CABARAN yang dihadapi golongan muda seperti seks bebas, anak luar nikah, keciciran daripada sekolah dan penagihan dadah, juga gejala samseng kian mendapat perhatian serius sama ada kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan.
Bagaimanapun, sebagai anggota masyarakat, apakah tugas kita?
Janganlah kita sekadar menuding jari kepada pihak tertentu apabila berlaku sesuatu masalah. Bak kata pepatah, ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Al-Quran dan Hadis telah memberi panduan kepada kita berkaitan sikap saling membantu ini untuk membina imej masyarakat yang baik lagi terpuji.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Maka saling bantu membantulah antara kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.” (Al-Maidah: 2)
Nabi s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Allah berserta dalam memberi bantuan kepada hamba-Nya selagi hamba-Nya itu memberi bantuan kepada saudaranya.” (Riwayat Muslim)
Sebagai anggota masyarakat, kita perlu sama-sama memainkan peranan penting dalam membantu golongan muda ini mengharungi cabaran hidup. Ini memandangkan peringkat remaja adalah peringkat kritikal dalam kehidupan manusia.
Al-Quran dan Hadis ada menyebut secara khusus mengenai remaja seperti kisah Ashabul Kahfi di dalam surah Al-Kahfi.
Nabi Muhammad s.a.w amat gigih membimbing remaja seperti menasihatkan mereka supaya menjaga kehormatan diri dengan tidak terjebak ke dalam kancah zina (seks bebas) dan memberi semangat kepada mereka supaya menjadi remaja yang baik.
Nabi s.a.w juga memberi jaminan kepada remaja yang patuh dan taat pada suruhan Allah bahawa di Padang Mahsyar kelak, mereka akan diberi teduhan. Pada hari itu kelak, tiada yang mendapat teduhan melainkan dengan rahmat Allah.
Akibat paling serius mengenai kesasaran remaja ialah fenomena anak luar nikah yang semakin bertambah bilangannya. Pelbagai usaha dilakukan untuk menangani masalah ini tetapi masih lagi berlaku seolah-olah perbuatan tersebut sudah menjadi lumrah kehidupan.
Bayangkan lagi 10 tahun mendatang, apakah yang bakal dilihat jika masalah seksual remaja hingga melahirkan anak-anak luar nikah ini berleluasa?
Setiap penyakit ada ubatnya dan setiap masalah ada huraiannya.
Antara faktor yang menyebabkan berleluasanya kehamilan luar nikah dan masalah sosial yang lain adalah sikap tidak ambil peduli dengan urusan hidup orang lain.
Dahulu, amalan tegur-menegur dan saling nasihat menasihati sudah menjadi basahan kita demi memperkuat rasa harga diri atau malu.
Kini amalan itu hampir tiada lagi - sekadar nasihat dan teguran hanya dibuat di sekolah dan di rumah sahaja. Apabila ditegur dan dinasihatkan di luar dua kawasan ini, tentulah dengan berhikmah kerana ada remaja yang degil, tidak malu dan tidak menerima lalu memberi amaran agar jangan masuk campur urusan orang atau jangan jaga tepi kain orang.
Malah, ada ibu bapa tersinggung apabila anak mereka ditegur orang lain.
Cuba letakkan senario berbeza. Bagaimana pula jika anak kita terjatuh dan cedera di khalayak ramai, dan tiada orang yang menghulurkan bantuan kepada anak kita? Apakah kita akan berterima kasih dengan masyarakat kerana membiarkan anak kita kesakitan tanpa bantuan? Adakah terdapat perbezaan antara keduanya?
Matlamat kedua-dua keadaan tersebut sama sahaja iaitu ingin menyelamatkan seseorang daripada keadaan kesakitan kepada keselesaan dan kesejahteraan.
Zina (seks bebas), hamil anak luar nikah dan pengguguran anak adalah satu ´kesakitan´ yang dirasai semua orang dan ia perlu dirawat. Bagaimanapun, tindakan bagi menanganinya adalah satu amanah bersama. Apabila ada anggota masyarakat menegur atau memberi nasihat, ia bukan bererti mengambil alih tugas mendidik ibu bapa tetapi satu kerjasama dalam membantu membentuk jati diri sebenar manusia yang bertamadun.
Memang tiada seorang manusia zaman ini yang sempurna. Maka, setiap lapisan masyarakat dianggap sebagai cermin bagi yang lain untuk menilai semula keadaan diri yang mungkin ada kekurangannya.
Dalam hal nasihat menasihati, Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“(Teguhnya) agama itu dengan nasihat. Para sahabat bertanya, ´Untuk siapa nasihat itu?´ Nabi menjawab, ´Untuk Allah (memperjuangkan agama-Nya), untuk Kitab-Nya (untuk dibaca dan diamalkan) untuk Rasul (mengikuti sunnahnya), untuk ketua-ketua dan orang-orang awam umumnya´.”
Di sini jelas nasihat itu satu kewajipan bersama dan tidak hanya tertumpu kepada individu tertentu sahaja.
Imam Abu Daud meriwayatkan Nabi s.a.w juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya jika manusia melihat satu kemungkaran, lalu tidak berusaha untuk mengubahnya, maka hampirlah Allah menurunkan azabnya (ke atas mereka).”
Bagi ibu bapa dan ahli keluarga, marilah sama-sama kita bersifat terbuka untuk menerima nasihat dan teguran daripada orang lain. Bagi masyarakat pula, ambillah pendekatan yang ihsan dalam membantu menyelesaikan masalah remaja.
Jangan mencerca, mengeji dan mengnyahkan mereka.
Gunakanlah cara penuh hikmah apabila berhadapan dengan mereka dan membantu mereka menyedari hakikat hidup yang sebenar yang perlu mereka lalui dengan kesabaran dan tidak mengikuti hawa nafsu semata.
Bagi golongan belia pula, orang yang menasihati anda sebenarnya inginkan kebaikan untuk anda. Ingatlah pesan Allah bahawa tidak akan berubah nasib sesuatu masyarakat, selagi ia tidak menangani atau mengubahnya sendiri (Ar-Ra´ad:13).
Wednesday, July 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment