Thursday, July 30, 2009

Dakwah gagal kerana dibuat tanpa strategi

Kebanyakan usaha dakwah untuk menarik masyarakat bukan Islam di negara ini dibuat tanpa strategi dan perancangan yang teliti.
Penulis dan aktivis dakwah, Ann Wang Seng berkata, ini menyebabkan usaha dakwah berdepan pelbagai masalah kerana kaedah 'tangkap muat' yang digunakan tidak sesuai dan kurang berkesan.
"Dalam Islam, kaedah penyampaian dakwah boleh dilakukan secara lisan, tulisan atau pun perbuatan termasuk kerja-kerja kebajikan.
"Ia perlu dilakukan secara bertahap iaitu melibatkan perancangan jangka pendek, jangka panjang, penyelidikan, pengumpulan data, teori dan praktikal serta penilaian terhadap usaha yang sudah dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Dakwah Efektif Kepada Masyarakat Cina di Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Ummah di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar.
Wang Seng berkata, proses dakwah secara berkesan boleh dilakukan dengan tiga cara yang dimulakan dengan usaha seruan kepada manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.

Jelas beliau, cara kedua dakwah pula merupakan panggilan atau anjakan untuk menerima Islam sebagai agama dan cara hidup yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia.
"Ketiga, dakwah perlu dijadikan satu perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam dan meletakkan Islam pada kedudukan sewajarnya," katanya.
Sehubungan itu, Wan Seng menjelaskan, kaedah berdakwah kepada masyarakat Cina perlu dipelbagaikan dan disesuaikan dengan golongan sasarnya.
"Ini kerana cara berdakwah kepada Orang Asli belum tentu sesuai untuk digunakan kepada masyarakat India, Kristian dan penganut agama Buddha.
"Jadi kita perlu mengenali orang Cina, memahami sosio budaya orang Cina, agama dan kepercayaan orang Cina untuk berdakwah dengan berkesan," katanya.

Katanya, selain mendekati pandangan dan falsafah hidup orang Cina, para pendakwah juga perlu mengetahui minat dan kesukaan masyarakat itu seperti bidang perniagaan yang sememangnya dikuasai kaum Cina,
Jelas beliau, langkah berkenaan dapat menghapuskan ketakutan kaum Cina terhadap Islam dan ia perlu dikembangkan supaya tidak lagi wujud jurang dan tembok pemisah sebagaimana yang masih wujud pada masa ini.
Wan Seng berkata, pendakwah juga harus menghapuskan tanggapan dan pandangan buruk terhadap masyarakat Cina.
"Mereka tidak boleh ada perasaan benci, anti, tidak suka dan iri hati pada orang Cina.
"Sebaliknya mereka perlu belajar memahami dan mengenali orang Cina bagi meyakinkan orang Cina terhadap kesejagatan pada ajaran Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment