Sesungguhnya, topik tentang wanita dan hal-hal yang berkaitan dengannya merupakan topik yang hangat diperbincangkan dari semasa ke semasa. Wanita selalu tampil dalam pelbagai media dan sarana-sarana informasi untuk menggambarkan sosok tubuh yang begitu menarik sehingga tidak segan silu mereka muncul dengan dandanan yang ´kurang beretika´.
Mutakhir ini, ketika orang ramai membincangkan hal-hal yang ´mewah´, tidak dapat terlepas daripada menonjolkan gambar-gambar wanita cantik. Bahkan ada produk-produk ubat-ubatan dan elektronik yang tidak ada kaitannya dengan wanita juga tidak terlepas daripada peragaan yang mempertontonkan ‘perhiasan’ wanita.
Seorang penulis beragama Kristian bernama Zummer mengatakan bahawa orang-orang Kristian tidak perlu putus asa, sebab di dalam hati kaum Muslimin telah berkembang kecenderungan yang condong ke arah ilmu bangsa-bangsa Eropah dan kebebasan wanitanya.
Daripada pernyataan ini, secara tidak langsung dapat disimpulkan bahawa keinginan mereka dalam menghancurkan Islam dilakukan dengan cara yang bukan dengan senjata tetapi cara yang licik dan ´kurang disedari´, iaitu dengan menjauhkan wanita daripada agamanya, iaitu Islam.
Jelasnya, hal itu benar-benar menjadi kenyataan. Gerakan pembebasan wanita daripada belenggu penindasan dan gerakan kesamarataan gender yang dipelopori kaum feminis menjadi semakin hangat dari hari ke hari. Dan yang lebih buruk lagi, para pejuang ´kemerdekaan wanita´ itu menganggap bahawa Islamlah yang menjadi penghalang terhadap kebebasan dan ´kejayaan´ wanita dalam segala hal.
Banyak ayat al-Quran yang mereka jadikan ´kambing hitam´ untuk tujuan itu, Contohnya, dalam surah al- Ahzab: 33, perintah bahawa wanita lebih baik di rumah…; An-Nisaa: 34, lelaki itu lebih utama daripada perempuan…; dan banyak lagi yang lain. Padahal apa yang mereka fahami tidaklah demikian adanya. Poligami dibantah. Pembahagian harta pusaka yang lebih banyak untuk lelaki menjadi alasan betapa Islam tidak adil dalam memperlakukan manusia. Kewajiban mentaati suami dalam rumah tangga menurut mereka adalah perintah yang melanggar hak asasi manusia. Mereka menuntut persamaan hak antara lelaki dengan perempuan kerana mereka menganggap itulah keadilan yang sebenar-benarnya.
Jika kebebasan wanita di dunia Barat menjadi impian wanita di dunia (mungkin termasuk di tanah air kita), pertanyaannya: apakah di dunia Barat para wanitanya benar-benar bahagia dengan kebebasan itu, sedangkan tujuan hidup manusia sesungguhnya adalah bahagia dunia dan akhirat? Bukti apa yang dapat kita ajukan untuk membenarkan hal itu atau kayu ukur apa yang kita gunakan untuk menilai bahawa mereka benar-benar bahagia dalam kebebasan itu?
Pertama, ketika wanita di dunia Barat terkongkong oleh Gereja yang menindas semua hak mereka, mereka berusaha untuk melawan dan memperjuangkan kesamarataan gender. Mereka akhirnya menuai hasil. Wanita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam segala bidang kehidupan. Bahkan dalam bidang ketenteraan sekalipun. Wanita turut diberi peranan dalam peperangan. Ketika meletus Perang Vietnam, lebih kurang 100,000 orang tentera wanita turut mengambil bahagian dalam perang tersebut. Hasilnya, daripada sekalian tentera wanita itu, 60,000 orang mengaku dirinya diperkosa oleh rakan tentera lelaki di berek-berek tentera di mana tidak ada pemisahan tempat tidur antara tentera lelaki dengan tentera wanita. Itu baru yang mengaku, belum lagi termasuk kes-kes lain yang terjadi dan lenyap daripada liputan media.
Jadi, di mana letaknya kebahagiaan itu? Ataukah kebebasan mereka untuk bekerja di pejabat sama halnya lelaki, membuat mereka bahagia? Mereka mengaku memperjuangkan kebebasan tetapi yang terjadi adalah mereka mengorbankan diri mereka sendiri. Penelitian dan kajian membuktikan bahawa wanita yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah lebih mudah ´terkena penyakit´ daripada mereka yang menjadikan rumah sebagai fokus kegiatannya. Kebebasan yang berhujungkan eksploitasi.
Islam tidak mengenal emansipasi atau kebebasan atau kesamarataan gender, kerana pada dasarnya Islam tidak pernah ´menghalalkan´ penindasan terhadap wanita. Semua aturan yang ´mengatur´ wanita dalam Islam hanyalah untuk menyelamatkan wanita itu daripada noda dan perkara-perkara buruk agar mereka tetap bersih. Aturan itu terutamanya ditujukan untuk melindungi wanita daripada musuh-musuh Islam yang ingin menghancurkan Islam melalui wanita itu sendiri.Islam hadir dengan menempatkan wanita di tempat yang lebih mulia. Perintah menuntut ilmu adalah wajib hukumnya bagi lelaki dan perempuan. Seseorang wanita haruslah cerdas bukan untuk tujuan agar mampu bersaing dengan lelaki, tetapi untuk tujuan yang jauh lebih mulia, iaitu menjadi seorang pendidik. Mendidik generasi bukanlah hal yang mudah, tidak cukup dengan bekalan seadanya; bagaimana mungkin seorang wanita mampu mendidik anak-anak yang lahir daripada rahimnya jika dia sendiri tidak mampu mendidik dirinya sendiri, dan untuk itu mereka memerlukan ilmu.
Selain itu, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “… bahawa jika wanita mampu taat kepada Allah dan Rasul-Nya dengan kata lain berbuat kebaikan, maka akan diberikan pahala dua kali ganda.” (al-Ahzab: 31). Dan banyak lagi bukti lain yang dapat kita kemukakan untuk membuktikan bahwa antara lelaki dengan wanita itu adalah sama; yang membezakannya hanyalah ketakwaannya terhadap Allah s.w.t (al-Hujuraat: 13).
Kedua, bukti bahawa kerana mereka mampu melepaskan diri daripada bergantung ekonomi (mereka bekerja sendiri) sehingga kelihatannya bahagia itu adalah perkara yang masih boleh diperdebatkan. Mengingatkan ukuran kebahagiaan tidaklah semudah itu, maka kebahagiaan yang sesungguhnya tidak hanya melibatkan faktor lahiriah, tetapi juga meliputi ketenangan batin. Dan, dapat dibuktikan dengan penelitian bahawa mereka yang paling banyak mengalami ´tekanan´ adalah mereka yang bekerja atau beraktiviti terlalu lama di luar rumah. Bukankah tekanan (stress) itu adalah bukti betapa kita gagal mengawal dan memelihara emosi kita? Dan itu adalah faktor bukan bersifat fizikal.
Seseorang yang hidup bergaul dengan kaum Muslimin dan mengenal Islam dengan sebenar-benarnya, maka dia akan melihat bahawa wanita Islam di tengah-tengah masyarakat Muslim memiliki kedudukan yang tinggi dan terhormat; satu kedudukan yang dapat menjaga martabat wanita dan kesuciannya. Perintah menutup aurat juga sebagai bukti perlindungan Islam terhadap pandangan lelaki yang tidak berhak memandangnya.Terakhir, Islam tidak pernah melarang wanita bergaul dan melakukan aktiviti di luar rumah selagi apa yang dilakukannya itu sesuai dengan kemampuannya sebagai wanita dan mampu pula membahagi masa antara pekerjaan (kerjaya) dengan rumah tangganya.
Meskipun begitu, tanggungjawab atau kewajiban wanita ialah di rumahnya. Seseorang wanita dalam memandang ´arah rumah tangganya´ harus jauh lebih dalam dan terarah berbanding dengan lelaki. Mungkin kerana dari rahimnyalah lahir makhluk hidup yang diharap menjadi generasi terpuji. Maka, apa jadinya jika semua wanita ´suka dan bahagia´ menjadikan rumah hanya sebagai tempat beristirahat dan setelah itu keluar rumah lagi.
Begitulah hari demi hari. Ketika itu nanti, kita tidak perlu lagi berharap generasi yang cerdas dan berwawasan akan muncul daripada rumah tangga kita sebagai Muslimah.
Mudah-mudahan ini dapat menjadi renungan kita bersama, khususnya bagi mereka yang mengaku Muslimah; sebuah nama yang sekali gus mencerminkan identiti kita.
Thursday, July 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment