Thursday, July 30, 2009

Pentas Eskatologi

Eskatologi merupakan suatu ilmu yang menjelaskan tentang gambaran hari akhirat. Eskatologi termasuk cabang teologi yang menjelaskan akhir segala sesuatu seperti kematian, kebangkitan dan perhitungan amalan yang merangkumi bahagian daripada agama dan filsafat yang menghuraikan secara terperinci dengan semua persoalan dan pengetahuan tentang akhir zaman. Secara ringkas, Barnhart menjelaskan, “Eschatology is a doctrine of the last or final things, specially death, judgement, heaven and hell.”

Al-Quran sebagai imbalan dan hukuman secara global, termasuk keredaan dan kemurkaan Allah Azza Wajajjala. Setiap manusia akan memperoleh kesedaran unik yang tidak pernah dialaminya sebelum daripada perbuatan baik dan buruknya.

Aspek eskatologi dalam al-Quran menempatkan satu posisi yang amat penting. Berbeza dengan kitab-kitab lain, al-Quran lebih terperinci yang merangkumi hari akhirat dengan menghujahkan pembahasan secara teratur tentang peristiwa kiamat. Eskatologi ini juga memuatkan ilmu-ilmu Allah s.w.t yang tidak termampu dihuraikan atau ’dieksperimen’ oleh manusia.

Pada umumnya manusia lebih tertarik kepada kepentingan-kepentingan yang bersifat pragmatik yang merangkumi material sehingga tidak menghiraukan pentas eskatologi. Akibatnya, ia seringkali melanggar norma-norma dan hukum moral.Persoalan-persoalan eskatologi hanya difokuskan kepada beberapa aspek yang dianggap signifikan. Ilmu ini perlu mendapat perhatian umat Islam untuk dikembangkan lebih lanjut, bahkan ia perlu dirumuskan dalam satu kerangka yang berupaya diaplikasikan dalam bentuk tindakan. Ilmu ini dapat memperkayakan khazanah pemahaman kita terhadap al-Quran dan sekali gus dapat memperbaharui keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Ilmu ini memainkan peranan yang penting ketika ilmu-ilmu hasil ‘raksasa’ manusia tidak mampu melahirkan penemuan bagi memperbaiki moral manusia dan pada masa itu ‘kebenaran mutlak’ amat diperlukan dalam berbagai-bagai aspek antara hidup dan kehidupan.
Tetapi apa yang menjadi persoalan, sistem apakah yang digunakan apabila beribu-ribu manusia dengan nama yang sama dipanggil berkumpul di padang Mahsyar sambil menunggu perhitungan amal? Sudah tentu manusia akan berebut-rebut untuk dipercepatkan pengiraan amalan mereka. Namun dengan adanya sistem atau kuasa Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui, manusia akan dipertimbangan amalannya dengan catatan rekod yang tepat.

Rasulullah s.a.w menggambarkan perbezaan itu dalam sabda baginda yang bermaksud: “Manusia akan dikumpulkan pada hari kiamat menjadi tiga golongan: satu golongan berjalan kaki; satu golongan berkenderaan; dan satu lagi berjalan dengan mukannya. Kemudian para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah, bagaimana orang itu dapat berjalan dengan mukanya.“ Rasulullah menjawab, “Allah s.w.t mampu menjalankan mereka di atas kakinya, maka Allah s.w.t juga mampu menjalankan mereka dengan mukanya. Alangkah sukarnya mereka, kerana harus berjalan dengan menjaga mukanya agar terhindar dari tanah dan banyak tumbuhan berduri.” (Riwayat Tirmizi)

Gambaran di padang Mahsyar amatlah sulit, sangat panas, dan masing-masing menguruskan diri sendiri. Semuanya ingin mempercepatkan agar terbebas dari situasi Mahsyar. Tiada lagi sebarang barang dagangan atau perniagaan seperti jualan air dan sebagainya. Saat itulah manusia baru menyedari bahawa di akhirat kelak tidak ada istilah sogok-menyogok, tidak ada suap-menyuap dan tidak ada korupsi. Demikian juga tidak bererti mempunyai teman rapat, anak, isteri, suami , saudara, ayah atau ibu. Semuanya lepas tangan kerana tidak sanggup menolong orang lain. Situasi inilah yang diilustrasikan dalam surah ‘Abasa ayat 33-37.Perhitungan amal dilakukan dengan catatan amal masing-masing. Catatan amal ini sudah dirakam atau disimpan dengan rapi dan terjamin. Malah, tidak ada kecurangan sedikit pun, besar atau kecil, baik di langit dan di bumi, di dalam batu atau di atas gunung, semua dicatat oleh petugas iaitu dua Malaikat yang bernama Raqib dan Atiq atau Kiraman dan Katibin. Mereka ini adalah jurutulis dan ahli merakam dan sekali gus menyimpan rekod apa sahaja yang dilakukan manusia di dunia ini.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi itu sumber penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.” (al-Hijr: 19-20)

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:

“Maka apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiupan dan diangkat bumi dan gunung-gunung lalu dilenturkan kedua-duanya dengan sekali lenturan. Maka pada hari tu terjadilah Kiamat dan terbelahlah langit kerana pada hari itu langit menjadi lemah, dan para malaikat berada di segala penjuru langit, dan pada hari itu juga beberapa malaikat menjunjung Arasy Tuhanmu di atas kepala mereka dan pada hari itu kamu dihadapkan kepada Tuhanmu dimana tiada satu rahsia pun yang terselindung bagi Allah Azzawajjala.” (al-Qiamah: 1-15)

Manusia perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu, kerana apa sahaja yang dilakukan pasti akan dicatat dan Allah s.w.t Maha Mengetahui setiap yang terdetik di hati dan naluri manusia. Tujuan hidup harus dijelaskan dengan sejelas-jelasnya sehingga manusia dapat melihat apa yang telah diperjuangkannya dan apa sesungguhnya yang telah diraih selama berada di atas muka bumi ini. Dengan mempelajari eskatologi, setidak-tidaknya manusia mempunyai pengetahuan tentang kehidupan abadi di alam akhirat kerana itulah yang sebenar-benarnya tujuan manusia melangkah ke alam yang abadi.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Apabila langit terbelah, bintang-bintang berjatuhan, apabila lautan meluap, dan kuburan dibongkar, maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang dikerjakannya dilalaikannya.´(al-Muthaffifin: 4-17)

Ternyata untuk sampai ke tempat yang abadi dan menjalani kehidupan abadi itu, seseorang harus menempuh perjalanan yang panjang, sejak lahir hingga mengakhiri kehidupan dunia. Kematian bukanlah akhir segalanya, tetapi lebih pada pengalihan kehidupan daripada kehidupan duniawi kepada kehidupan yang kekal selama-lamanya.Sesungguhnya Allah s.w.t sahaja yang layak disembah dan diberikan pemokusan yang jitu agar keseimbangan tuntutan kehidupan di dunia dan di akhirat. Oleh hal yang demikian itu, ketika seseorang hamba memenuhi ajakan-Nya, maka ia akan diundang sebagai penghargaan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredai-Nya, maka susurilah ke dalam kelompok hamba-hambaKu yang soleh ke dalam syurga-syurga-Ku.” (al-Fajr: 27-30)

No comments:

Post a Comment