hadir dengan menempatkan wanita di tempat yang lebih mulia. Perintah menuntut ilmu adalah wajib hukumnya bagi lelaki dan perempuan. Seseorang wanita haruslah cerdas bukan untuk tujuan agar mampu bersaing dengan lelaki, tetapi untuk tujuan yang jauh lebih mulia, iaitu menjadi seorang pendidik. Mendidik generasi bukanlah hal yang mudah, tidak cukup dengan bekalan seadanya; bagaimana mungkin seorang wanita mampu mendidik anak-anak yang lahir daripada rahimnya jika dia sendiri tidak mampu mendidik dirinya sendiri, dan untuk itu mereka memerlukan ilmu.

Selain itu, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “… bahawa jika wanita mampu taat kepada Allah dan Rasul-Nya dengan kata lain berbuat kebaikan, maka akan diberikan pahala dua kali ganda.” (al-Ahzab: 31). Dan banyak lagi bukti lain yang dapat kita kemukakan untuk membuktikan bahwa antara lelaki dengan wanita itu adalah sama; yang membezakannya hanyalah ketakwaannya terhadap Allah s.w.t (al-Hujuraat: 13).
Kedua, bukti bahawa kerana mereka mampu melepaskan diri daripada bergantung ekonomi (mereka bekerja sendiri) sehingga kelihatannya bahagia itu adalah perkara yang masih boleh diperdebatkan. Mengingatkan ukuran kebahagiaan tidaklah semudah itu, maka kebahagiaan yang sesungguhnya tidak hanya melibatkan faktor lahiriah, tetapi juga meliputi ketenangan batin. Dan, dapat dibuktikan dengan penelitian bahawa mereka yang paling banyak mengalami ´tekanan´ adalah mereka yang bekerja atau beraktiviti terlalu lama di luar rumah. Bukankah tekanan (stress) itu adalah bukti betapa kita gagal mengawal dan memelihara emosi kita? Dan itu adalah faktor bukan bersifat fizikal.
Seseorang yang hidup bergaul dengan kaum Muslimin dan mengenal Islam dengan sebenar-benarnya, maka dia akan melihat bahawa wanita Islam di tengah-tengah masyarakat Muslim memiliki kedudukan yang tinggi dan terhormat; satu kedudukan yang dapat menjaga martabat wanita dan kesuciannya. Perintah menutup aurat juga sebagai bukti perlindungan Islam terhadap pandangan lelaki yang tidak berhak memandangnya.Terakhir, Islam tidak pernah melarang wanita bergaul dan melakukan aktiviti di luar rumah selagi apa yang dilakukannya itu sesuai dengan kemampuannya sebagai wanita dan mampu pula membahagi masa antara pekerjaan (kerjaya) dengan rumah tangganya.

Meskipun begitu, tanggungjawab atau kewajiban wanita ialah di rumahnya. Seseorang wanita dalam memandang ´arah rumah tangganya´ harus jauh lebih dalam dan terarah berbanding dengan lelaki. Mungkin kerana dari rahimnyalah lahir makhluk hidup yang diharap menjadi generasi terpuji. Maka, apa jadinya jika semua wanita ´suka dan bahagia´ menjadikan rumah hanya sebagai tempat beristirahat dan setelah itu keluar rumah lagi.
Begitulah hari demi hari. Ketika itu nanti, kita tidak perlu lagi berharap generasi yang cerdas dan berwawasan akan muncul daripada rumah tangga kita sebagai Muslimah.
Mudah-mudahan ini dapat menjadi renungan kita bersama, khususnya bagi mereka yang mengaku Muslimah; sebuah nama yang sekali gus mencerminkan identiti kita.
READ MORE -

Murtad: Antitesis Islam

Apabila menyentuh isu murtad, sudah pastinya timbul persoalan, mengapa dan kenapa terjadi sedemikian rupa? Murtad juga seringkali dikaitkan dengan hukuman hudud, malah ianya juga pernah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w.
Dalam perkara ini, Imam al-Ghazali pernah berkata: “Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap. Mana nampak? Kecuali kalau jiwa kita melihat suatu perkara dengan cahaya keimanan.”
Murtad merupakan terpesongnya akidah, dan bagi orang yang menzahirkan murtadnya amat merbahaya kerana akan menimbulkan fitnah kepada Islam dan umatnya. Ia merosakkan sistem Islam yang secara keseluruhannya yang berperanan mengurusi hal-ehwal kehidupan manusia dalam sesebuah negara, tanpa mengira rakyat negara tersebut beragama Islam atau selainnya.
Kita semua tahu bahawa salah satu tujuan luhur Islam dalam menjaga masyarakat (yang disebut sebagai maqasid syar’iyyah) yang merangkumi agama /akidah, akal, keturunan, harta dan roh. Allah s.w.t sekali-kali tidak memberi hak dan keizinan ke atas manusia untuk menyekutukan-Nya atau tidak mempercayai kewujudan-Nya (atheist).

Dalam hal ini, baginda Rasulullah s.a.w. telah memberi satu garis panduan berhubung dengan golongan murtad berdasarkan sebuah hadis yang tegas daripada baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya.” (Riwayat Bukhari 2/280; Abu Daud (4351); Tirmizi 145 ; Nasaie, 7/104 dan Ahmad ,1/282).
Di dalam riwayat lain, Muadz pernah membawa seorang lelaki lalu berkata. ”Inilah wahai Rasul seorang lelaki yang dahulunya Yahudi, kemudian telah Islam dan kemudian telah kembali kafir (murtad) kepada agamanya yang buruk.” Maka Muadz (mempersilakan Nabi untuk duduk).
Sabda Rasulullah s.a.w : “Aku tidak akan duduk sehinggalah ia dibunuh, hukuman Allah dan Rasul-Nya sebanyak 3 kali, maka diarahkannya untuk membunuh lelaki murtad tadi, lalu dibunuh…” ( Riwayat Bukhari bab hukuman murtad (no. 6923); Muslim ( no 4695) dan Abu Daud dalam kitab aqdhiyah dan Hudud (no. 4354); Riwayat An-Nasaie, Jld 7/104, juga diriwayatkan oleh Imam Syafie Jld 2/280)
Tetapi dalam situasi yang tertentu, banyak pandangan para ulama antaranya, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah yang menjelaskan: “Islam tidak menjatuhkan hukuman bunuh atas orang yang murtad yang tidak menghebahkan murtadnya dan tidak menyeru orang lain agar murtad sepertinya. Islam membiarkannya agar menerima balasannya di akhirat kelak jika dia mati dalam kekafirannya itu.“
Dr. Yusof al-Qaradhawi juga berkata: “Adalah mesti untuk kita mengasingkan di antara riddah ghalizah (murtad yang melampau) dan riddah khafifah (murtad kecil), juga perlu dibeza di antara murtad dengan menyeru orang lain (agar membenci Islam dll) dan murtad yang tanpa seruan.” (Yusof al-Qaradhawi, Jarimatur Riddah, hlm. 35)

Beliau memberikan contoh riddah ghalizah (melampau) seperti Salman Al-Rushdie iaitu si murtad yang membawa pemikiran bidaah dan sesatnya dengan lisan dan tulisannya.

Sejak dulu lagi kafir Barat, pendukungnya, dan para sekularis mereka telah menjajah dan cuba menjajah kembali umat Islam dari segi ketenteraaan, politik, ekonomi, pemikiran, kebudayaan, dan keagamaan.

Kini, musuh-musuh Allah s.w.t ini tidak pernah berputus asa, malah berusaha mengeluarkan kaum Muslimin daripada agama Islam. Hipokrasi slogan Hak Asasi Manusia yang dilontarkan oleh kafir Barat kepada dunia telah dimanfaatkan secara rencam oleh mereka untuk menguasai negara Islam dan meluaskan cengkaman mereka ke atas umat Islam.

Dalam mempertahankan perjuangan mereka, golongan ini telah mengelirukan umat Islam dengan pelbagai fahaman dan lontaran negatif berupa stereotaip, prejudis terhadap Islam, Islamphobia, Islam Liberal, ekstremis dan pelbagai lagi agenda mereka termasuk tafsiran ayat (yang bermaksud): “… tidak ada paksaan dalam agama…” (al-Baqarah: 256)

Mereka mengatakan bahawa orang Islam boleh keluar daripada Islam berdasarkan ayat ini. Kesalahan mereka amat jelas dan ketara kerana ayat yang mulia ini sebenarnya menerangkan tidak ada paksaan ke atas orang kafir untuk memeluk Islam, bukan sebaliknya. Walaupun secara umum/indvidu bagi orang kafir untuk memeluk agama Islam, mereka perlu memeluk Islam atas kerelaan dan kesedaran sendiri, bukan kerana paksaan orang lain. (lihat surah Ali-Imran: 3,19,85)

Retrospektif zaman pemerintahan Islam, Umar bin al-Khattab amat jelas memberikan kebebasan beragama dengan memudahkan penyembahan non Islam. Ketika dalam urusan mengadakan perjanjian dengan wilayah yang baru dibuka di Baitul Maqdis, beliau melihat sebuah haikal (tempat berhala) Yahudi yang telah diseliputi pasir lalu membersihkannya. Ini menggambarkan bahawa Islam amat mementingkan kebebasan beragama kepada semua penganut agama kecuali penganut Islam.

Difusi toleransi dan contoh pengurusan sosial terbaik Rasulullah s.a.w dan para sahabat ternyata menjadi ikutan generasi tabi’in dalam episod pembukaan negeri. Kebebasan beragama dapat dilihat dengan jelas dan menjadi sejarah ketika pembukaan negeri di Andalus.

Bangsa Yahudi yang diseksa dan diperhambakan serta larangan menganut agama selain dari Kristian pada zaman pemerintahan Gothik, telah berubah “Sejuta Wajah” apabila “Cahaya Islam” hadir menerangi bumi Eropah ini. Bangsa Yahudi dibebaskan, dan agama Yahudi diizinkan untuk diamalkan, malah agama Kristian juga tidak terkecuali, bebas mengamalkan ajaran mereka.

Hak kebebasan dinikmati oleh semua dalam meneruskan kegiatan mereka di dunia ini. Hak kemanusiaan ini dianggap sesuatu yang amat suci. Walau bagaimanapun, konsep kebebasan ini dikurnikan Allah s.w.t berdasarkan prinsip-prinsip, iaitu manusia dan isi hati mereka merupakan milik Allah s.w.t. Islam juga menolak penindasan terhadap agama, perselisihan kelas, atau prejudis terhadap mana-mana kaum.

Dalam konteks Malaysia, isu murtad (meninggalkan agama Islam) dan isu bertukar agama adalah isu yang amat sensitif yang boleh mencetuskan rusuhan agama jika tidak ditangani dengan halus, tegas dan berhati-hati. Tumpuan utama haruslah diberikan terhadap generasi muda terutama golongan remaja.

Ketegasan amat perlu apatah lagi sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menguji tafsiran Perlembagaan Negara sebagai strategi perundangan untuk mempengaruhi orang Islam bertukar agama. Ketegasan juga amat perlu terhadap mana-mana pihak yang cenderung untuk memainkan emosi keagamaan dan menggunakan kekerasan yang boleh membawa kepada pertumpahan darah atas alasan membela atau mempertahankan penganut agama masing-masing.

Imam Ghazali pernah berkata: “Agama itu asas, pemerintah itu penjaga, sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan tidak ada penjaga akan hilang, jika agama itu tidak dijaga, maka ia akan hilang.”

Ini bermakna umat Islam hendaklah berhati-hati terhadap pengaruh harta benda, kedudukan dan pangkat supaya tidak sampai mengikis agama, keislaman dan keimanan. Sebab apabila agama itu semakin terhakis, kikis, dan lemah pasti umat Islam akan hancur binasa, sebagaimana rosak binasanya orang yang telah murtad. Sesungguhnya agama itu merupakan asas yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
READ MORE -

Pentas Eskatologi

Eskatologi merupakan suatu ilmu yang menjelaskan tentang gambaran hari akhirat. Eskatologi termasuk cabang teologi yang menjelaskan akhir segala sesuatu seperti kematian, kebangkitan dan perhitungan amalan yang merangkumi bahagian daripada agama dan filsafat yang menghuraikan secara terperinci dengan semua persoalan dan pengetahuan tentang akhir zaman. Secara ringkas, Barnhart menjelaskan, “Eschatology is a doctrine of the last or final things, specially death, judgement, heaven and hell.”

Al-Quran sebagai imbalan dan hukuman secara global, termasuk keredaan dan kemurkaan Allah Azza Wajajjala. Setiap manusia akan memperoleh kesedaran unik yang tidak pernah dialaminya sebelum daripada perbuatan baik dan buruknya.

Aspek eskatologi dalam al-Quran menempatkan satu posisi yang amat penting. Berbeza dengan kitab-kitab lain, al-Quran lebih terperinci yang merangkumi hari akhirat dengan menghujahkan pembahasan secara teratur tentang peristiwa kiamat. Eskatologi ini juga memuatkan ilmu-ilmu Allah s.w.t yang tidak termampu dihuraikan atau ’dieksperimen’ oleh manusia.

Pada umumnya manusia lebih tertarik kepada kepentingan-kepentingan yang bersifat pragmatik yang merangkumi material sehingga tidak menghiraukan pentas eskatologi. Akibatnya, ia seringkali melanggar norma-norma dan hukum moral.Persoalan-persoalan eskatologi hanya difokuskan kepada beberapa aspek yang dianggap signifikan. Ilmu ini perlu mendapat perhatian umat Islam untuk dikembangkan lebih lanjut, bahkan ia perlu dirumuskan dalam satu kerangka yang berupaya diaplikasikan dalam bentuk tindakan. Ilmu ini dapat memperkayakan khazanah pemahaman kita terhadap al-Quran dan sekali gus dapat memperbaharui keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Ilmu ini memainkan peranan yang penting ketika ilmu-ilmu hasil ‘raksasa’ manusia tidak mampu melahirkan penemuan bagi memperbaiki moral manusia dan pada masa itu ‘kebenaran mutlak’ amat diperlukan dalam berbagai-bagai aspek antara hidup dan kehidupan.
Tetapi apa yang menjadi persoalan, sistem apakah yang digunakan apabila beribu-ribu manusia dengan nama yang sama dipanggil berkumpul di padang Mahsyar sambil menunggu perhitungan amal? Sudah tentu manusia akan berebut-rebut untuk dipercepatkan pengiraan amalan mereka. Namun dengan adanya sistem atau kuasa Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui, manusia akan dipertimbangan amalannya dengan catatan rekod yang tepat.

Rasulullah s.a.w menggambarkan perbezaan itu dalam sabda baginda yang bermaksud: “Manusia akan dikumpulkan pada hari kiamat menjadi tiga golongan: satu golongan berjalan kaki; satu golongan berkenderaan; dan satu lagi berjalan dengan mukannya. Kemudian para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah, bagaimana orang itu dapat berjalan dengan mukanya.“ Rasulullah menjawab, “Allah s.w.t mampu menjalankan mereka di atas kakinya, maka Allah s.w.t juga mampu menjalankan mereka dengan mukanya. Alangkah sukarnya mereka, kerana harus berjalan dengan menjaga mukanya agar terhindar dari tanah dan banyak tumbuhan berduri.” (Riwayat Tirmizi)

Gambaran di padang Mahsyar amatlah sulit, sangat panas, dan masing-masing menguruskan diri sendiri. Semuanya ingin mempercepatkan agar terbebas dari situasi Mahsyar. Tiada lagi sebarang barang dagangan atau perniagaan seperti jualan air dan sebagainya. Saat itulah manusia baru menyedari bahawa di akhirat kelak tidak ada istilah sogok-menyogok, tidak ada suap-menyuap dan tidak ada korupsi. Demikian juga tidak bererti mempunyai teman rapat, anak, isteri, suami , saudara, ayah atau ibu. Semuanya lepas tangan kerana tidak sanggup menolong orang lain. Situasi inilah yang diilustrasikan dalam surah ‘Abasa ayat 33-37.Perhitungan amal dilakukan dengan catatan amal masing-masing. Catatan amal ini sudah dirakam atau disimpan dengan rapi dan terjamin. Malah, tidak ada kecurangan sedikit pun, besar atau kecil, baik di langit dan di bumi, di dalam batu atau di atas gunung, semua dicatat oleh petugas iaitu dua Malaikat yang bernama Raqib dan Atiq atau Kiraman dan Katibin. Mereka ini adalah jurutulis dan ahli merakam dan sekali gus menyimpan rekod apa sahaja yang dilakukan manusia di dunia ini.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi itu sumber penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.” (al-Hijr: 19-20)

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:

“Maka apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiupan dan diangkat bumi dan gunung-gunung lalu dilenturkan kedua-duanya dengan sekali lenturan. Maka pada hari tu terjadilah Kiamat dan terbelahlah langit kerana pada hari itu langit menjadi lemah, dan para malaikat berada di segala penjuru langit, dan pada hari itu juga beberapa malaikat menjunjung Arasy Tuhanmu di atas kepala mereka dan pada hari itu kamu dihadapkan kepada Tuhanmu dimana tiada satu rahsia pun yang terselindung bagi Allah Azzawajjala.” (al-Qiamah: 1-15)

Manusia perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu, kerana apa sahaja yang dilakukan pasti akan dicatat dan Allah s.w.t Maha Mengetahui setiap yang terdetik di hati dan naluri manusia. Tujuan hidup harus dijelaskan dengan sejelas-jelasnya sehingga manusia dapat melihat apa yang telah diperjuangkannya dan apa sesungguhnya yang telah diraih selama berada di atas muka bumi ini. Dengan mempelajari eskatologi, setidak-tidaknya manusia mempunyai pengetahuan tentang kehidupan abadi di alam akhirat kerana itulah yang sebenar-benarnya tujuan manusia melangkah ke alam yang abadi.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Apabila langit terbelah, bintang-bintang berjatuhan, apabila lautan meluap, dan kuburan dibongkar, maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang dikerjakannya dilalaikannya.´(al-Muthaffifin: 4-17)

Ternyata untuk sampai ke tempat yang abadi dan menjalani kehidupan abadi itu, seseorang harus menempuh perjalanan yang panjang, sejak lahir hingga mengakhiri kehidupan dunia. Kematian bukanlah akhir segalanya, tetapi lebih pada pengalihan kehidupan daripada kehidupan duniawi kepada kehidupan yang kekal selama-lamanya.Sesungguhnya Allah s.w.t sahaja yang layak disembah dan diberikan pemokusan yang jitu agar keseimbangan tuntutan kehidupan di dunia dan di akhirat. Oleh hal yang demikian itu, ketika seseorang hamba memenuhi ajakan-Nya, maka ia akan diundang sebagai penghargaan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredai-Nya, maka susurilah ke dalam kelompok hamba-hambaKu yang soleh ke dalam syurga-syurga-Ku.” (al-Fajr: 27-30)
READ MORE -

Dakwah gagal kerana dibuat tanpa strategi

Kebanyakan usaha dakwah untuk menarik masyarakat bukan Islam di negara ini dibuat tanpa strategi dan perancangan yang teliti.
Penulis dan aktivis dakwah, Ann Wang Seng berkata, ini menyebabkan usaha dakwah berdepan pelbagai masalah kerana kaedah 'tangkap muat' yang digunakan tidak sesuai dan kurang berkesan.
"Dalam Islam, kaedah penyampaian dakwah boleh dilakukan secara lisan, tulisan atau pun perbuatan termasuk kerja-kerja kebajikan.
"Ia perlu dilakukan secara bertahap iaitu melibatkan perancangan jangka pendek, jangka panjang, penyelidikan, pengumpulan data, teori dan praktikal serta penilaian terhadap usaha yang sudah dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Dakwah Efektif Kepada Masyarakat Cina di Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Ummah di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar.
Wang Seng berkata, proses dakwah secara berkesan boleh dilakukan dengan tiga cara yang dimulakan dengan usaha seruan kepada manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.

Jelas beliau, cara kedua dakwah pula merupakan panggilan atau anjakan untuk menerima Islam sebagai agama dan cara hidup yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia.
"Ketiga, dakwah perlu dijadikan satu perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam dan meletakkan Islam pada kedudukan sewajarnya," katanya.
Sehubungan itu, Wan Seng menjelaskan, kaedah berdakwah kepada masyarakat Cina perlu dipelbagaikan dan disesuaikan dengan golongan sasarnya.
"Ini kerana cara berdakwah kepada Orang Asli belum tentu sesuai untuk digunakan kepada masyarakat India, Kristian dan penganut agama Buddha.
"Jadi kita perlu mengenali orang Cina, memahami sosio budaya orang Cina, agama dan kepercayaan orang Cina untuk berdakwah dengan berkesan," katanya.

Katanya, selain mendekati pandangan dan falsafah hidup orang Cina, para pendakwah juga perlu mengetahui minat dan kesukaan masyarakat itu seperti bidang perniagaan yang sememangnya dikuasai kaum Cina,
Jelas beliau, langkah berkenaan dapat menghapuskan ketakutan kaum Cina terhadap Islam dan ia perlu dikembangkan supaya tidak lagi wujud jurang dan tembok pemisah sebagaimana yang masih wujud pada masa ini.
Wan Seng berkata, pendakwah juga harus menghapuskan tanggapan dan pandangan buruk terhadap masyarakat Cina.
"Mereka tidak boleh ada perasaan benci, anti, tidak suka dan iri hati pada orang Cina.
"Sebaliknya mereka perlu belajar memahami dan mengenali orang Cina bagi meyakinkan orang Cina terhadap kesejagatan pada ajaran Islam," katanya.
READ MORE -

Belia Hari Ini Wajah Negara Masa Hadapan

Sejak akhir-akhir ini kita sering dihidangkan dengan berita-berita yang negatif tentang generasi muda di samping kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan generasi muda. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan pemimpin negara terutamanya kepada pempinan pertubuhan dan persatuan belia di negara kita.

Hari belia yang disambut pada 15 Mei setiap tahun dinegara kita adalah sebagai satu medan untuk setiap warga muda bermuhasabah dan memikirkan matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai oleh mereka. Tema hari belia tahun ini “ Belia Bina Bangsa, Belia berwawasan dan Belia Malaysia” merupakan satu tema yang sangat menarik untuk kita renungi dan fikirkan bersama . sememangnya warga muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan datang.Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “ Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Dalam usaha kita mencari manhaj sendiri (acuan) untuk membina dan membangun generasi muda hari ini, ia menuntut perhatian yang besar dan bersungguh-sungguh dari semua pihak sama ada dari kerajaan mau pun rakyat. Namun begitu janganlah usaha itu hanya ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk ditangga atau berbentuk musim-musiman sahaja . Sesungguhnya, peranan dan tanggung jawab belia pada hari ini adalah signifikan untuk menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama adalah cukup besar sekali. Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Umat Melayu Muslim hari ini bukan lagi hanya menjadi penonton atau pemain simpanan sahaja tetapi haruslah bersiap siaga untuk menjadi pemain utama dalam memacu umat untuk memimpin tamadun dunia dan menjadi umat contoh , terutamanya pada masa sekarang di,mana imej dan citra agama Islam digambarkan dalam keadaan yang buruk. Gambaran suram wajah Islam hari ini semestinya diperbetulkan melalui kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran, kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri. Golongan mudalah yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia bermula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan mudalah yang banyak memainkan peranan utama seperti sahabat Rasulullah SAW yang setia berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini.

Lihatlah nama-nama besar seperti Saidina Ali, Saidina Osman, Abdul Rahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama dan jentera penggerak pembinaan ketamadunan Islam. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Zaid yang berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom dan Kehebatan Muhammad Al Fateh membuka Kota Istanbul ( Konstantinopal ) ketika berusia 21 tahun.Peranan golongan muda dalam Al Quran dirakamkan dalam episod pemuda-pemuda kahfi yang bersikap berani mempertahankan akidah dari seorang raja yang zalim.

Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi 18 : 13 - 14, Terjemahannya :
“ Kami ceritakan kisah mereka ( Ashabul kahfi ) kerana keredaanmu ( Muhammad ) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami telah tambahkan kepada mereka petunjuk dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata ;” Tuhan kami adalah Tuhan selain Dia, Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkam perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.

Ringkasnya , peranan utama warga muda muslim hari ini ialah ;

1. Menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.
2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi.
3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup.
4. Mencegah dan menghalang kemungkaran iaitu perilaku dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.
5. Menjadi pencetus , penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku kebanjiran dan limpahan budaya negatif dan rosak yang melanda negara di seluruh dunia. Warga muda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme – suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), ketagih rokok, judi, arak, bahan porno ( lucah ) dan sms dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan kita.

Mana mungkin anak-anak muda yang majoritinya adalah anak-anak Melayu Muslim ini, yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus dan mentadbir agama serta menjamin kedaulatan negara ? Tentunya kegusaran ini turut dirasai dan dikongsi oleh semua generasi pewaris hari ini dan marilah kita sama-sama berganding bahu dan bekerjasama untuk membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim : 66 : 6 , terjemahannya ;Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.

Menyedari bahawa jumlah warga muda seramai 12 juta ini harus digembleng keupayaan, kemahiran dan kepakaran mereka untuk membangun ummah marilah sama-sama kita bangkit dari perbaringan dan lena yang panjang. Sedarlah kita bahawa dihadapan terbentang banyak cabaran dan tugasan yang sedia menunggu untuk dibereskan. Ingatlah bahawa tanggungjawab dan tugasan lebih banyak dari masa yang ada.
READ MORE -

Tajdid Sebagai Strategi Dakwah

Perubahan adalah sunnatullah, yakni peraturan dan hukum perjalanan alam yang dicipta oleh Allah s.w.t. mengikut kuasa dan kehendakNya Yang Maha Suci. Alam dan semua perkara yang terdapat di dalamnya, sentiasa terdedah kepada perubahan. Tetapi, apakah yang berubah dan bagaimana perubahan itu berlaku? Tentunya, dengan adanya kebelbagaian dalam alam ciptaan Allah s.w.t. ini, tidak mungkin kita memberikan jawapan menyeluruh kepada persoalan ini. Dalam hubungan ini, saya hanya akan menumpukan kepada perubahan yang berlaku dalam agama Islam dan beragama, yakni dalam aspek yang melibatkan interaksi antara pemeluk agama Islam dengan ajaran-ajaran Islam yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah.

Perubahan dalam agama.

Yang amat nyata di dalam agama Allah s.w.t. sejak Adam sehingga rasul terakhir iaitu Nabi Muhmmad s.a.w. perubahan belaku dalam syari’at yang diturunkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutus. Tetapi tidak berlaku perubahan agama dalam aspek akidah di mana semua nabi-nabi dan rasul-rasul membawa risalah tauhid dan mengajak manusia supaya beribadah kepada Tuhan Yang Satu. Tetapi di dalam syariat, berlaku perubahan yang nyata. Syariat yang diturunkan kepada rasul-rasul itu tidak sama dan berubah-ubah di kalangan rasul-rasul itu.

Satu lagi dimensi yang perlu diperhatikan, terdapat hubung-kait antara agama Islam dan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya, dengan sunnatullah yang merupakan hukum-hukum dan peraturan yang menguasai perjalanan semulajadi ala mini. Tetapi hukum-hukum yang terkandung di dalam sunnatullah tidak berubah. ولن تجــد لســنة اللـه تبــديلا ( Kamu tidak akan dapati pergantian bagi sunnatullah itu) Bagaimana pun, hukum-hukum Allah s.w.t dalam sunnatullah itu , walaupun tidak berubah, tetapi boleh disusun semula, menerusi keupayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. dalam ilmu pengetahuan. Bahan-bahan yang terdapat di dalam alam ini, boleh disusun semua, umpamanya disusun kadarnya, dikaji dan difahami susunan DNA dan disusun kembali susunannya. Bahan-bahan yang disusun berubah menjadi benda baru. Bahan-bahan dan unsur-unsur yang terdapat di dalam alam ini boleh dicerakinkan dan disusun kembali bagi menghasilkan benda yang baru. Ini juga menjadi sebahagian daripada sunnatullah. Alam ini, ditentukan oleh Allah sebagai sesuatu yang boleh difahami dan diolah kembali. Ia boleh dibangunkan dan dikembangkan dengan pengetahuan dan usaha gigih manusia. Keadaan alam seperti itu, membolehkan ia dibangunkan. Sedangkan pembangunan bumi ini menjadi salah satu tugas manusia sebagai khalifah.

Realiti yang disebutkan itu, menunjukkan betapa pentingnya perubahan. Oleh kerana perubahan adalah penting, manusia mesti menanganinya dan mengurus perubahan itu dengan bijaksana. Dalam hal yang melibatkan agama dan beragama, terdapat dimensi agama dan beragama yang tetap dan yang berubah atau berkembang. Ajaran agama yang berkaitan dengan keimanan terhadap kewujudan Allah Yang Maha Esa, terdapat di dalam, dimensi tetap dan dimensi yang berubah dan berkembang. Kemestian beriman kepada wujudnya Allah Yang Maha Esa, tidak berubah. Tetapi keyakinan terhadap kewujudan itu berubah. Sebagaimana saranan di dalam ilmu Tauhid, bahawa iman itu bertambah dan berkurang. Namun apa jua status keimanan itu, kemestian beriman kepada Allah adalah suatu yang tetap dan tidak berubah.
Di dalam contoh yang disebutkan tadi, kemestian beriman kepada Allah itu adalah merupakan dimensi agama yang tidak berubah-ubah dan tetap sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Tetapi keyakinan manusia terhadap ajaran mengenai kewujudan Tuhan itu adalah dimensi beragama yang terdedah kepada perubahan. Sama ada perubahan itu terarah menuju kekuatan iman atau kekurangannya.

Agama dan Beragama

Agama dan beragama, merupakan realiti yang berlainan, tetapi mempunyai hubung-kait yang sangat erat. *Agama Islam ialah ajaran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah baginda yang sahih. Tiada sesiapa pun yang boleh membuat pindaan datau perubahan ke atas ajaran tersebut. Sesuatu rekaan dan ciptaan yang dilakukan ke atas al-Quran dan Sunnah yang bukan daripadanya adalah ditolak. من أحــدث في أمـرنا هذا ما ليس منــه فهــو رد ( Sesiapa yang mencipta dalam perkara kami ini yang bukan daripadanya, adalah ditolak) فويل للذين يكتبون الكتاب بأيديهم ثم يقولون هـذا من عند الله ليشتروا به ثمنا قليلا فويل لهم مما كتبت أيديهم وويل لهم مما يكســبون ( Maka malanglah bagi mereka yang menulis kitab dengan tangan mereka,kemudian mereka berkata ini adalah daripada Allah, untuk mereka menjualnya dengan harga yang murah dan membawa malang kepada mereka daripada apa yang mereka tuliskan itu dan daripada apa yang mereka perolehi daripadanya.)
Kita tidak berhak untuk mengubah dan meminda karangan orang daripada mana-mana buku sekalipun, supaya sesuai dengan kehendak kita. Apa lagi untuk meminda atau menokok tambah wahyu yang diturnkan oleh Allah kepada rasul-Nya atau meminda apa yang telah sah bagi perbuatan, perkataan dan pengakuan Nabi atau Sunnah baginda, untuk disesuaikan dengan kehendak dan pemikiran kita.
Tetapi beragama dengan agama itu merupakan dimensi lain, yakni dimensi hubungan dan interaksi manusia dengan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam ajaran-ajaran yang terdapat dalam agama itu. Bagaimanakah manusia memahami ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah dan bagaimana mereka menghayatinya dalam kehidupan mereka mengikut arahan-arahan yang terkandung di dalamnya sebagaimana yang difahami oleh mereka. Inilah dimensi beragama yang melibatkan kerja manusia yang ditaklifkan oleh Allah s.w.t. mengikut keupyaan. لايكلف الله نفسـا إلا وســعها ( Allah tidak menyaklifkan ke atas seseorang melainkan mengikut keupayaannya.

Oleh kerana tahap keilmuan manusia tidak sama dan kaedah serta manhaj bagi memahami ajaran-ajaran al-Quran juga turut berbeza, maka kefahaman manusia terhadap ajaran-ajaran itu mungkin berbeza. Bahkan, kemungkinan kefahaman itu, mungkin jelas untuk sesuatu zaman dan tidak sesuai dengan zaman yang lain. Justeru, dimensi beragama, bukanlah sesuatu yang tetap buat selama-lamanya. Ia terdedah kepada perubahan. Bahkan ia memerlukan perubahan.

Dimensi beragama, tidak memiliki sifat kesucian. Tidak sebagaimana status al-Quran dan Sunnah yang sahih. Justeru, kefahaman mengenai nas itu, terdedah kepada pembaharuan dan dibuat penyesuaian selaras dengan perubahan tempat dan zaman untuk memelihara masalah dan tujuan-tujuan syari’at. Bagaimana pun, keperluan pemahaman dan pembaharuan kepada ilmu pengetahuan adalah suatu yang suci yang tidak boleh diubah atau dipinda. Ini ialah kerana keperluan tersebut ditentukan oleh agama yang metelatakkanya pada status kesucaian, walaupun keilmuan manusia itu tidak mutlak. Nmun, ia diterima sebagai separa mutlak, jika sesuatu kefahaman terhada nas yang berdasarkan ilmu itu mencapai tahap ijmak di kalangan para ilmuwan mujtahid. Memang benar bahawa agama itu sesuatu yang sempurna, tetapi ketidak-kesempurnaan dalam beragama adalah sesuatu yang lumrah bagi manusia, Tetapi ketidak-sempurnaan itu sentiasa diimbangi oleh keampunan Allah s.w.t.

Sifat-sifat integriti sebagai ilmuwan, perlu ada bagi membina kefahaman lebih kukuh mengenai nas itu sehingga mampu menempatkan dimensi beragama itu berada dalam keadaan mantap. Membina sifat-sifat itu bukan di luar jangkauan manusia, jika ia tidak dikuasai hawanafsu. Kekuatan iman, ilmu dan mujahadah di dalam pembinaan dan pembentukan sifat-sifat kemuliaan sebagai ilmuwan, adalah seseuatu yang tidak boleh diabaikan oleh setiap ilmuwan. Bahkan untuk mencapai tahap keintelektualan yang tinggi sebagai ilmuwan Islam, seseorang mestilah memiliki integriti yang dimiliki oleh para ulul al-bab. Mereka mestilah seorang yang mematuhi perjanjian dengan Allah s.w.

Agama, beragama dan budaya

Dimensi beragama yang terpancar daripada ajaran agama, dengan apa jua tahap kefahamannya dan diamalkan oleh masyarakat yang menerimanya sehingga menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat itu, pastinya menjadi budaya masyarakat itu. Dengan peerkataan lain, ajaran agama sebagaimana yang difahami oleh sesuatu masyarakat dan mengamalkannya sehinggi menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat itu, telah membentuk atau mempengaruhi corak budaya masyarakat itu.

Tetapi ,Islam tidak muncul di dalam persekitaran yang bebas budaya. Di semenanjung Arabia, di mana Islam itu diturunkan, masyarakat Arab telah memiliki suatu budaya yang dinamakan dalam Islam sebagai budaya jahiliah. Di dunia Melayu, sebelum kedatangan Islam, telah wujud budaya yang dipengaruhi ajaran agama Hundu dan animism. Dalam dunia Melayu, ini kehidupan masyarakatnya dibentuk oleh bentuk beragama dan warisan budaya masyarakat Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu dibentuk berdasarkan kepada bagaimana masyarakat ini berinteraksi dengan ajaran al-Quran dan Sunnah dan diwaktu yang sama pembentukan itu turut dipengaruhi oleh warisan budaya yang masih diamalkan dalam masyarakat tersebut.

Faktor budaya turut memainkan peranan penting dalam mencorak kehidupan beragama di rantau ini. Dengan perkataan lain, kehidupan umat Islam di alam Melayu, tidak hanya dibentuk oleh kekuatan bergama, tetapi juga oleh pengaruh budaya yang diwarisi di zaman Hindu dan anamisma. Kita juga tidak harus lupa bahawa akibat kekalahan di tangan penjajah Barat, dan dinamika budaya itu sendiri, maka budaya Barat turut memainkan peranan dalam mencorak kehidupan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Ajaran Islam yang telah dibudayakan dalam kehidupan orang Melayu, bercampur baur dengan amalan budaya warisan yang masih dihayati dalam kehidupan orang-orang Melayu, dan pengaruh budaya lain yang turut diterima dalam kehidupan orang-orang Melayu, pembentuk sebenar acuan kebudayaan bangsa Melayu.


Tajdid Sebagai Strategi

Bagi mengatur strategi dakwah yang berkesan, perancang dakwah mestilah memahami latarbelakang budaya orang-orang Melayu seperti ini. Tujuan dakwah di kalangan orang-orang Melayu yang telah pun beragama Islam, semestinya berlainan dengan tujuan berdakwah di kalangan orang-orang Cina yang belum menganut agama Islam. Bagaimana pun latarbelakang budaya mereka perlu difahami untuk mengembangkan dakwah di kalangan mereka.

Tujuan dakwah di kalangan orang-orang Melayu ialah untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam. Sehingga mereka menjadi tonggak kepada perjuangan Islam di negara kita. Oleh kerana kedudukan orang Melayu sekarang ini adalah tonggak kekuatan polirik negara kita, pengangan dan penghayatan yang kuat terhadap Islam di kalangan mereka, akan mempengaruhi dasar-dasar negara dan akan menentukan hala-tujua negara ke arah pembangunan yang berterasakan Islam.
Latarbelakang budaya masyarakat Melayu, dan bentuk budaya bangsa Melayu seperti yang ada sekarang ini perlukan kepada perubahan. Perubahan yang pengaruhi dan digerakkan oleh dakwah, pastinya akan memberi kesan ke arah mengukuhkan nilai-nilai Islam yang akan menjadi teras kepada pembentukan peribadi dan jatidiri orang-orang Melayu.

Untuk itu, gerakan dakwah perlu menggerakkan tajdid dan pembaharuan dalam beragama di kalangan orang-orang Melayu supaya mereka beragama secara lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa. Sebagaimana yang telah ditegaskan bahawa beragama, bukanlah mempunyai kesucian sebagaimana yang terdapat di dalam agama itu sendiri. Walaupun di dalam menilai sesuatu bentuk penghayatan beragama itu, perlu dilaksnakan dengan berhati-hati dan menghormati ilmu sebagai sesuatu yang memiliki nilai-nilai kesucian, namun tajdid di dalam beragama dan perubahan di dalamnya perlu dilakukan bagi mengekalkan dinamika beragama itu.

Kefahaman terhadap ajaran agama tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang telah ditinkan dan sedia untuk dimasak dan dimakan. Dinamika dalam pemahaman agama, ialah bahawa agama diterima sebagai cahaya, yang makin jauh, makin luas pancaran cahayanya. Ia hendak diterima dan difahami sebagai petunjuk yang memberi cahaya penyelsaian kepada semua masalah kehidupan yang sentiasa berubdah dan berkembang. Kita seharusnya memahami dengan mendalam persoalan semasa yang tidak selamanya sama dengan persoalan zaman dahulu, dan mencari petunjuk untuk penyelsaian persoalan semasa itu, mengikut kaedah dan cara yang mapan dengan persoalan masa kini yang dihadapi. Sudah tentulah sukar bagi kita menyelsaikan isu pemindahan organ, sekiranya kita merujuk kepada kaaedah kefahaman di zaman Imam al-Syafie yang belum berhadapan dengan masalah seperti itu, berdasarkan kepada kemajuan sains di zaman ini. Dalam hal ini kefahaman mengenai petunjuk agama memerlukan perubahan bagi menangani isu pemindahan organ. Ini hanyalah satu daripada contoh-contoh di mana pendekatan bagi menghayati petunjuk agama itu memerlukan perubahan.
Bagi menggerakkan tajdid yang berkesan, penyelidikan dan pembangunan adalah sangat diperlukan supaya sesuatu persoalan difahami secara mendalam dan kajian mengenai penyelsiannya dianalisa secara menyeluruh supaya isu yang berkaitan dapat dicari penyelsaiannya secara berkesan.

Pendakwah di zaman ini tidak lagi mapan dengan hanya kebolehan berpidato atau berceramah. Tetapi pendakwah zaman ini adalah penyelidik dan penggerak kepada penyelsaian masalah semasa secara praktis. Ia memerlukan kemahiran dan kebijaksanaan sebagai pendakwah dan sekali-gus penyumbang kepada pembinaan tamadun yang dibentuk berasaskan acuan Islam.
READ MORE -

Wednesday, July 29, 2009

KENAPA SYAABAN TIDAK BEGITU DIRAI

Kehadiran Syaaban lazimnya tidak disedari oleh ramai umat Islam. Ramai di antara mereka yang tidak sabar lagi menantikan ketibaan Ramadhan justeru telah memasang cita-cita untuk melipatgandakan ibadat pada bulan yang penuh berkat itu. Tidak kurang juga di antara mereka yang mengidamkan kedatangan Syawal justeru ingin berhari raya awal.

Syaaban umumnya tidak begitu dirai dan dihayati oleh umat Islam, kecuali bagi mereka yang benar-benar mengetahui hakikat dan rahsia keistimewaan bulan ini. Kedudukan bulan ini sebagai bulan terakhir umat Islam dibenarkan makan dan minum di siang hari sudah tentunya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bahkan, kelebihan bulan ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihan atas kamu.

Rasulullah menerangkan lagi bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya adalah seperti kelebihan atas segala para nabi. Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lainnya adalah seperti kelebihan Allah atas sekalian makhluk-Nya.
Nabi juga pernah mengingatkan bahawa Syaaban adalah bulan baginda manakala bulan Ramadhan pula adalah umatnya. Kelebihan Syaaban ini juga disokong oleh Saidatina Aishah yang menyatakan bahawa Rasulullah sangat mengasihi bulan Syaaban.
Malam nisfu Syaaban diumpamakan sebagaimana keagungan bulan Rejab dengan malam Israk-Mikrajnya dan kehebatan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya.
Pada malam di pertengahan bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), Jibril pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang dibukakan pintu langit. Pada malam ini Allah membukakan pintu rahmat dan keampunannya yang amat luas.
Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya supaya melakukan amal ibadat dengan bangun malam dan berpuasa di sebelah siangnya. Dalam satu hadis Qudsi, Allah bertanya-tanya “adakah orang yang meminta ampun, Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku rezekinya”. Demikianlah pertanyaan dari Allah yang tersangat bersifat pengasih lagi amat penyayang terhadap hamba-hamba-Nya sehingga terbit fajar subuh.
Ringkasnya, amal ibadat pada malam itu dijamin mengundang balasan pahala yang besar ganjarannya kerana Nabi Muhammad pernah menyatakan bahawa Allah s.w.t. akan menilik dan meneliti setiap hambanya pada malam berkenaan serta mengampunkan dosa segala makhluknya melainkan mereka yang syirik dan memutuskan silaturrahim dengan saudaranya.

Puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam bulan Syaaban. Sesuai dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadhan, bulan ini melatih manusia berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat di bulan Ramadhan nanti.
Justeru, puasa di bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa di bulan Ramadhan.
Nabi s.a.w. bersabda, bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, lalu diberkatkan rezeki baginya antara lain sabdanya bahawa Allah membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.
Nabi pernah mengingatkan bahawa siapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban maka Allah akan mengharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dia akan menjadi rakan kepada Nabi Yusuf di dalam syurga.
Dia akan diberi pahala seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan dalam bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripada kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripadanya huru-hara Munkar dan Nankir, ditutup Allah keaibannya di hari akhirat dan diwajibkan syurga baginya.
Pada bulan Syaaban, umat Islam seharusnya turut meninjau beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam dalam bulan Syaaban.
Diantaranya ialah peperangan dengan Bani Mustalik pada tahun 6 Hijrah dan perpindahan Kiblat umat Islam daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah pada tahun 2 Hijrah.

Kedua-dua peristiwa yang memerlukan usaha jihad tersebut amat besar pengertiannya dalam konteks menonjolkan syiar Islam kepada umat manusia.
Bagi mengembalikan keharmonian bulan Syaaban, ia haruslah disambut dengan penuh keinsafan khususnya dalam mencari keampunan dan keredhaan Ilahi. Kaum Muslimin bukan sahaja perlu berlumba-lumba beribadat bagi mengejar limpahan pahala dan keampunan Allah tetapi juga harus berani berjihad bagi mengembalikan kemuliaan institusi seperti Baitulmaqdis ke tangan umat Islam demi menegakkan dan memelihara ketinggian syiar Islam di bumi ini.
READ MORE -

Dunia Islam mengharapkan Thailand stabil

Keadaan tidak tenteram di Thailand menimbulkan suasana resah bukan saja bagi rakyat negara itu, tetapi juga dunia termasuk jiran-jirannya. Ketika mana Bangkok masih tidak stabil dengan Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) masih tidak dapat menerima pelantikan Perdana Menteri Somchai Wongsawat, negara itu terlibat pula dengan pertempuran di sempadan Kemboja.

Maknanya demonstrasi di Bangkok yang belum reda, dengan pertempuran di sempadan menambah lagi suasana tidak tenteram yang selama ini berterusan di wilayah-wilayah Melayu di Thailand Selatan. Sudah tentu harapan supaya masalah di Thailand Selatan dapat diselesaikan tidak tercapai kerana apa yang berlaku di Bangkok dan sempadan Kemboja lebih menarik perhatian negara.

Tentunya untuk menyelesaikan masalah di sempadan Kemboja dan Thailand Selatan memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan berkesan di Bangkok. Jika di Parlimen dan pusat pentadbiran negara, kerajaannya goyang kerana tidak diyakini oleh sebahagian pentingt rakyat, maka sebarang usaha menyelesaikan masalah tidak dapat dilakukan.

Justeru, penyelesaian mesti dicapai di Bangkok, sama ada Perdana Menteri Somchai tumbang atau sebaliknya beliau menjadi kukuh hingga dapat mengalahkan PAD, barulah keadaan menjadi stabil dan masalah-masalah yang dihadapi Thailand seperti soal sempadan Kemboja dan Thailand Selatan dapat dicari penyelesaiannya.

Dalam keadaan begini dunia Islam, atau negara-negara Islam khususnya Malaysia sendiri yang berasa setiakawan terhadap orang Melayu di Thailand Selatan mahukan penyelesaian segera dan muktamad di wilayah-wilayah di situ.

Tentunya dalam keadaan beremosi patriotik yang tinggi berhubung dengan kawasan sempadan di Kemboja, kecenderongan rakyat negara itu secara umumnya adalah untuk emamstikan bahawa tidak ada mana-mana tanah negara itu terlepas ke pihak lain, apatah lagi sebarang usaah untuk tuntutan pemisahan dan kemerdekaan wilayah.

Tiga peristiwa di Thailad, iaitu kawasan sempadan dengan Kemboja, demonstrasi di Bangkok dan isu Pattani di wilayah selatan mempunyai pertalian sejarah dengan kedudukan proses pembentukan negara itu.

Sebelum tertubuhnya negara moden Thailand, yang bermaksud `tanah bebas’ atau `tanah merdeka’ , entiti politiknya adalah Siam. Oleh kerana majoriti penduduk negara itu dari etnik Siam, maka bangsa itu adalah ton ggak identiti negara Siam dengan kedaulatan rajanya yang bersemayam di Bangkok. Sebelum bandar raya itu menjadi ibu negara, raja Siam bersemayam di Ayuthaya.

Tradisi Siam menyifatkan Asia Tenggara, iaitu bahagian benuanya merupakan wilayah pengaruhnya. Semananjung Asia Tenggara itu dalam zaman modennya termasuklah Singapura, Semenanjung Malaysia, Myanmar, Vietnam dan Laos. Sebab itu pada satu masa empayar Siam meliputi sehingga Temasek.

Namun begitu, bukan saja Siam yang mahu menguasai Semenanjung Asia Tenggara yang diberi nama Swarnabumi, bermakna bumi emas, kini menjadi nama lapangan terbang Antarabangsa Bangkok yang baru; tetapi juga terhadap kuasa-kuasa bangsa lain.

Bangsa lain ini termasuklah Burma, Khmer, Annam dan Melayu sendiri. Kerajaan melayu pernah mewujudkan empayarnya di Champa. Pada mulanya beragama Hindu, kemudian Buddha dan akhirnya menjadi Islam. Kerajaan Melayu Champa ini kemudian tersebar hingga ke Pattani dan menguasai semenanjung Tanah Melayu. Tamadun melayu ini kemudian tersebar ke Sumatera melalui kerajaan Sri Wijaya yang menjadi perintis kepada kesulatanan Melaka.

Maka, tidak menghairankan bahawa pertempuran sengit sentiasa berlaku antara pelbagai kuasa bangsa di Semenanjung Asia Tenggara ini. Bukan itu saja, berlaku juga campur tangan daripada luar rantau ini, termasuk dari China dan India. Pada zaman pra-moden, campur tangan Barat, baik dari Britain, Perancis mahupun Belanda mengubah rupa bentuk politik rantau itu.

Apa yang berlaku dalam sejarahnya masih bergema pada zaman ini. Bangsa Khmer pernah berperang menentang Siam. Masing-masing pernah menakluk di antara satu sama lain. Siam juga pernah berperang dengan Burma. Begitu juga antara Siam dengan kerajaan Melayu di Pattani.

Maka apabila masuk ke zaman moden, Siam muncul menjadi negara penampan bagi kemaraan kuasa-kuasa Barat yang lebih kuat dari segi ketenteraan dan tamadun. Britain sudah menawan Burma di sebelah barat di mana mereka memasukkannya ke dalam kerajaan British India yang berpusat di Calcutta. Sementara Perancis sudah menguasai Indochina di sebelah timur, termasuk Kemboja. Kedua-dua negara, Burma dan Kemboja pernah berperang dengan Siam. Pernah ditawan dan juga menawan.

Sebuah lagi bangsa yang pernah berperang dengan Siam ialah orang Melayu. Tetapi Siam tidak berupaya menawan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu. Penguasaannya ke atas Temasek juga terlepas dan usahanya untuk menumpaskan Melaka gagal dengan campur tangan China.

Justeru, Siam hanya dapat menguasai sebahagian saja daripada kerajaan orang Melayu, dan itu ialah empat wilayah di Thailand Selatan. Dengan negara-negara jiran dikuasai penjajah, Siam terselamat daripada penjajah kerana ia menjadi penampan bagi Britain dan Perancis supaya tidak berkelahi untuk merebut wilayahnya.

Sebagai negara yang terselamat daripada dijajah, dan untuk menampilkan dirinya sebagai sebuah negara moden pelbagai kaum dan agama, maka ia menukar namanya kepada Negara Thai atau Thailand untuk mencerminkan kebebasan wilayahnya daripada dijajah. Justeru bangsa Thai bukan saja terdiriri daripada Siam tetapi pelbagai etnik termasuk Melayu, Lao, Khmer dan Vietnam yang tinggal di dalam wilayah kedaulatannya.

Malah bilangan penduduk etnik Lao di Thailand lebih ramai daripada di Laos kerana penduduk dan keluasan negara Laos adalah kecil. Tetapi untuk memastikan keharmonian dengan negara-negara jirannya, sempadan yang diambil kira adalah apa yang sudah ditetapkan oleh penjajah Britain dan Perancis pada zaman dahulu.

Dalam keadaan begini, penduduk Melayu di Thailand juga sudah menerima hakikat ahawa mereka adalah sebahagian daripada negara Thailand yang berdaulat, merdeka, moden dan plural. Soal pemisahan dan kemerdekaan tidak timbul. Apa yang hendak diperjuangkan adalah keadilan dan autonomi bagi mewujudkan keharmonian dalam negara Thailand. Bagaimanapun, keharmonian ini hanya dapat dicapai jika Bangkok dalam keadaan stabil. Tidak kiralah siapa yang berjaya, sama ada penyokong ataupun penentang Thaksin Shinawatra.
READ MORE -

H1N1 mengancam dunia

H1N1 mengancam dunia



Islam menganggap babi sebagai haiwan kotor. Itu feqahnya. Menurut ahli-ahli sejarah, antropologi dan arkeologi, mereka mengesyaki bahawa pada zaman dahulu telah berlaku wabak besar yang berbahaya berpunca daripada babi di kawasan Timur Tengah hingga menyebabkan dikenakan peraturan supaya menjauhi babi.

Sama ada sesuatu penyakit itu puncanya daripada babi atau haiwan lain, Islam mempunyai prinsip tegas dalam soal kebersihan dan kemudharatan terhadap sesuatu wabak. Bagi Islam, kebersihan adalah utama supaya manusia itu hbuikan saja sihat tetapi bebas daripada keburukan kotor lebih-lebih dalam kehidupan beribadat. Dalam Islam pula, keseluruhan kehidupan itu adalah ibadat, dan sudah tentu ia menuntut kebersihan sepanjang masa.

Maka wabak H1N1 (selesema babi) yang melanda sekarang mesti dilihat dari sudut agama. ia mengamcam semua negara dan manusia lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang bersifat global dengan adanya pengangkutan sejagat melalui laluan udara yang cepat, pantas dan melibatkan ramai orang. Walaupun selesama babi ini namanya dikaitkan dengan babi, tetapi ia berkaitan dengan campuran asal kuman daripada burung dan manusia sendiri.

Justeru, apabila disebut babi, memang mudah bagi umat Islam hendak menyalahkan haiwan itu kerana tradisi Islam adalah menganggap ia sebagai haiwan yang kotor. Tetapi apa yang kotor bukan saja babi. Islam hanya meletakkan prinsip bahawa manusia sebagai seorang insan yang bersih mesti menjauhkan diri daripada kekotoran.

Maka oleh kerana babi itu haiwan kotor, maka ia dikeji. Tetapi jika terdapat haiwan-haiwan lain yang kotor seperti ayam, maka mereka juga patut dihapuskan dan dijauhi. Umpamanya, apabila berlaku selsesema burung. Maka menjauhkan diri daripada babi sememangnya sebahagian daripada arahan agama, tetapi prinsip Islam terhadap benda-benda yang kotor dan memudharatkan juga diambil kira.

Malah manusia juga, jika mereka sendiri kotor, maka itu sudah melanggar prinsip islam. Keana mudaratnya adalah jelas. Dalam hal ini, jika seseorang tidak mendalami ilmu, bagaimana manusia hendak mengetahui yang mana kotor dan apa yang dibolehkan.

Maka prinsip Islam yang menggalakkan usaha menuntut ilmu perlu diambil kira dalam menentukan yang mana dilarang, dan mana satu dibolehkan. Bukan saja ilmu fiqh yang menghuraikan mengenai babi dan kewjaran manusia menjauhkannya. Ia bukan soal Islam dan biukan Islam semata-mata. Sememangnya orang Islam tidak boleh menghalang kaum lain mengamalkan kebiasaan mereka kerana mereka tidak perlu patuh pada kehendak Islam.

Tetapi dari segi prinsip kebersihan, ajaran Islam bukan saja untuk orang islam tetapi semua manusia. Sebarang wabak dan jangkitan tiodak mengirea seseorang itu beragama Islam ataupun tidak. Justeru apabila berdepan dengan wabak babi, maka arahan supaya dimusnahkan babi yang terlibat wajar dipatuhi. Bukan saja di kalangan umat Islam tetapi sesiapa saja kerana ia akan akhirnya membabitkan semua manusia.

Dengan ilmu yang ada dan penggunaannya, seseorang akan dapat memahami dan mematuhi prinsip yang diajarkan oleh Islam. Tetapi pencarian ilmu tentang perkara ini tidak terhenti setakat di situ. Ia harus dikaitkan juga dengan ilmu mengenai kuman, perubatan, haiwan dan pelbagai perkara dengan sains. Tentunya ia merupakan tuntutan agama. Pada zaman ini kemajuan ilmu banyak berada di dunia Barat, maka ia merupkan cabaran kepada umat islam untuk membuktikan bahawa Islam berpegang prinsip kepada usaha meningkatkan ilmu.

Tetapi ilmu pula bukan saja soal mempelajarinya, atau membaca untuk menimba pengetahuan. lebih daripada itu ialah usaha penyelidikan. Apabila disebut dengan penyelidikan, maka akan dikaitkan dengan universiti dan kajian akademik. Tetapi itu adalah satu aspek. Juga pentiung ialah ilmu yang muncul di tengah-tengah masyarakat atas usaha dan minat individu-individu dalam apa jua bidang.

Maka sesiapa pun boleh membuat kajian dan penyelidikan mengikut tahap masing-masing untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Jika masyarakat menyelidik ini berleluasa maka ia akan merupakan manifestasi ajaran Islam sendiri. Baghdad dan Kordoba pada zaman Khalifah adalah masyarakat ilmu. Bukan saja mereka berbahasa, membaca dan berpolemik, tetapi mereka melakukan penyelidikan dalam pelbagai ilmu yang diminati, iaitu mengikut cara mereka pada zaman itu.

maka dunia Islam mesti kembali kepada semangat itu. Sememangnya pada keseluruhan umat Islam ini miskin dan ketinggalan, ditambah pula dengan kejahilan yang berleluasa, tetapi itu tidak bermkmakna masyarakat berilmu tidak boleh muncul. Ia hakikatnya adalah berbentuk sikap ilmu. Malaysia adalah antara sebilangan negara Islam yang menyediakan banyak peluang pendidikan.

Terdapat banyak universiti bagi membolehkan ahli akademik membuat kajian untuk apa saja serta disediakan kemudahan serta galakan supaya lebih banyak hasil kajian dapat dinikmati oleh masyarakat. Namun perkara ini masih belum tercapai. Ini kerana sikap menyelidik tidak bergantung kepada bangunan dan kemudahan universiti semata-mata.

Penyelidikan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk. Tinjauan umpamanya atau eksperimen di belakang rumah. Tetapi kalau orang Islam tinggal di rumah-rumah kecil seperti apartmen dan teres, apa penyelidikan yang mereka boleh lakukan? Tetapi semua orang islam wajar melakukan apa yang termampu olehnya. Tidak semua orang mampu untuk berfikir secara mendalam mengenai sesuatu perkara.

Namun begitu, bagi mereka yang mampu, hidup mereka tidak wajar dipersia-siakan dengan perkara-perkara remeh dan membuang masa. Umpamanya, apabila berlaku wabak selesema babi ini, anggota masyarakat Islam sekurang-kurangnya mengambil berat dengan mengikut perkembangan penyakit ini. Mereka wajar berusaha memahami apa yang diutarakan oleh para pakar.

Ini yang dikatakan masyarakat berilmu. Mengikut perkembangan isu-isu semasa dan membuat penilaian daruipada maklumat yang dioperoleh. Bukan saja soal penyakit tetapi apa saja yang ada di muka bumi. Jika umat Islam tidak mengambil sikap prihatin dan mengambil tahu, akhirnya ilmu dan pengetahuan terkumpul di negara-negara bukan Islam dan orang islam tidak member sebarang sumbangan terhadap kemaslahatan dunia.

Dalam al-Quran, sentiasa dihujahkan dan diajak supaya manusia itu berfikir. Ia merupakan mesej asas al-Quran. daripada berfikir yang jkuga berkaitan dengan mengambil tahu mengenai ilmu pengetahuan dan melakukan penyelidikan, barulah orang Islam berupaya untuk meningkatkan ketakwaannya. Menjadi orang Islam yang penuh bermakna, hubungan baik dengan Allah s.w.t di samping menyumbang kepada kemajuan dan kemaslahatan manusia sejagat.
READ MORE -

Xinjiang dalam konteks penindasan umat Islam di seluruh dunia

Xinjiang dalam bahasa Mandarin bermaksud Wilayah Baru. Tetapi hakikatnya ia bukan wilayah baru kerana ia telah lama didiami oleh kaum Uighur. Mereka menamakan wilayah mereka Uighuristan. Pernah satu masa ia menjadi sebuah negara merdeka dengan nama Turkestan Timur. Disebut timur sebab Turkestan barat merujuk kepada republik-republik di sebelah barat, antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Azerbaijan, Turkmenistan dan Krgyzstan.


Republik-republik ini kini merdeka tetapi sebelum ini adalah sebahagian daripada Kesatuan Soviet sebagai pewaris kepada Empayar Rusia. Turkestan bermaksud Negeri Turki di mana bangsa yang berbahasa rumpun Turki meliputi wilayah dari negara Turki hingga ke Xinjiang. Mereka kesemua ini beragama Islam mazhab Sunnah.

Pada masa silam mereka mempunyai kerajaan-kerajaan sendiri di mana Turki adalah sebahagian daripada Khilafah Uthmaniah. Di atas runtuhan Khilafah Uthmaniah, muncul negara Republik Turki yang ada sekarang. Tetapi banyak wilayah rumpun Turki di Asia Tengah ditakluk oleh Rusia. Sementara di sebelah timur, ia ditakluk oleh China yang kemudian menukar namanya kepada Xinjiang.

Ketika China lemah, Turkestan Timur berjaya diisytiharkan merdeka. Tetapi apabila pihak komunis berjaya memerintah Beijing , maka mereka menakluki balik semua wilayah yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Dinasti Ching sebelum tumbang. Maka wilayah Tibet dan Xinjiang dianggap sebagai sebahagian daripada China, serentak itu dilakukan proses Sinifikasi atau pencinaan bagi memantapkan mereka sebagai sebahagaidn daripada China.

Uighur, penduduk peribumi Xinjiang seperti juga Tibet diiktiraf bangsa tersendiri berbanding dengan China. Walaupun terdapat minority-minoriti lain di China, tetapi Tibet dan Uighur dianggap bangsa tersendiri. Apa yang membezakan Uighur dengan kaum-kaum China yang lain ialah agama Islam mereka. Ini berbeza daripada kaum Tibet yang beragama Buddha.

Walaupun anutan agama Buddha mereka berbeza daripada kaum China yang lain, kerana unsur Tao dan Konfusius tidak wujud dalam budaya mereka, tetapi ia tetap berasaskan sama. Sementara ada satu lagi golongan islam di kalangan China yang digelar Hui. Mereka adalah China walaupun ada antara mereka berketurunan Arab. Jadi China dikenali dalam dua golongan, walaupun kedua-duanya berbudaya China. Han merujuk kepada majoriti China yang berasaskan Tao dan Konfusius sementara Hui adalah mereka yang berbudaya Islam.

Tetapi perbezaan tidak mempunyai makna ketika China mula diperintah oleh komunis. Mereka menganggap semua agama byukan saja karut dan candu kepada rakyat tetapi wajar diperangi dan dimusnahkan. Baik kuil Tao, Konfusius, Buddha mahupun gereja dan masjid. Kesemuanya dimusnahkan dan penganut dilarang beragama. Rejim komunis menjadi musuh agama. Banyak rakyat mereka menjadi mangsa yang penuh penderitaan.

Dalam doktrin komunisme, tidak ada tempat bukan saja bagi agama tetapi juga bangsa. Semua rakyat dianggap setaraf, sama ada Han, Hui, Tibet mahupun Uighur. Kesemuanya mesti patuh kepada komunisme dan tidak ada perbezaan antara kaum, bangsa, budaya dan anutan.

Bagaimanapun, selepas separuh abad, komunisme gagal membanteras fitrah manusia. Dalam kalangan pengikut komunis, mereka juga mempunyai kecenderongan untuk mendokong bangsa atau kaum yang dominant dalam parti. China juga berpisah haluan daripada Soviet kerana bangsa. Apatah lagi dalam negara. Han sudah tentu emndominasi bagi mengatasi Hui, Tibet, Uighur dan minoriti lain.

Lebih penting lagi, komunisme tgagal membanteras agama. Islam, Buddha, Tao, Konfusius dan Kristian tetap dianuti walaupun menetrima tekanan hebat daripada kerajaan. Selepas ketiadaan Mao Zedong, dan digantikan dengan Deng Xiaoping, mereka memulihkan budaya, identiti kaum dan agama.

Walaupun China memberikan ruang kepada agama tetapi ia tidak memberi kebebasan yang besar seperti mana kebanyakan negara di dunia. Namun bagi mereka, apa yang menjadi keutamaan ialah usaah memajukan diri dalam ekonomi. Ini kerana apa jua masyarakat akan dapat diselesaikan juika keadaan ekonomi bertambah baik. Ini adalah doktrin asas komunisme yang meletak faktor ekonomi sebagai utama. Cuma di China, mereka sedar bahawa kebebasan perlu dan kejayaan ekonomi wajar diletakkan dalam persekitaran pasaran.

Untuk itu, kerajaan China berusaha untuk membawa pembangunan ekonomi yang ketara di semua wilayah China termasuk Tibet dan Xinjiang. Ia dilakukan dengan harapan bahawa sebarang perasaan tidak senang kepada Beijing atau semangat kebangsaan yang membawa pemisahan wilayah dapat dipadamkan.

Tetapi penghijrahan Han ke Xinjiang yang dibuat dengan harapan akan membawa pembangunan ekonomi kepada wuilayah itu tidak disenangi oleh penduduk tempatan yang terdiri daripada kaum Uighur. Daripada menjadi majority di tanah air merekla sendiri. Orang Uighur menjadi minoriti apabila separuh penduduk Xinjiang kini terdiri daripada Han.

Orang Uighur tidak berupaya menyaingi Han. Ini kerana budaya dominan China adalah Han. Untuk maju dalam pelajaran sudah tentu orang Uighur perlu belajar dalam bahasa Mandarin. Tetapi lebih penting lagi ialah sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada kaum Han untuk menjayakan mereka dalam ekonomi di Xinjiang. Pasti akhirnya Uighur akan ketinggalan kerana mereka amsih menjalani usaha cara tradisioanl dan tidak mampu untuk maju standing dengan Han.

Atas suasana in, maka minggu lalu berlakulah rusushan berdarah dalam pertembungan antara Uighur dan Han di Xinjiang. Sebagai kerajaan yang pragmatik, Beijing perlu kembali meneliti perkara ini.
READ MORE -

‘One Stop Center’: Pendekatan Kolektif Tangani Permasalahan Remaja

Mendepani maruah remaja Melayu masa kini memerlukan komitmen yang berterusan dan terancang. Pendekatan ortodoks seperti menyerahkan tanggungjawab membimbing remaja-remaja Melayu melalui institusi pendidikan seratus peratus, adalah sesuatu yang harus diperhalusi oleh masyarakat. Tanggungjawab membimbing remaja seharusnya digalas oleh semua pihak. Namun, pendekatan yang perlu dilakukan seharusnya bercorak kolektif supaya ia lebih berkesan.

Kajian Illiet Turiel , seorang pengkaji perkembangan kognitif remaja menyatakan, golongan remaja atau ´peer group´ ini mudah diresapi oleh pelbagai elemen positif dan negatif bergantung kepada corak persekitaran. Ini bermakna, seandainya kosmos remaja itu sentiasa diwarnai perkara-perkara positif, maka individu remaja itu akan bertindak sebagai seorang yang positif dan begitulah sebaliknya. Persoalannya, bagaimanakah proses yang seharusnya dilaksanakan dalam mengekang permasalahan membabitkan remaja? Adakah mekanisme menangani gejala sosial di kalangan remaja yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah mencukupi dan berkesan? Atau, remaja hari ini memerlukan satu pendekatan baru yang bersifat kolektif dalam memberikan ruang harapan kepada mereka yang telah terjebak kembali ke jalan yang lurus?

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah banyak menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bercorak pembangunan remaja. Kempen Kesedaran Anti Dadah Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan baru-baru ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani permasalahan remaja yang terlibat dalam gejala penagihan dadah. Begitu juga dengan kempen Menjaga Maruah Diri yang dilancarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Kempen ini dilancarkan untuk memberi kesedaran kepada golongan remaja wanita supaya tidak terbabit dalam kegiatan maksiat dalam proses memelihara maruah diri supaya tidak tercemar. Ia juga bertujuan mengekang permasalahan seks bebas dan gejala kelahiran anak luar nikah akibat perlakuan seks sebelum nikah dengan pasangan masing-masing.

Namun begitu, dalam konteks membangunkan maruah remaja secara kolektif, sudah sampai masanya agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat memainkan peranan yang lebih efisien sebagai sokongan terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan. Dewasa ini, kita sebenarnya masih kekurangan pusat-pusat kaunseling yang memberikan khidmat secara percuma kepada golongan remaja. Pusat-pusat kaunseling ini bertindak sebagai ´ One Stop Center´ kepada golongan remaja – berbincang dalam pertemuan hati ke hati dengan pihak kaunselor .

Modul yang ada dalam menangani masalah remaja masa kini, harus disertai dengan tindakan susulan. Tidak ada gunanya kerajaan mahu pun agensi-agensi berkaitan berbelanja ribuan ringgit menganjurkan pelbagai program dan kempen tetapi hasilnya ibarat ´mencurahkan air pada daun keladi´. Oleh hal yang demikian, input tambahan yang diklasifikasikan sebagai tindakan susulan ialah mewujudkan ´One Stop Center´. Para remaja yang bermasalah akan dibimbing oleh kaunselor di ´One Stop Center´ dan dibantu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi.

Dalam membicarakan keberkesanan konsep ´One Stop Center´ sebagai satu bentuk kolektif dalam menangani permasalahan remaja, menurut Jean Pigeat, dimensi kognitif remaja pada peringkat umur 18 tahun sudah mempunyai kapisiti untuk menyelesaikan perkara-perkara abstrak dan berfikir secara logik. Ini bermakna, golongan remaja tidak hanya menyerap bulat-bulat apa yang berada disekeliling mereka tetapi menyaring berdasarkan pemikiran yang logik. Oleh hal yang demikian, keterbatasan logik yang dibayangi oleh naluri remaja itu perlu dibangunkan secara teratur melalui bimbingan para kaunselor yang berada di ´one stop center´ itu.

Sementara itu, menurut Reed Larson, seseorang remaja itu cenderung untuk berubah perwatakan (mood) dalam masa 45 minit sahaja. Justeru, aspek yang harus dibangunkan bagi memelihara perubahan tersebut supaya tidak berubah menjadi sesuatu yang negatif, aspek kendiri iaitu pembinaan jati diri remaja harus diberikan perhatian sewajarnya. Reed Larson dalam pemerhatiannya menyatakan, remaja yang diwarnai dengan nilai-nilai kendiri positif akan membesar sebagai seorang yang positif sifatnya, dinamik sikapnya dan rasional pemikirannya.

Berbanding dengan remaja yang diabaikan aspek pembinaan kendirinya, mereka cenderung untuk melepaskan gejolak perasan dengan melakukan ´escapisme´ sebagai jalan keluar. ´Escapisme´ inilah yang diterjemahkan oleh pengkaji psikologi sebagai unsur menarik perhatian individu lain terutama kelompok yang dekat dengan mereka seperti ahli keluarga atau sahabat andai. Sikap ´escapisme´ ini harus ditangani secara bijak. Ibarat ´menarik rambut di dalam tepung´, jiwa remaja yang gemar kepada ´escapisme´ negatif dibimbing ke arah yang lebih positif dan teratur.

´One Stop Center´ kaunseling remaja adalah alternatif kepada pencarian jawapan pendekatan kolektif yang dicari-cari dalam menangani permasalahan remaja. Namun begitu, kejayaan pendekatan ini bergantung kepada kesediaan agensi-agensi bukan kerajaan dan masyarakat untuk turun padang, berganding bahu membantu membentuk remaja yang berkualiti. Modul sedia ada tentang tatacara menangani permasalahan sosial remaja boleh digabungjalin dengan pendekatan ini supaya ia lebih berkesan dan efektif.
READ MORE -

Gejala Sosial: Masyarakat Perlu Prihatin

CABARAN yang dihadapi golongan muda seperti seks bebas, anak luar nikah, keciciran daripada sekolah dan penagihan dadah, juga gejala samseng kian mendapat perhatian serius sama ada kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan.

Bagaimanapun, sebagai anggota masyarakat, apakah tugas kita?

Janganlah kita sekadar menuding jari kepada pihak tertentu apabila berlaku sesuatu masalah. Bak kata pepatah, ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Al-Quran dan Hadis telah memberi panduan kepada kita berkaitan sikap saling membantu ini untuk membina imej masyarakat yang baik lagi terpuji.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Maka saling bantu membantulah antara kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.” (Al-Maidah: 2)

Nabi s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:

“Allah berserta dalam memberi bantuan kepada hamba-Nya selagi hamba-Nya itu memberi bantuan kepada saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Sebagai anggota masyarakat, kita perlu sama-sama memainkan peranan penting dalam membantu golongan muda ini mengharungi cabaran hidup. Ini memandangkan peringkat remaja adalah peringkat kritikal dalam kehidupan manusia.

Al-Quran dan Hadis ada menyebut secara khusus mengenai remaja seperti kisah Ashabul Kahfi di dalam surah Al-Kahfi.

Nabi Muhammad s.a.w amat gigih membimbing remaja seperti menasihatkan mereka supaya menjaga kehormatan diri dengan tidak terjebak ke dalam kancah zina (seks bebas) dan memberi semangat kepada mereka supaya menjadi remaja yang baik.

Nabi s.a.w juga memberi jaminan kepada remaja yang patuh dan taat pada suruhan Allah bahawa di Padang Mahsyar kelak, mereka akan diberi teduhan. Pada hari itu kelak, tiada yang mendapat teduhan melainkan dengan rahmat Allah.

Akibat paling serius mengenai kesasaran remaja ialah fenomena anak luar nikah yang semakin bertambah bilangannya. Pelbagai usaha dilakukan untuk menangani masalah ini tetapi masih lagi berlaku seolah-olah perbuatan tersebut sudah menjadi lumrah kehidupan.

Bayangkan lagi 10 tahun mendatang, apakah yang bakal dilihat jika masalah seksual remaja hingga melahirkan anak-anak luar nikah ini berleluasa?
Setiap penyakit ada ubatnya dan setiap masalah ada huraiannya.

Antara faktor yang menyebabkan berleluasanya kehamilan luar nikah dan masalah sosial yang lain adalah sikap tidak ambil peduli dengan urusan hidup orang lain.

Dahulu, amalan tegur-menegur dan saling nasihat menasihati sudah menjadi basahan kita demi memperkuat rasa harga diri atau malu.

Kini amalan itu hampir tiada lagi - sekadar nasihat dan teguran hanya dibuat di sekolah dan di rumah sahaja. Apabila ditegur dan dinasihatkan di luar dua kawasan ini, tentulah dengan berhikmah kerana ada remaja yang degil, tidak malu dan tidak menerima lalu memberi amaran agar jangan masuk campur urusan orang atau jangan jaga tepi kain orang.

Malah, ada ibu bapa tersinggung apabila anak mereka ditegur orang lain.

Cuba letakkan senario berbeza. Bagaimana pula jika anak kita terjatuh dan cedera di khalayak ramai, dan tiada orang yang menghulurkan bantuan kepada anak kita? Apakah kita akan berterima kasih dengan masyarakat kerana membiarkan anak kita kesakitan tanpa bantuan? Adakah terdapat perbezaan antara keduanya?

Matlamat kedua-dua keadaan tersebut sama sahaja iaitu ingin menyelamatkan seseorang daripada keadaan kesakitan kepada keselesaan dan kesejahteraan.

Zina (seks bebas), hamil anak luar nikah dan pengguguran anak adalah satu ´kesakitan´ yang dirasai semua orang dan ia perlu dirawat. Bagaimanapun, tindakan bagi menanganinya adalah satu amanah bersama. Apabila ada anggota masyarakat menegur atau memberi nasihat, ia bukan bererti mengambil alih tugas mendidik ibu bapa tetapi satu kerjasama dalam membantu membentuk jati diri sebenar manusia yang bertamadun.

Memang tiada seorang manusia zaman ini yang sempurna. Maka, setiap lapisan masyarakat dianggap sebagai cermin bagi yang lain untuk menilai semula keadaan diri yang mungkin ada kekurangannya.

Dalam hal nasihat menasihati, Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“(Teguhnya) agama itu dengan nasihat. Para sahabat bertanya, ´Untuk siapa nasihat itu?´ Nabi menjawab, ´Untuk Allah (memperjuangkan agama-Nya), untuk Kitab-Nya (untuk dibaca dan diamalkan) untuk Rasul (mengikuti sunnahnya), untuk ketua-ketua dan orang-orang awam umumnya´.”

Di sini jelas nasihat itu satu kewajipan bersama dan tidak hanya tertumpu kepada individu tertentu sahaja.

Imam Abu Daud meriwayatkan Nabi s.a.w juga bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika manusia melihat satu kemungkaran, lalu tidak berusaha untuk mengubahnya, maka hampirlah Allah menurunkan azabnya (ke atas mereka).”

Bagi ibu bapa dan ahli keluarga, marilah sama-sama kita bersifat terbuka untuk menerima nasihat dan teguran daripada orang lain. Bagi masyarakat pula, ambillah pendekatan yang ihsan dalam membantu menyelesaikan masalah remaja.
Jangan mencerca, mengeji dan mengnyahkan mereka.

Gunakanlah cara penuh hikmah apabila berhadapan dengan mereka dan membantu mereka menyedari hakikat hidup yang sebenar yang perlu mereka lalui dengan kesabaran dan tidak mengikuti hawa nafsu semata.

Bagi golongan belia pula, orang yang menasihati anda sebenarnya inginkan kebaikan untuk anda. Ingatlah pesan Allah bahawa tidak akan berubah nasib sesuatu masyarakat, selagi ia tidak menangani atau mengubahnya sendiri (Ar-Ra´ad:13).
READ MORE -