Keadaan tidak tenteram di Thailand menimbulkan suasana resah bukan saja bagi rakyat negara itu, tetapi juga dunia termasuk jiran-jirannya. Ketika mana Bangkok masih tidak stabil dengan Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) masih tidak dapat menerima pelantikan Perdana Menteri Somchai Wongsawat, negara itu terlibat pula dengan pertempuran di sempadan Kemboja.
Maknanya demonstrasi di Bangkok yang belum reda, dengan pertempuran di sempadan menambah lagi suasana tidak tenteram yang selama ini berterusan di wilayah-wilayah Melayu di Thailand Selatan. Sudah tentu harapan supaya masalah di Thailand Selatan dapat diselesaikan tidak tercapai kerana apa yang berlaku di Bangkok dan sempadan Kemboja lebih menarik perhatian negara.
Tentunya untuk menyelesaikan masalah di sempadan Kemboja dan Thailand Selatan memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan berkesan di Bangkok. Jika di Parlimen dan pusat pentadbiran negara, kerajaannya goyang kerana tidak diyakini oleh sebahagian pentingt rakyat, maka sebarang usaha menyelesaikan masalah tidak dapat dilakukan.
Justeru, penyelesaian mesti dicapai di Bangkok, sama ada Perdana Menteri Somchai tumbang atau sebaliknya beliau menjadi kukuh hingga dapat mengalahkan PAD, barulah keadaan menjadi stabil dan masalah-masalah yang dihadapi Thailand seperti soal sempadan Kemboja dan Thailand Selatan dapat dicari penyelesaiannya.
Dalam keadaan begini dunia Islam, atau negara-negara Islam khususnya Malaysia sendiri yang berasa setiakawan terhadap orang Melayu di Thailand Selatan mahukan penyelesaian segera dan muktamad di wilayah-wilayah di situ.
Tentunya dalam keadaan beremosi patriotik yang tinggi berhubung dengan kawasan sempadan di Kemboja, kecenderongan rakyat negara itu secara umumnya adalah untuk emamstikan bahawa tidak ada mana-mana tanah negara itu terlepas ke pihak lain, apatah lagi sebarang usaah untuk tuntutan pemisahan dan kemerdekaan wilayah.
Tiga peristiwa di Thailad, iaitu kawasan sempadan dengan Kemboja, demonstrasi di Bangkok dan isu Pattani di wilayah selatan mempunyai pertalian sejarah dengan kedudukan proses pembentukan negara itu.
Sebelum tertubuhnya negara moden Thailand, yang bermaksud `tanah bebas’ atau `tanah merdeka’ , entiti politiknya adalah Siam. Oleh kerana majoriti penduduk negara itu dari etnik Siam, maka bangsa itu adalah ton ggak identiti negara Siam dengan kedaulatan rajanya yang bersemayam di Bangkok. Sebelum bandar raya itu menjadi ibu negara, raja Siam bersemayam di Ayuthaya.
Tradisi Siam menyifatkan Asia Tenggara, iaitu bahagian benuanya merupakan wilayah pengaruhnya. Semananjung Asia Tenggara itu dalam zaman modennya termasuklah Singapura, Semenanjung Malaysia, Myanmar, Vietnam dan Laos. Sebab itu pada satu masa empayar Siam meliputi sehingga Temasek.
Namun begitu, bukan saja Siam yang mahu menguasai Semenanjung Asia Tenggara yang diberi nama Swarnabumi, bermakna bumi emas, kini menjadi nama lapangan terbang Antarabangsa Bangkok yang baru; tetapi juga terhadap kuasa-kuasa bangsa lain.
Bangsa lain ini termasuklah Burma, Khmer, Annam dan Melayu sendiri. Kerajaan melayu pernah mewujudkan empayarnya di Champa. Pada mulanya beragama Hindu, kemudian Buddha dan akhirnya menjadi Islam. Kerajaan Melayu Champa ini kemudian tersebar hingga ke Pattani dan menguasai semenanjung Tanah Melayu. Tamadun melayu ini kemudian tersebar ke Sumatera melalui kerajaan Sri Wijaya yang menjadi perintis kepada kesulatanan Melaka.
Maka, tidak menghairankan bahawa pertempuran sengit sentiasa berlaku antara pelbagai kuasa bangsa di Semenanjung Asia Tenggara ini. Bukan itu saja, berlaku juga campur tangan daripada luar rantau ini, termasuk dari China dan India. Pada zaman pra-moden, campur tangan Barat, baik dari Britain, Perancis mahupun Belanda mengubah rupa bentuk politik rantau itu.
Apa yang berlaku dalam sejarahnya masih bergema pada zaman ini. Bangsa Khmer pernah berperang menentang Siam. Masing-masing pernah menakluk di antara satu sama lain. Siam juga pernah berperang dengan Burma. Begitu juga antara Siam dengan kerajaan Melayu di Pattani.
Maka apabila masuk ke zaman moden, Siam muncul menjadi negara penampan bagi kemaraan kuasa-kuasa Barat yang lebih kuat dari segi ketenteraan dan tamadun. Britain sudah menawan Burma di sebelah barat di mana mereka memasukkannya ke dalam kerajaan British India yang berpusat di Calcutta. Sementara Perancis sudah menguasai Indochina di sebelah timur, termasuk Kemboja. Kedua-dua negara, Burma dan Kemboja pernah berperang dengan Siam. Pernah ditawan dan juga menawan.
Sebuah lagi bangsa yang pernah berperang dengan Siam ialah orang Melayu. Tetapi Siam tidak berupaya menawan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu. Penguasaannya ke atas Temasek juga terlepas dan usahanya untuk menumpaskan Melaka gagal dengan campur tangan China.
Justeru, Siam hanya dapat menguasai sebahagian saja daripada kerajaan orang Melayu, dan itu ialah empat wilayah di Thailand Selatan. Dengan negara-negara jiran dikuasai penjajah, Siam terselamat daripada penjajah kerana ia menjadi penampan bagi Britain dan Perancis supaya tidak berkelahi untuk merebut wilayahnya.
Sebagai negara yang terselamat daripada dijajah, dan untuk menampilkan dirinya sebagai sebuah negara moden pelbagai kaum dan agama, maka ia menukar namanya kepada Negara Thai atau Thailand untuk mencerminkan kebebasan wilayahnya daripada dijajah. Justeru bangsa Thai bukan saja terdiriri daripada Siam tetapi pelbagai etnik termasuk Melayu, Lao, Khmer dan Vietnam yang tinggal di dalam wilayah kedaulatannya.
Malah bilangan penduduk etnik Lao di Thailand lebih ramai daripada di Laos kerana penduduk dan keluasan negara Laos adalah kecil. Tetapi untuk memastikan keharmonian dengan negara-negara jirannya, sempadan yang diambil kira adalah apa yang sudah ditetapkan oleh penjajah Britain dan Perancis pada zaman dahulu.
Dalam keadaan begini, penduduk Melayu di Thailand juga sudah menerima hakikat ahawa mereka adalah sebahagian daripada negara Thailand yang berdaulat, merdeka, moden dan plural. Soal pemisahan dan kemerdekaan tidak timbul. Apa yang hendak diperjuangkan adalah keadilan dan autonomi bagi mewujudkan keharmonian dalam negara Thailand. Bagaimanapun, keharmonian ini hanya dapat dicapai jika Bangkok dalam keadaan stabil. Tidak kiralah siapa yang berjaya, sama ada penyokong ataupun penentang Thaksin Shinawatra.
Wednesday, July 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment